Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, November 28, 2007

Umumkan laporan kebocoran bangunan

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengulangkan permintaan supaya Kerajaan mengumumkan laporan kebocoran bangunan kerajaan dari jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Audit Negara. Demikian, rakyat akan mengetahui keadaan yang sebenarnya.

Dr Tan pernah membawa perkara ini kepada Dewan Rakyat semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (bajet 2008) peringkat jawatankuasa dengan peruntukan RM6.5 bilion bagi Kementerian Kerja Raya pada 22.11.2007.

Pada awal tahun ini, beberapa bangunan awam di Putrajaya dan Jalan Duta Kuala Lumpur menghadapi kebocoran seperti Bangunan Imigresen di Putra Jaya dan Bangunan Mahkamah di Jalan Duta. Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dipimpin oleh Ketua Audit Negara untuk menyiasat bangunan-bangunan awam.

Selepas perbelanjaan beratus juta ringgit, mengapa bangunan boleh bocor? Bangunan-bagunan ini masih baru. Bangunan Parlimen juga bocor. Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu mestilah memberi penerangan yang lengkap.

Menurut Datuk Seri, laporan mengenai kebocoran dan kerja memperbaikinya telah siap dan, mengikut perjanjian, kerja akan terus dibuat selagi terdapat kebocoran.

"Kebocoran berpunca dari perubahan iklim. Sekarang adalah tidak serupa dengan masa dulu: setiap malam hujan, tidak ada musim. Masa yang lepas, musim hujan adalah dari Oktober hingga Mac. Kini tidak ada lagi. Kita tidak perlu menanya para saintis," ujar beliau.

"Kadangkala, bangunan lama mempunyai kelengkapan kalis air yang uzur. Kelengkapan ini boleh tahan lebih kurang 20 tahun. Semacam pemasangan wayar elektrik yang mempunyai masa yang tertentu, tempoh kelengkapan kalis air mestilah dicatatkan. Dahulu, lebih ramai kakitangan JKR dan kerjanya tidak begitu banyak. La ni, hanya terdapat 4,000 kakitangan, tetapi kerjanya terlalu banyak, termasuk pemantauan kelengkapan kalis air. Ini merupakan salah satu kelemahan. Kita sedang melatih mereka bagaimana menjaga kelangkapan kalis air," tambah Samy.

Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, November 27, 2007

Pastikan peruntukan penyelenggaraan tidak disalahgunakan.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyarankan supaya semua pihak termasuk kerajaan tempatan menghayati budaya penyelenggaraan.

Elakkanlah penyalahgunaan peruntukan penyelenggaraan. Jangan mencontohi amalan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, yang tidak melaksanakan setengah projek kecil dengan tepat. Ini adalah terbukti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Misalnya, tiba-tiba bangunan dibina di padang besar, Jinjang Utara, di sebelah sebuah tandas awam. Papan iklan telah didirikan selepas desakan awam; ia memaparkan pembinaan dewan orang ramai di tapak seluas lebih kurang 2,400 kaki per segi untuk kependudukan 300,000. Saya diberitahu bahawa bangunan kecil ini akan dijadikan tandas juga. Kementerian mestilah menyiasat hal ini.

Begitu juga dengan projek kecil di Jalan Lang Kelabu, Kepong Baru Tambahan, dan di Jalan Udang Geragau, Taman Cuepacs, Kepong. Ini adalah terletak di kawasan hijau, seoalah-olah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak menghiraukan alam sekitar langsung.

Pada 2008, unit tersebut memperolehi peruntukan kira-kira RM400 juta. Semoga wang ini dipakai dengan jitu. Ada juga bangunan di kawasan hijau digunakan sebagai pejabat politik parti.

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, penyelenggaraan kawasan di bawah Kerajaan Tempatan hanyalah merangkumi kerja penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam dan landskap.

"Bagi projek-projek kecil yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam tahun 2007, Kementerian telah memperuntukkan sejumlah RM27,014,165 bagi kerja pembinaan dan naiktaraf kemudahan awam, RM14,351,297 pula bagi kerja pencahayaan dan pengindahan, manakala RM74,503,594.34 bagi pembangunan infrastruktur serta RM57,364,790.72 bagi pembinaan premis perniagaan dan sosioekonomi.

Bagi kerja penyelenggaraan landskap di dalam kawasan Kerajaan Tempatan pula, kementerian telah memperuntukkan sejumlah RM6,000,000 untuk membantu PBT yang tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk menyelenggara landskap di kawasan masing-masing. Peruntukan ini diagihkan berdasarkan kepada permohonan yang diterima."

Sesetengah orang kurang kesedaran sivik; harta awam sengaja dirosakkan, termasuk longgokan sampah. Kita memerlukan pendidikan.

Peruntukan bagi penyelenggaraan mestilah ditambahkan kerana apa yang disebutkan adalah tidak mencukupi. PBT harus mengelakkan dari penyalahgunaan peruntukan ini. Tambah pula, budaya penyelenggaraan patut dihayati.

