Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Friday, January 23, 2009

Galakkan syarikat besar membayar kontraktor

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong menyeru supaya syarikat besar membayar kontraktor sejurus selepas kerja disiapkan. Janganlah cari alasan.



Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak mestilah menampil ke hadapan mendesakkan syarikat-syarikat membayar kepada kontraktor-kontraktor asalkan kerja telah dibuat dengan betul.


Adalah menjadi satu tabiat bahawa sesetengah syarikat lewat membayar atau tidak mmembayar kontraktor. Walaupun kontraktor sudah siap kerja, syarikat mencari alasan pincang untuk menunda atau memberhenti bayarannya.

Memandangkan Menteri Kewangan meminta pendapat awam melalui blog dan emelnya, saya memberi peringatan mengenai syarikat yang tidak membayar kontraktor. Saya berharap beliau menyiasat perkara ini dengan secepat mungkin, lalu mengemukakan rumusan untuk mengatasi tabiat buruk syarikat ini.

Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, terdapat kira-kira 303 projek yang bernilai jumlah RM 9.2 bilion yang akan dilaksanakan mengikut Sistem Pembinaan Berindustri. Sama ada ia dilaksanakan menurut sistem ini atau lain, yang terpenting sekali ialah ia dibuat dengan adil, cocok dengan standard antarabangsa.

Kerajaan boleh memimpin melalui teladan dengan membayar kontraktor sejurus selepas kerja disiapkan mengikut perjanjian.

Kemerosotan ekonomi dunia menimbulkan masalah. Industri bereksport Malaysia telah terjejas. Walaupun negara ini tidak terkena seteruk negara-negara seperti Singapura, ekonomi kita terus menghadapi cabaran. U.K. mengalami kemerosotan ekonomi secara rasmi.

Industri pembinaan, industri pembuatan dan industri kecil dan sederhana sedang menderita.

November tahun lepas, Kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan ekonmi pertama berjumlah RM 7 bilion yang sedang dilaksanakan secara berperingkat. Semoga pengagihan ini dilaksanakan dengan adil dan berkesan.

Selamat Tahun Baru. Mudah-mudahan Tahun Lembu ini membawa berita yang baik: ekonomi memulih dengan cepat.

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, January 18, 2009

Semoga Tahun Baru Cina membawa pemulihan ekonomi

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengucapkan Selamat Tahun Baru.

Krisis subprime Amerka Syarikat telah mendatangkan kemerosotan ekonomi dunia. Walaupun Malaysia tidak mengalami kesusahan seteruk krisis ekonomi 1997, Tahun Baru akan menghadapi pelbagai cabaran. Semua pihak, terutamanya Kerajaan' mestilah berjimat-cermat, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan setiap jabatan.

Pada 17 Januari, Pakatan Rakyat (PAS) telah menang pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Gelombang tsunami 38 sembilan bulan yang lepas berterusan. Ada yang membangkitkan isu perkauman dan sentiviti agama. Tetapi, para pengundi tidak terpengaruh. Sejak 70han Abad lepas, minyak mentah didapati di Terengganu. Menurut Kerajaan, royaltinya dari 2000 hingga 2008 bagi negeri itu ialah RM6.1 bilion. Tetapi, negeri itu adalah kedua yang termiskin di negara ini. Di mana pergi, wang tersebut?

Masalah jenayah di seluruh negara adalah membimbangkan: ragut, pencurian, rompakan, pembunuhan, rogol dan sebagainya. Misalnya, pada 14.1.2009, lebih 30 kereta telah disembur asid di Taman Aman Puteri, Jinjang Utara; hanya 15 pemilik membuat laporan polis. Kita berharap pihak polis dapat bersiap sedia untuk menghadapi penjenayahan semasa Tahun Baru, agar rakyat selamat.

Tahun lalu, Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah diluluskan di Parlimen. Pesuruhjaya pertama ialah bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah Datuk Seri Ahmad Said. Sebelum suruhanjaya itu menghadapkan yang disyaki ke mahkamah, ia mestilah mendapat izin dari Peguam Negara; ini menyekatkan kuasanya. Beliau mengatakan bahawa siasatan sedang dijalankan ke atas orang-orang yang berpangkat tinggi. Mudah-mudahan orang-orang besarpun menghadapi undang-undang yang sama.

Orang ramai mengharapkan harga petrol, diesel dan gas turun lagi. Ini boleh mengurangkan bebannya. Kita haruslah sentiasa berwaspada dengan subsidi yang boleh disalahgunakan.

Diharapkan inflasi dapat dicegah dan harga barangan jangan naik.

Dr Tan Seng Giaw

Monday, January 12, 2009

Gencatan Senjata Untuk Pertentangan Gaza

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya adanya gencata senjata serta merta untuk pertentangan Gaza.

Dr Tan mengambil bahagian di dalam mesyuarat khas Dewan Rakyat pada 12.1.2009 mengenai serangan ketenteraan yang dinamakan Operasi 'Cast Lead' oleh Israel pada 27.12.2008 ke atas Wilayah Palestin di Gaza dari udara dan pada 3.1.2009 melintasi darat.

Perang Arab-Israel 1967 menarik perhatian saya. Israel mencerobohi Tebing Barat dan Gaza. Ramai yang mengeluarkan perkataan-perkataan berwarna-warni yang penuh perasaan serta menunjukkan pelbagai bantahan. Hari ini, 42 tahun kemudian, kita menyaksikan perasaan, perkataan dan bantahan yang serupa.

