Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, February 28, 2007

Kawal ketat syarikat berhubung kerajaan (GLC), 28.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan SengGiaw mengulangi bahawa kawalan yang berkesan mestilah diadakan ke atas syarikat-syarikat yang berhubung dengan kerajaan (GLC), bersama-sama dengan pengembangan kek ekonomi, penyusunan masyarakat yang bermakna dan pembasmian kemiskinan.

Sebarang percubaan untuk mengurangkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi mestilah berasaskan kepada pengembangan kek ekonomi, bukan untuk memberi manfaat kepada segelintir orang sahaja. Sejak 70han abad lalu,kita sering menekankan prinsip ini. Kerajaan kerapkali mengesahkan usaha memperluaskan kek dan menafikan amalan merampaskan kekayaan dari satu kaum untuk dibahagikan kepada kaum yang lain.

Dr Tan membuat komen terhadap peranan GLC. Ekuiti yang dipegang oleh kerajaan di dalam GLC adalah milik semua orang Malaysia.

Sejak 1970, Kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan matlamat untuk menyusun semula masyarakat dan membasmikan kemiskinan. Ini adalah bagi mengelakkan dominasi satu kaum di perkhidmatan awam dan kaum yang lain di sektor swasta. Pengurangan ketidakseimbangan sosio-ekonomi adalah penting.

Dalam 37 tahun ini, masyarakat telah berubah dengan penghijrahan penduduk dari luar bandar kepada bandar dan kedatangan pekerja asing. Kecurangan, langkah yang tidak adil dan pembaziran di dalam pelaksanaan DEB telah menimbulkan ketidakpuasan semua kaum.

Pada permulaannya, ekuiti atau saham yang dimiliki Melayu ditetapkan sekurang-kurangnya 30% pada 1990. Kini, Kerajaan menegaskan bahawa Melayu hanya mempunyai 19% ekuiti. Sesetengah penyelidik mengatakan dengan keras bahawa angkanya lebih 40%. Pemilikan ekuiti terus menimbulkan pertikaian. Selagi Kerajaaan tidak dapat mengatasi faktor-faktor yang menyebabkan orang Melayu menjualkan saham yang diberi apabila harga saham melambung tinggi, adanya sesetengah langkah ekonomi tidak adil dan pemborosan, matlamat ekuiti itu susahlah hendak dicapai.

Siapa menguasai sektor awam dan siapa mempengaruhi lebih di sektor swasta akan terus menjadi isu sensitif. Ini menakjubkan rakyat.

Kerajaan melalui saluran yang tertentu seperti GLC untuk menyertai perniagaan. GLC besar adalah termasuk Tenaga Nasional Berhad, Malayan Banking, Petronas, Mas dan Telekom Malaysia Berhad. Jumlah pelaburan di dalam GLC adalah lebih RM113 bilion. Sesetengahnya semacam Mas pernah diuruskan dengan lemah mengakibatkan kerugian teruk; sekarang pimpinan baru Mas sedang mengubahkan keadaan. Kereta Nasional, Proton, sedang berada dalam dilema: dalam sembilan bulan berakhir pada 31Disember, 2006, ia mengalami kerugian RM590, 448,000.

Kita memerlukan kawalan yang efektif untuk GLC. Kabinet mempunyai Jawatankuasa Pelaburan Impak Tinggi yang diketuai Datuk Seri Najib. Cadangan-cadangan lain untuk GLC adalah Jawatankuasa Kabinet dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen. Jawatankuasa Pilihan adalah lebih bebas.

Kerajaan mengulangi hasratnya untuk mengembangkan kek ekonomi, bagi mengelakkan sebarang kaum menguasai setor-sektor awam and swasta.Tetapi, kita lihat pegawai-pegawai kanan di Kementerian Kewangan danGLC adalah didominasikan oleh satu kaum. Sebenarnya, semua perlantikan mustahak di jabatan kerajaan dan GLC patutlah berasaskan kepada meritokrasi, bukan agama atau kaum.