Dr Tan Seng Giaw

Wednesday, November 21, 2007

Atasi projek tebatan banjir yang terlewat di Jinjang

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw meminta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya memastikan projek-projek tebatan banjir termasuk di Jinjang disiapkan dalam masa yang ditetapkan termasuk kualiti kerja yang tinggi.

Kementerian patutlah menentukan bahawa subkontraktor dibayar secara terus ataupun kaedah lain yang efektif. Sistem tender mestilah diperbaiki kerana kontraktor tidak membayar subkontraktor.

Dr Tan telah membangkitkan berulang kali termasuk semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan untuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan peruntukan RM 1.85 bilion pada 19.11.2007.

Projek tebatan banjir di Kuala Lumpur adalah terdiri dari Pakej Satu, Terowong Bistari, dan Pakej Dua, Projek Kolam-Kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang. Projek ini terlewat dan kadangkala subkontraktor tidak dibayar. Ini memang menjejas kehidupan orang ramai.

Terowong Bistari menelan belanja RM 2.1 bilion termasuk kos pengambilan tanah. Konsortium kontraktornya Gamuda dan Malaysian Mining Corporation (MMC). Pakej Satu adalah terlewat enam bulan. Jalan tol melalui terowong itu disiapkan sebelum tebatan banjir.

Kos Projek Kolam-Kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang adalah RM 805 juta. Kontraktornya syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, Peremba. Pakej Dua adalah terlewat tujuh bulan. Walaupun ia dijangka siap pada 27 Disember, 2007, kerja masih tergendala. Subkontraktor menenggu bayaran.

Kementerian akan membayar subkontraktor secara terus. Bagaimana ia menyelesaikan wang yang belum dibayar pada masa yang lebih awal?

[Jawapan Timbalan Menteri: Pakej Dua di Jinjang terlewat selama enam bulan. Memang kita mengakui bahawa ada masalah di antara kontraktor dengan subkontraktor. Kementerian telahpun memahami perkara ini dan kita telah membuat peraturan di mana pembayaran dapat dibuat terus kepada subkontraktor yang terlibat dengan projek ini dan kita jangka projek ini akan siap awal tahu 2008.]

Dr Tan Seng Giaw

Jadikan Bukit Lagong hutan tadahan, sebelahan FRIM.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Bukit Lagong dikelasifikasikan sebagai hutan tadahan dan pembalakan dilarangkan ataupun ia diletakkan di bawah Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (FRIM).

FRIM mestilah meningkatkan usaha penjagaan supaya tidak ada orang yang mecerobohi kawasannya termasuk Jabatan Perdana Menteri dengan projek-projek khasnya. Kawasan hutan FRIM adalah 1,000 hektar. Kita mestilah mempertimbangkan status Bukit Lagong di sebelah FRIM.

Saya pernah menganggap bahawa Bukit Lagong mempunyai keluasan hampir 20,000 hektar. Tetapi, pihak kementerian mengatakan bahawa ianya 3,817 hektar. Terdapat pembalakan di sebahagiannya. Saya tidak setuju. Pembalakan ini harus diberhentikan.

Kalau FRIM hanya mempunyai kemudahan penyelidikan bukan kuasa penguatkuasaan, maka Bukit Lagong patut diisytiharkan sebagai hutan tadahan, bukan separuh hutan simpan dan separuh hutan pengeluraran di bawah Jabatan Perhutanan.

[Jawapan Timbalan Menteri Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato' S. G. Sothinathan: kawasan hutan simpan Bukit Lagong seluas 3,817 hektar sudah digazetkan sebagai hutan simpan. Namun sebahagiannya telah diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran dan sebahagian lagi sebagai hutan perlindungan. setakat ini tidak ada perancangan untuk menggazetkan hutan ini kepada hutan tadahan. Namun sekiranya perlu, Jabatan Perhutanan Simpanan Malaysia akan melihat kepada perkara ini.]

Tuesday, November 20, 2007

Standard Malaysian Timber Certification Council (MTCC) untuk ASEAN?

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mencadangkan supaya standard Malaysian Timber Certification Council (MTCC) boleh dipertingkat dan dipopularkan sehingga ia dapat dipakai di seluruh ASEAN.

Ini merupakan salah satu langkah untuk memelihara hutan di negara kita. Difahamkan bahawa 60% tanah Malaysia adalah diselubungi hutan dan 15% lagi ditanamkan pokok-pokok getah dan kelapa sawit. Adakah angka ini membayangkan keadaan yang sebenarnya?

Dr Tan mengemukakan cadangan ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan Bajet 2008, undang-undang perbekalan, peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (peruntukan RM 1.85 bilion) pada 19.11.2008.

Kementerian mempunyai dasar dan langkah-langkah untuk memelihara hutan. Saya berharap pihaknya dapat mempertingkatkan usahanya. Di setengah-setengah tempat, hutan masih tidak dijaga dengan baik.