Sejarah Palestin adalah sangat rumit. Ia membayangkan pergolaakan dan penderitaan hidup manusia.

Setakat ini pertentangan Gaza telah mengakibatkan lebih 900 orang terkorban, lebih 30% kanak-kanak, dan beratus ribu cedera. Terdapat laporan mengenai kegunaan white phosphorus dan depleted uranium di dalam perang ini.

YAB Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi membentangkan usul khas ini, disokong oleh timbalannya Dato' Seri Najib Tun Razak. Sepuluh resolusi yang diluluskan ialah termasuk kecaman tehadap serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza, gesaan agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan untuk gencatan senjata serta merta dan mengadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung PBB, proses damai, dan sebagainya.

Kita hendak menyaksikan gencatan senjata serta merta, kekurangan ketegangan kemanusiaan, kewujudan keamanan dan kesejahteraan di Rantau Palestin dan para penjenayah perang dihadapkan ke mahkamah antarabangsa di The Hague, Holland.

Terdapat cadangan oleh YB Pasir Mas untuk melantik Tun Mahathir sebagai seorang wakil keamanan kepada Palestin. Ada juga syor dari Ketua Pembangkang dan YB Bandar Tun Razak supaya sebuah jawatankuasa terdiri dari Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Menteri Luar ditubuhkan untuk mencari jalan penyelesaian di Palestin.

Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, mewakili European Union untuk mengejar keamanan di Palestin. Setakat ini, beliau belum berjaya. Beliau mempunyai pengaruh.

Pada zahirnya, Iran, Syria, Hizbollah dan Hamas menentang Israel dengan lebih hebat, walhal Mesir, Jordan, Arab Saudi dan Fatah menggunakan cara-cara yang lebih sederhana. Mesir sedang berusaha untuk mencapai gencatan senjata. Saya berharap YB Menteri Luar boleh menkaji bagaimana kedua-dua kumpulan ini, khas di antara Fatah dan Hamas, dapat bersuara dan bertindak sebagai satu kumpulan.

Segala bentuk bantuan mestilah diselaraskan agar ia akan sampai kepada sasaran. Kita perlu menumpukan kepada keadaan kemanusiaan: kemalangan, makanan, kesihatan, tempat teduh, air, kawalan kesihatan, elektrik, bahan api, jalan masuk, lintasan dan keperluan utama.

Dr Tan Seng Giaw

Monday, January 05, 2009

Pamerkan dokumen kontrak lebuhraya yang lengkap

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Menteri Kerja Raya mengemukakan dokumen yang lebih lengkap bagi 22 batang lebuhraya di Perpustakaan Kementeriannya. Sesetengah kontraknya adalah perjanjian am sahaja seperti Terowong Smart, Kuala Lumpur. Lebuhraya bertol yang lama mempunyai lebih dokumen.

Pada 6.1.09, Dr Tan mengulas penafian Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Mohamad Razali tentang kekurangan keikhlasan dalam usaha untuk membenarkan orang ramai membaca dokumen kontrak lebuhraya.

Ketua Pengarah mestilah melihat semua dokumen kontrak di perpustakaan tersebut. Beliau akan mendapati bahawa sesetengah dokumen adalah tidak lengkap. Misalnya, kontrak Terowong Smart tidak mempunyai lampiran. Yang tidak genap haruslah digenapkan.

Sebelum 1 Januari, 2009, Kementerian Kerja Raya tidak pernah membuka dokumen kontrak lebuhraya kepada khalayak ramai. Kini, rakyat boleh berbaris untuk membaca dokumen seumpama ini; kementerian merupakan lebih telus. Jika bahan-bahannya adalah lebih sempurna, maka orang ramai boleh memahami dengan mendalam.

Saya melihat kontrak Terowong Smart semalam. Saya tidak berasa segar kerana butir-butir seperti kos projek RM1.933 bilion, kos tanah RM20 juta dan kosesi untuk 40 tahun sudah diketahui sejak 2002. Pemegang konsesinya ialah Smart Holdings.

Contohnya, kami hendak mengetahui butiran para pemegang saham: MMC 30%, Anglo-Oriental 20% dan Gamuda 50%. Di bawah apakah keadaan Anglo-Oriental boleh mengambil alih saham MMC 30%?

Dokumen kontrak tidak termasuk lampiran-lampiran. Selain dari kekurangan maklumat terhadap langkah-langkah menebatkan banjir, cara-cara pampasan disebabkan kerajaan hendak mengurangkan kadar tol atau tidak memgizinkan kanaikan kadar itu kurang ternyata.

Lebuhraya dua tingkat itu melalui Terowong Smart. Pemegang konsesi menguruskannya termasuk sistem kontrol dan kawalan trafik, plaza tol, pintu air dan saluran lalulintas. Lampirannya tidak dipamerkan.

Adalah satu perkaranya bahawa kerajaan tidak memberi peluang kepada rakyat untuk memandang kontrak lebuhraya. Satu perkara lagi ialah setelah dibenar berbuat demikian, bahan-bahan yang ditunjukkan adalah tidak lengkap. Menteri dan Ketua Pengarah Lebaga Lebuhraya mestilah memperbaiki keadaannya.

Dr Tan Seng Giaw