Dr Tan Seng Giaw

Monday, February 26, 2007

Kenaikan gaji polis, kakitangan awam, kecekapan, ketiadaan rasuah, 26.2.2007.

Kenaikan gaji, polis, kakitangan awam, kecekapan dan ketiadaan rasuah, 25.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya Kerajaan mempertimbangkan permintaan untuk kenaikan gaji polis dan kakitangan awam berpendapatan rendah, menguatkuasakan Pelan Integriti Nasional (PIN), meningkatkan kecekapan dan menghapuskan rasuah.

Dr Tan menyahut kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib semalam darihal Kerajaan setuju bahawa adanya alasan yang baik untuk mengkaji gaji golongan berpendaptan rendah di perkhidmatan awam.

"Terdapat perasaan umum khasnya bagi golongan berpendapatan rendah bahawa adanya justifikasi untuk mengkaji itu (kenaikan gaji)," ujar beliau.

Tahun lepas, pasukan polis telah mengemukakan cadangan untuk kenaikan gaji polis. Cuepacs juga menghantarkan tuntutan gaji bagi para ahlinya.

Memang, kenaikan gaji untuk lebih satu juta kaitangan kerajaan memerlukan peruntukan yang besar. Pada 2007, bajet persekutuan memperuntukkan RM113 bilion untuk mengurus. Sebahagian pentingnya ialah untuk emolumen.

Kerajaan mestilah membandingkan gaji polis dan kakitangan awam dengan kos sara hidup mereka. Seorang konstabel yang mendapat RM 600 sebulan adalah sukar untuk hidup di bandar. Pemberian mereka gaji tambahan dengan secepat mungkin adalah langkah yang wajar. Kita mahu mereka bekerja dengan kuat, mengapa kita tidak hendak membayar gaji yang berpatutan?

Pada akhir ini, kedengaran rungutan mengenai prestasi kakitangan awam. Kes-kes jenayah seperti ragut, pecah rumah dan pembunuhan membimbangkan. Kita berharap kakitangan kerajaan berpestasi tinggi dan polis menyelesaikan kes-kes jenayah; kita mestilah membantu mereka mengatasi masalah kos sara hidup.

Selain daripada kenaikan gaji, Kerajaan perlu mengambil langkah yang tegas menguatkuasakan PIN, menghadapkan kakitangan yang rasuah ke mahkamah, terutamanya pegawai kanan. Kalau yang kanan itu menyeleweng, apatah lagi yang berpangkat rendah? Tindakan yang berkesan haruslah diambil terhadap kakitangan yang bersikap perkauman dan yang tidak cekap.

Dr Tan Seng Giaw

Friday, February 23, 2007

Pasport segera:latih kakitangan beramanah, mesin baik, perkhidmatan selepas jualan, 23.2.2007.

Pasport segera: latih kakitangan beramanah, mesin baik, perkhidmatan selepas jualan, 23.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menekankan bahawa Kementerian Dalam Negara melatihkan kakitangan beramanah yang cukup, cocok dengan pemasangan mesin pasport elektronik dan sistem komputer online untuk menyegerakan cara memproseskan pasport.

Syarikat yang membekalkan mesin-mesin tersebut mestilah mengikut spesifikasi perjanjian dan memastikan perkhidmatan selepas jualan yang bertaraf tinggi.

Dr Tan mengambil perhatian terhadap dwi langkah baru bagi menyegerakan cara memproses pasport oleh Kementerian tersebut. Menurut Timbalan Menterinya Datuk Tan Chai Ho, pada bulan Jun, 2007, mesin pasport elektronik dan komputer online akan dipakai di negeri-negeri. Demikian, para pemohon hanya perlu membawa Mykad tanpa dokumen yang lain seperti sijil kelahiran.

Jika rakyat tidak perlu berbaris panjang dan menunggu lama, maka langkah baru itu adalah bermakna. Tetapi, kenyataan haruslah disusulkan dengan amalan yang berkesan. Orang ramai tidak sewajarnya putus asa dengan permohonan pasportnya.