Misalnya, terdapat kelemahan di dalam usaha untuk memperlindungkan hidupan liar dan taman negara yang cukup tercemar sekarang. Saya berharap Timbalan Menteri Dato' S. G. Sothinathan sendiri pergi ke Taman Negara dan tengok di kawasan-kawasan yang mempunyai banyak pelancong. Susahlah untuk mendengar dan melihat mergastua yang tahu dan lebih peka kepada manusia daripada kita sendiri.

Semoga Yang Berhormat dapat membentangkan satu laporan kepada Dewan ini agar kita tahu langkah-langkah yang berkesan yang telah diambil bertahun-tahun.

[Jawapan YB Timbalan Menteri adapun langkah-langkah bagi memulihara Taman Negara ialah (i) penguatkuasaan undang-undang melalui kerjasama pihak tentera; (ii)menjalankan emanatory hidupan liar secara berkala; (iii) menjalankan penyelidikan dengan kerjasama pihak IPTA dan NGO; (iv) mendirikan pos-pos kawalan di pintu masuk ke Taman Negara, pembangunan kemudahan ekopelancongan secara terancang; (v) memperkemaskan perundangan yang sedia ada seperti Enakmen Tanah Negara dan Akta Perlindungan Hidupan Liar; dan (vi) mengadakan Program Masyarakat Setempat mengenai kepentingan memulihara Taman Negara.]

Dr Tan Seng Giaw

Friday, November 16, 2007

Lantik anggota berkaliber dan bebas untuk Suruhanjaya Diraja

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Perdana Menteri melantik anggota yang berkaliber dan bebas untuk Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat rakaman klip video Lingam. Anggota-anggota ini tidak boleh memihak sesiapapun.

Dr Tan membuat komen terhadap pengumuman YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam untuk menubuh sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video tersebut. Klip ini adalah disyaki mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam ternama dan seorang hakim kanan untuk mengatur pelantikan hakim.

Semalam, Abdullah berkata: “Suruhanjaya itu akan ditubuhkan apabila tugas-tugasnya telah ditentukan dan selepas itu individu-individu terpilih akan dijemput untuk menganggotainya.”

Pada tempoh hari, klip video Lingam menimbulkan kontroversi. Kerajaan menubuhkan sebuah panel yang terdiri dari tiga ahli. Kononnya, setiap ahli telah mengesyorkan agar ditubuhkan sebuah Surhanjaya Diraja. Kita tidak mengetahui isi kandungan laporan setiap ahli itu.

Negara kita mengamalkan sistem tiga kuasa bebas; pentadbiran, kehakiman dan perundangan saling mewujudkan keseimbangan. Beberapa tahun ini, ada orang di dalam dan luar negara yang menyoalkan kebebasan kehakiman. Pemecatan Tun Salleh Abbas 20 thaun lalu menarikkan lebih perhatian mengenainya.

Maka, penubuhan Suruhanjaya tersebut adalah langkah yang munasabah. Bidangnya baiklah diperluaskan lebih daripada klip video itu. Kami meminta supaya Perdana Menteri melantikkan anggota-anggota yang benar-benar bebas untuknya.

Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, November 13, 2007

Senarai projek2 menyenggara sekolah dan kecekapan pelaksanaan, 14.11.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kementerian Pelajaran mengumumkan senarai projek penyenggaraan sekolah di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RM9).


Kita perlu mengetahui jumlah peruntukan yang sebenar, sistem tender dan pemantauannya. Berapa pembaziran melulu? Adakah peruntukan digunakan dengan tepat, jitu dan persis?

Dr Tan menanya soalan tambahan pada 14.11.2007 tatkala Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Haji Noh Bin Haji Omar menjawab soalan lisan mengenai Program Integrasi Kaum dan peruntukannya di bawah RM9.

Di bawah program ini, peruntukannya adalah hampir RM5 bilion bagi semua aliran. Sekolah-sekolah kebangsaan mendapat RM4.3 bilion.

Bajet 2008 memperuntukkan RM29.5 bilion bagi Kementerian Pelajaran. Ini adalah munasabah. Tetapi, pemantuan penggunaan wang ini mestilah diperbaiki.

Timbalan Menteri mengatakan bahawa terdapat tender terbuka untuk projek-projek. Walaupun beliau cuba mempertahankan cara pelaksanaan projek-projek, kita tidak meyakinkan adanya ketelusan dan akauntabiliti yang cukup.

Kementerian mestilah mengkaji semula semua projek. Misalnya, adakah semua guru besar dan pengetua mengetahui butiran peruntukan projek penyelenggaraan sekolahnya? Bagaimana seorang kontraktor dilantik? Adakah kerja mengesan dan menetapkan struktur dan bahagian yang akan diperbaiki diserahkan kepada kontraktor atau subkontraktor? Siapa yang memantau kerja yang dilakukan oleh kontraktor? Macam mana guru besar atau pengetua mengesahkan siapnya projek itu?

Dr Tan Seng Giaw