Pada 16 Januari, 2007, Menteri Dalam Negara Datuk Seri Mohd Radzi merasmikan pembukaan cawangan kementeriannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Beliau mengumumkan pelaksanaan pasport segera. Setiausaha Agungnya Tan Sri Aseh mengesahkan pasport segera mengambil masa 5 hingga 10 minit atau masa yang pendek. Saya memberitahu Tan Sri bahawa saya akan membaharui pasport saya di cawangan itu keesokan hari. Beliau menyahut hasrat saya dengan baik.

Pada kira-kira jam 8 hari kedua, saya dengan seorang kawan tiba di cawangan itu dengan gambar dan borang yang terisi. Sebelum tengah hari berkenaan kami terpaksa kembali ke pejabat. Pada lebih kurang 2.30 petang hari yang sama, seorang pegawai menelefon kami masing-masing untuk memberitahu bahawa pasport telah siap. Pada hari yang ketiga, kami menunggu 30 minit untuk mendapat pasport baru.

Sebenarnya, para kakitangan cawangan tersebut telah berikhtiar untuk memproses permohonan pasport dengan cepat. Namun, mesin elektronik tidak berjalan dengan elok. Kini, cawangan itu menetapkan masa dua jam untuk setiap permohonan pasport.

Kementerian hendaklah melatih kakitangan beramanah yang cukup dan cekap untuk mengendalikan mesin-mesin termasuk komputer online. Ia wajib menentukan syarikat yang dilantik adalah benar-benar boleh dipercayai untuk membekalkan mesin-mesin yang sesuai. Kemudian, syarikat tersebut patut menghantar juruteknik untuk perkhidmatan selepas jualan. Ini boleh membantu kakitangan tersebut.

Dr Tan Seng Giaw

Wednesday, February 21, 2007

Tubuh Jawatankuasa Teknikal untuk memulihkan sungai mati, 21.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya jawatankuasa teknikal yang sesuai ditubuhkan untuk menghidupkan semula sungai-sungai yang mati.

Dr Tan merujuk kepada kenyataan pada 14 Februari, 2007, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid yang hendak mendapatkan laporan penuh berhubung dengan pencemaran ammonia Sungai Langat di Hulu Langat dan Sungai Selisik di Hulu Selangor.

Menurut ramalan Jabatan Kaji Cuaca, setelah bencana banjir, negara akan dilanda kemarau yang teruk. Pencemaran dwi sungai tersebut menjadikan isu ini lebih sensitif. Dua sungai tersebut adalah di dalam kawasan tadahan untuk bekalan air di Selangor. Kononnya, kerana pencemarn, tiga loji rawatan air di Sungai Selisik, Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi, Sepang. Kita berharap Azmi mendapat laporannya dengan secepat mungkin, agar beliau boleh mengenalpasti jenis, keseriusan dan punca pencemaran tersebut.

Setakat ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menyenaraikan sembilan batang sungai mati yang tidak mempunyai ikan, udang dan sebagainya, iaitu Sungai Juru, Sungai Pinang dan Sungai Jejawi di Pulau Pinang, Sungai Buloh dan Sungai Kalang di Selangor, Sungai Segget, Sungai Kempas, Sungai Danga dan Sungai Tukang Batu di Johor.

Faktor-faktor yang menyebabkan pencemaran adalah termasuk kelodak dan lumpur dari kerja tanah, sisa pepejal, air larut resap dari tapak pelupusan sampah, kumbahan dari premis makanan, pasar basah, kilang dan ternakan binatang. Amalan tidak sihat ini mestilah diberhentikan.

Kementerian tersebut mengatakan bahawa Program 4 Tahun Pembersihan Sungai Klang termasuk satu Jawatankuasa Teknikal telah diadakan untuk membersihkan Sungai Klang. Selain dari Sungai Klang, jawatankuasa teknikal yang sesuai adalah diperlukan untuk menghidupkan semula sungai-sungai mati dan sungai-sungai tercemar di kawasan tadahan seperti Sungai Langat dan Sungai Selisik.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, February 15, 2007

Selamat Tahun Baru,16.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengucapkan selamat tahun baru kepada semua orang di Malaysia dan seluruh dunia.

Laut tidak membuang sungai,
rimba tidak membuang latah.

Di dalam ekonomi, walaupun Kerajaan menegaskan bahawa pertumbuhannya adalah lebih dari 6% dan pelaburan RM46 bilion, suasana perniagaan adalah tidak cerah. Semoga Tahun Baru ini akan membawa keadaan yang lebih baik.

Di dalam politik, kita memerlukan toleransi dan persefahaman serta menjauhi segala jenis pelampau. Perdana Menteri telah menubuhkan Institut Integriti Nasional dan Pelan Integriti Nasional. Rakyat mestilah memberi sokongannya untuk sama-sama membanteraskan rasuah dan penyelewengan yang lain. Mudah-mudahan politik wang dapat diatasi.

Di dalam pendidikan, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin haruslah menunjukkan sikap adil kepada semua aliran sekolah. Dari 2001 hingga 2010, Tan Sri Musa melancarkan Pembangunan Pendidikan. Kemudian, dari 2006 hingga 2010, Datuk Seri Hisham mengadakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Ini telah bertindih: Tan Sri Musa dan Datuk Seri Hisham masing-masing mempunyai pelan induk. Rakyat berkehendakkan penjelasan. RM23 bilion telah diperuntukkan bagi pendidikan lima tahun akan datang. Diharapkan benar Menteri melakukan sistem tender terbuka.

Di dalam pengangkutan, kehadiran polis berunifom di bas-bas ekspres yang dipilih secara rambang, pembinaan pondok memerhatikan lalulintas di lebuhraya dan OPs Sikap mungkin akan mencapai matlamat untuk keselamatan jalan. Kabinet patutlah menimbangkan masalah kesusahan rakyat ketika membuat keputusan untuk kenaikan kadar tol dan penswastaan lebuhraya. Kewujudkan perkhidmatan pengangkutan awam yang bagus adalah penting.

Di dalam keselamatan, selain daripada kerjasama di antara polis dengan rakyat, polis haruslah menambahkan 60,000 anggota berbilang kaum di dalam lima tahun akan datang seperti yang diluluskan oleh Kabinet. Sekarang, jumlah anggotanya adalah lebih 80,000. Polis mestilah menghayati 10 teras strategik Suruhanjaya Diraja, termasuk membendung jenayah, menghapuskan rasuah dan menaikkan gaji polis.

Di dalam hal ehwal pengguna, adalah peri mustahak bagi Kerajaan mengukuhkan mekanisme kawalan harga supaya harga barangan tidak akan melambung.

Di dalam kesihatan, Kerajaan haruslah menilai dan memantaukan dengan berkesan latihan dan perkhidmatan doktor pakar, untuk memastikan para pesakit menerima rawatan yang baik. Kawalan terhadap daging, sayur dan lain-lain makanan perlu dipertingkatkan agar semua jenis makanan tidak mengandungi racun semacam beta-agonis yang merosakkan badan manusia.

Dr Tan Seng Giaw

Tender terbuka untuk semua projek termasuk yang dihadkan untuk bumiputera. 15.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mencadangkan supaya Kerajaan mengamalkan tender terbuka dan penilaian yang berkesan untuk semua projek, termasuk yang dihadkan kepada bumiputera sahaja.

Dr Tan membuat komen terhadap projek bumiputera yang diberikan kepada kaum lain pada 2006.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan kajian yang menunjukkan secara purata 85.37 % projek yang dilaksanakan oleh kontraktor bumiputera pada tahun 2006 menyalurkan kepada kaum lain. Ini adalah kajian Ketirisan Kontraktor Bumiputera oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Kementerian Kerja Raya.

Saya setuju dengan PM yang mengatakan bahawa ia menggagalkan agenda bumiputera yang sangat penting dalam memastikan negara mencapai kemajuan dan kestabilan jangka panjang. Perkara ini berlaku untuk berdekad-dekad.

Jurang sosio-ekonomi wujud. Kita mestilah sentiasa melaksanakan program untuk mengurangkan jurang ini tanpa menjejaskan mana-mana kaum. Tetapi, kita perlu mempunyai pemantauan yang efektif untuk menjayakannya.

Pada tempoh hari, Kerajaan melaksanakan 880 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-sembilan. Difahamkan bahawa perlantikan kontraktor bagi kabanyakan projek ini adalah bukan melalui tender terbuka. Kerajaan haruslah menyiasat hal ini termasuk kontraktor bumiputera yang mendapatkan projek. Sistem penilaian yang berkesan patut diadakan, agar tidak ada kontraktor yang menyalahgunakan agenda tersebut.

Bila kontrak bumiputera mengalir kepada kuam lain, ini tidak semestinya projek ini akan dilaksanakan dengan sempurna. Ada subkontraktor yang tidak dibayar oleh kontraktor, hingga projek terlambat atau terbengkalai, seperti projek Bangunan Matrade di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Kerajaan wajib mempunyai iltizam dan kemahuan politik untuk membanteraskan penyelewengan tersebut. Semoga Datuk Seri Abdullah dapat mengambil tindakan yang praktikal untuk tujuan ini.

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, February 11, 2007

Polis menghayati 10 teras strategik Laporan Suruhanjaya, 12.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya polis menghayati 10 teras strategik yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.

Teras strategik dua ialah melancarkan gerakan seluruh negara untuk memerangi jenayah. Teras strategik tiga adalah menambahbaik siasatan polis.

Dr Tan memperhatikan gerakan khas yang dilancarkan oleh polis untuk memburu kumpulan pecah rumah yang berleluasa semalam. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Christopher Wan Soo Kee telah mengarahkan para pegawai dan anggota polis di seluruh negara melipat ganda usaha bagi melumpuhkan kegiatan pecah rumah. Saya berharap beliau dapat mempertingkatkan usaha untuk semua jenis jenayah dalam negara, cocok dengan teras strategik tersebut.

Semalam, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Nooryah Md. Anvar menempatkan anggota polis dalam bas ekspres secara rambang sebagai salah satu langkah Ops Sikap XII semasa Tahun Baru Cina. Semoga ini akan memperbaiki keselamatan jalanraya.

Banyak kes pecah rumah telah berlaku termasuk lima perompak bersenjatakan pisau mencederakan bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Albert Ma, di kediamannya di Petaling Jaya dua hari yang lepas. Hari ini Datuk Ma telah meninggal dunia. Kita ucapkan taziah kepada keluarganya.

Orang ramai haruslah memahami keadaannya. Kekurangan pegawai dan anggota polis mestilah diatasi. Kabinet telah meluluskan syor untuk menambahkan 60,000 anggota polis dalam lima tahun akan datang. Sekarang, bilangan polis adalah 70,000. Ini adalah langkah yang tepat. Malahan, gaji polis patut dinaikkan.

Selain daripada bilangan dan gaji polis, kita hendak mengetahui setakat mana polis dapat menghayati 10 teras strategik laporan tersebut, termasuk memodenkan peranan, fungsi dan organisasi polis, membasmi rasuah polis dan menyediakan perumahan dan premis kerja yang lebih baik.

Keranan bilangan kes jenayah adalah membimbangkan, sesetengah taman kediaman telah melantikkan syarikat keselamatan untuk meronda kawasan kediamannya sepanjang 24 jam sehari. Anggota polis telah dilatih dan dilindungi undang-undang. Sebaliknya syarikat keselamatan tidak semestinya dilatih dan dilindungi undang-undang seperti polis. Oleh itu, adalah perlu bagi pihak polis untuk memelihara orang ramai dengan mengggubalkan garis panduan untuk keselamatan yang dikendalikan oleh swasta.

Dr Tan Seng Giaw

Saturday, February 10, 2007

Umumkan Pelan Tempatan KL20, 11.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Datuk Bandar mengumumkan Pelan Tempatan, susulan kepada Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (KL20).

Dr Tan memberi peringatan kepada Datuk Bandar baru Datuk Abdul Hakim Borhan tentang apa yang telah dijadualkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebelum Datuk Abdul Hakim mengambil alih jawatan itu pada akhir tahun lalu. Jadual itu menetapkan bulan Disember, 2006 untuk menyiapkan Pelan Tempatan yang perlu diwartakan.

KL20 mengandungi 190 dasar dalam pelbagai sektor seperti asas ekonomi dan penduduk, pengangkutan dan alam sekitar. Matlamatnya ialah mewujudkan KL menjadi bandaraya bebunga tropika lagi bercahaya bertaraf antarabangsa. Misalnya, DBKL akan mempromosikan program pengindahan dan landskap di kawasan kediaman, perdagangan dan perindustrian.

Dasar tersebut adalah terpenting sekali. Ia mestilah diterjemahkan kepada Pelan Tempatan. Di dalam sesi rundingan bersama untuk zon strategik Sentul-Menjalara yang meliputi Jinjang dan Kepong, saya membentangkan 19 syor, termasuk pembentukan unit kawasan hijau, LRT dan Monorail di Jinjang, Kepong, Kepong Baru dan Bandar Menjalara, pusat keselamatan, pusat pengurusan trafik, pusat wargamas dan unit orang-orang cacat.

Kita berharap Datuk Bandar dapat mengemukakan Pelan Tempatan dengan secepat mungkin. Pelan ini haruslah diwartakan.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, February 08, 2007

Benar-benar lanjutkan tempoh persaraan dari 56 kepada 65,9.2.2007

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya Kerajaan sungguh-sungguh memanjangkan tempoh persaraan kakitangan awam daripada usir 56 kepada 65 tahun. Cadangan serupa ini telah dibuat oleh sesetengah pihak di dalam lebih 20 tahun ini, tetapi, Kerajaan berlengah-lengah kerana sebab-musabab yang tertentu.

Dr Tan membuat seruan ini darihal kenyataan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang, pada 5 Februari, 2007, mengatakan bahawa umur persaraan 56 tahun untuk kakitangan awam adalah terlalu awal dan muda.

Saya setuju dengan pendapat YAB. Bilangan warga emas berusia 60 ke atas semakin hari semakin bertambah.

Jangka hayat penduduk Malaysia adalah 76 tahun bagi wanita dan 73 bagi lelaki. Demikian, adalah peri mustahak bahawa sektor-sektor awam dan swasta melanjutkan tempoh persaraan.

Pada 80han abad lalu, saya membangkitkan tempoh persaraan dipanjangkan dari 55 kerpada 65. Kerajaan cuba menambah satu tahun lagi. Kemudian, ia berlalai-lalai. Ketika menjawab soalan di Parlimen mengenai hal ini, Kerajaan memberi pelbagai alasan termasuk kerumitan organisasi pentadbiran, sesetengah kakitangan tidak berupaya, tempoh perkhidmatan melebihi 35 tahun terlalu panjang, golongan muda tidak berpeluang dan sebagainya.

Jabatan Perdana Menteri pernah menyebut umur persaraan di beberapa negara: United Kingdom, Amerika Syarikat, Sweden, Norway (67), Australia, Jepun (65), Singapura, Thailand (62), China, Korea, Filipina (60). Hanya tinggal 13 tahun lagi sebelum Malaysia mencapai matlamat negara maju pada 2020. Mengapa kita masih ketinggalan negara-negara tersebut dalam tempoh persaraan?

Jika kita tidak menggunakan formula yang sesuai meningkatkan usia persaraan secara berperingkat, setiap tahun lebih ramai golongan muda akan membayar cukai untuk menampung hidup lebih banyak golongan emas. Sekarang, bajet tahunan persekutuan memperuntukkan perbelanjaan tanggungan lebih RM20 billion setiap tahun. Ini termasuk peruntukan diraja, ketua hakim negara, Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, perbelanjaan kerana hutang negara, pencen, elaun bersara dan ganjaran. Pencen, elaun bersara dan ganjaran adalah lebih RM5 bilion. Ini bertambah setiap tahun.

Kita hendak menyaksikan Kerajaan tidak lagi keberatan melanjutkan tempoh persaraan mengikut formula yang praktikal. Kita akan sentiasa memberi peringatan kepadanya.

Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, February 06, 2007

Jawatankuasa pilihan Internet di Parlimen,7.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya ditubuhkan jawatankuasa pilihan untuk Internet, blogging dan dunia maya 2.0 di Dewan Rakyat, untuk mengkaji peraturan atau ketiadaan peraturan bagi Internet, lalu memastikan kebebasan media atau akhbar atau pengucapan.

Dr Tan membuat syor ini dalam ucapannya di forum DAP 'Mendiamkan Dunia Siber - Perbatasan Terakhir?' di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur pada 6 Februari, 2007.

Perkembangan pesat Internet, blog, dunia maya 2.0 dan sebagainya telah mengubahkan dunia. Ini menyebabkan Kerajaan gelisah. Di sesetengah negara seperti Brazil dan Korea Selatan, ada pengguna Internet dihadapkan ke mahkamah. Di Malaysia, Kerajaan telah mengambil tindakan terhadap segeintir pengguna Internet. Pada akhir ini, dua blogger popular, Jeff Ooi dan Ahiruddin Atan (Rocky Bru), masing-masing telah menerima perintah mahkamah dan saman dari New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, akhbar yang berkaitan dengan UMNO.

Blogging sedang berkembang dengan cepat. Ia digunakan oleh pelbagai pihak, termasuk peniaga, dunia korporat dan peguam. Adalah dianggarkan bahawa bilangan blogger bertambah sekurang-kurangnya 75,000 setiap hari di dunia. Di Malaysia, terdapat lebih 8.6 juta pengguna Internet. Kita tidak boleh menentukan bilangan blogger. Ia semakin hari, semakin ramai, tetapi belum sampai ke luar bandar. Namun, pengguna Internet memakai komputer yang lebih kuat semacam 1 gigabyte untuk melegakan kesesakan. Hard Drive 800 gigabyte hingga 1 terabyte dijual di pasaran. Kerajaan memberi perhatian.

Apakah implikasi dan konsekwensi tindakan undang-undang tersebut tentang pengguna Internet termasuk para blogger? Walaupun akta multimedia telah diluluskan di Parlimen pada 1998 kerana motivasi komersil, Kerajaan berfikir bagaimana ia mengatasi janji untuk tidak ada penapisan Internet. Selagi Kerajaan mengotakan janji, ia merupakan satu insentif bagi pelabur asing.

Apakah nilai yang letakkan oleh Kerajaan ke atas sesuatu blog popular yang memuatkan perkara yang tidak cenderung kepada pemerintah? Apakah peraturan yang akan dikenakan terhadap Internet, sebelum blogging dapat mempengaruhi ramai pengundi ?

Kita berkehendakkan jawatankuasa pilihan di Dewan Rakyat untuk mengkaji peraturan atau ketiadaannya dalam Internet. Jawatankuasa ini perlu mengemukakan laporannya di antara enam hingga 12 bulan. Ia seharusnya tidak mengikut jejak jawatankuasa perpaduan yang belum membentangkan laporannya selepas satu tahun.

Kita mahu jawatankuasa pilihan Internet bukan sahaja di Parlimen, bahkan juga jawatanakuasa yang seruapa di seluruh negara untuk rakyat membincangkan apakah jenis Internet yang dikehendaki? Apakah kebebasan media atau akhbar atau pengucapan? Apakah peraturan Internet atau ketiadaannya?

Dr Tan Seng Giaw

Monday, February 05, 2007

Kaji semua pangsapuri untuk mengetahui permasalahan lalu mengambil tindakan, 5.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyiasat segala rumah pangsa dan kondominium di negara ini termasuk Mutiara Magna, Kepong, untuk mengenalpastikan permasalahan seperti pengurusan yang kurang baik dan ketiadaan geran strata.

Dr Tan membuat seruan ini di dalam satu sidang media di Kepong pada 4 Feburari, 2007.

Terdapat beribu-ribu rumah pangsa dan kondominium di negara ini. Kebanyakannya menghadapi kemusykilan yang memerlukan langkah-langkah yang efektif dari Kerajaan.

Misalnya, Mutiara Magna, Kepong, mengalami pelbagai kesulitan: ketiadaan sijil kelayakan menduduk dan geran strata, pecah rumah dan kecurian motosikal, tangki besar di tingkat 14 gegar dan berbunyi , alat bomba tidak lengkap, tong sampah terlau kecil, hakisan tebing Sungai Keroh yang dekat dengan bangunan, kolam pembetungan terbuka yang busuk, aerial televisyen yang tidak bagus, hanya kira-kira 500 tempat letak kereta untuk lebih 5,000 penghuni, badan pengurusan dan akaunnya tidak telus dan sebagainya.

Kita sudah mengemelkan mesej ini kepada Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sambil mendesak supaya ia mengkaji sama ada semua pangsapuri di negara ini mematuhi undang-undang, seperti Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2006 serta Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (pindaan) 2006. Rakyat Malaysia berkehendakkan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di rumah pangsa dan kondominium.

Kita memerlukan tindakan yang berkesan selepas kementerian tersebut membuat kajian yang menyeluruh terhadap kesukaran yang didapati di segala rumah pangsa. Ini mengambil masa yang panjang.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, February 01, 2007

Apakah perbelanjaan untuk Jejambat Kepong (MRR2) 1.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kementerian Kerja Raya mengumumkan jumlah perbelanjaan untuk projek jejambat Kepong (MRR2), termasuk kos bagi projek memperbaiki keretakan tiang-tiang.

Dr Tan mengulas tentang masalah MRR2 pada 1 Feruari, 2007, Hari Wilayah Persekutuan.

Hari ini, wargakota menyambut Hari Wilayah Persekutuan dengan meriah. Pelbagai acara termasuk perbarisan telah diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Perdana Menteri YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan pelancaran acara tersebut. Beliau adalah sangat gembira. Tetapi, ada perkara-perkara yang kurang manis seperti cerita MRR2 (Middle Ring Road 2, Kepong).

Tahun lepas, Kementerian Kerja Raya membukakan MRR2 dengan sepenuhnya, iaitu tiga saluran satu hala. Ini bererti kerja untuk memperbaiki keretakan 31 daripada 33 tiang jejambat tersebut sudah siap. Namun, kita masih tunggu Kerajaan memberitahu rakyat apakah sebenarnya yang dibelanjakan untuk MRR2 dan kerja memperbaikinya.

Hakikatnya, terdapat puluhan jejambat yang serupa dengan MRR2 di sepanjang linkaran tengah Kuala Lumpur. Setakat ini, kecacatan teruk belum timbul di jejambat-jejambat lain. Cuma MRR2 Kepong sahaja yang bermasalah.

Pada tahun 2006, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu menemui YAB PM untuk mengumumkan perlantikan pakar perunding British untuk memperbaiki kecacatan MRR2 dengan harga RM14 juta. Dua minggu kemudian, Kementerian Kerja Raya mendapat kelulusan Kabinet bagi menggantikan pakar perunding British dengan Jerman; jumlah perbelanjaan meningkat kepada RM40 juta. Sekarang, Samy mengakui bahawa kos kerja memperbaikinya adalah RM70 juta.

Ketika YAB mengumumkan projek memperbaiki MRR2 tersebut, kontraktor dikatakan membayar kos itu. Kini, nampaknya, Kerajaan yang membayar dahulu.

Kita hendak mengetahui kos yang sebenarnya untuk MRR2 meliputi perbelanjaan untuk memperbetulkan keretakannya. Siapa yang membayar kerja tambahan itu?

Dr Tan Seng Giaw