Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, October 31, 2011

Kementerian Perumahan mesti memantau Badan Pengurusan Bersama, JMB, untuk bangunan tinggi.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meningkatkan kawalan ke atas Badan Pengurusan Bersama, JMB, di bangunan-bangunan tinggi untuk kediaman.

Pada 31.10.2011, Dr Tan mendengar jawapan dari Timbalan Menteri Perumahan mengenai JMB bangunan tinggi termasuk unit-unit kos rendah dan sederhana serta kondominium untuk para penduduk di bandar-bandar.

Masyarakat berkembang. Ramai berhijrah ke bandar. Pembinaan bangunan tinggi adalah salah satu cara untuk tempat tinggal. Bilangan bangunan tinggi bertambah. Menurut timbalan menteri, dari 1,886 pemaju di KL, 538 JMB telah ditubuhkan untuk menguruskan bayaran pengurusan, bil-bil elektrik dan air serta sampah-sarap.Terdapat lebih 2,000 JMB di seluruh negara.

Selain daripada JMB masih tidak wujud di sesetengah bangunan tinggi untuk kediaman, pelbagai masalah timbul dengan JMB. Misalnya, ia tidak berkesan dan para penduduk tidak mmembayar fi pengurusan.

JMB di Kepong juga menghadapi pelbagai masalah. Misalnya, JMB di Kondo Kestana, Kepong, dianggotai oleh para penduduk yang mempunyai kerja masing-masing. Maka,ia mengupah pekerja-pekerja. Contohnya, eksekutif akaun Noor Salida Ahmad telah memalsukan dokumen dan mencuri wang RM253,000. Polis sedang menyiasat kes ini.

Lebih lima tahun yang lepas, Kementerian Perumahan membentangkan rang-undang JMB di Dewan Rakyat. Kami menyuarakan kesulitan yang akan dihadapi termasuk keberkesanan JMB.
Kementerian haruslah mengawal JMB dengan ketat bagi kepentingan para penghuni.

Tan Seng Giaw

Wednesday, October 19, 2011

Ketelusan Projek keretapi Padang Besar ke Singapura

Timbalan Pengerusi Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengulangi bahawa Kementerian Pengangkutan mestilah telus dan akauntabel terhadap Projek Keretapi (Mobile Train) dari Padang Besar ke Singapura, termasuk setakat mana tender projek itu terbuka dan kesesuaian dengan sistem rel di Thailand serta jumlah perbelanjaannya.

Pada 20.10.2011, Dr Tan mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha mengenai projek yang akan disiapkan pada 2016.

Sistem keretapi laju dari Yun Nan, China, melalui Nong Kai, Utara Thailand ke Song Khra, Padang Besar sampai ke Singapura sering desebutkan. Kerana pelbagai faktor, ia belum dilaksanakan. Baru-baru ini, Thailand dikhabarkan merunding dengan China untuk membina rel bagi keretapi laju dari Nong Kai ke Song Khra. Ia dianggar menelan belanja lebih US$8 bilion.

Sistem rel di Malaysia adalah tidak cocok dengan sistem rel di Thailand. Jika matlamatnya untuk mewujudkan keretapi laju dari China ke Singapura, maka sistem rel China, Thailand, Malaysia dan Singapura haruslah disesuaikan.

Projek keretapi dari Padang Besar ke Singapura telah dilaksanakan berperingkat. Misalnya, fasa dari Ipoh ke Rawang telah diselesaikan. Ia menimbulkan pertikaian tentang kosnya. Pada satu ketika, KTM hendak membeli keretspi terpakai dari Sepanyol. Tetapi, transaksi ini dibatalkan lantaran bantahan umum.

Kementerian patutlah memberitahu rakyat apakah sebenarnya telah berlaku dengan projek tersebut. Adakah ia sepadan dengan sistem keretapi laju di Thailand? Keretapi lambat atau laju? Apakah anggaran jumlah perbelanjaan?

Tan Seng Giaw

Wednesday, October 12, 2011

Jaga wang KWSP dengan baik

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong menekankan bahawa Kerajaan Pusat mestilah membelanja dengan hemah dan berjimat-cermat termasuk menjaga wang KWSP dengan baik bagi 12,930,261 pencarum.

Bajet 2012 ialah RM232 bilion, tapi hasil negara dianggarkan RM186 bilion, defisit RM46 bilion. Defisit terkumpul selama 14 tahun defisit setiap tahun berturut-turut. Subsidi dan bonus perlu dibayar.

Pada 13.10.2011, Dr Tan membangkitkan kebimbangannya terhadap bajet berdefisit dan hutang negara RM455 bilion.

Bajet 2012 memperuntukkan RM52 bilion untuk pendidikan, lebih 20% dari RM232 bilion. Pada 2011, peruntukan ialah 24%. Ini adalah ke arah yang betul. Yang pentingnya, peruntukan ini digunakan dengan berkesan tanpa pemborosan dan penyelewengan. Misalnya, tender projek adalah benar-benar terbuka: pilih penender yang betul-betul mampu.

Dari manakah Kerajaan dapat wang? Selain gas dan minyak, tabung besar seumpama Felda dan KWSP sering disebutkan. Kita perlu ketelusan dan akauntabiliti.

Pada 30.6.2011, terdapat 12,930,261 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, simpanan untuk tujuan persaraan. Jumlah asetnya adalah RM468.32 bilion. Dana Pelaburan KWSP melaburkan RM462.54 bilion dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia, pinjaman dan bon, ekuiti, instrumen pasaran wang dan hartanah.

Dana KWSP merupakan kelima yang terbesar di dunia. Diharapkan standard pengurusannya adalah juga kelima yang terbaik di dunia.

Tan Seng Giaw

Monday, October 10, 2011

Apakah cara untuk mengadakan karnival kesihatan?

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai menjelaskan cara yang akan digunakan untuk melaksanakan karnival kesihatan nasional untuk mengurangkan tempuh menunggu bagi para pesakit yang memerlukan pembedahan.

Dari mana beliau dapat mengumpulkan pakar-pakar bedah dan bius untuk satu hari karnival yang bermula di Sarawak? Kita nampak pembedahan beramai-ramai untuk penyakit mata, katarak, di satu tempat kerana jagaan selepas pembedahan tidak panjang.

Pada 10.10.2011, Dr Tan menarik perhatian YB Liow setelah beliau mengumumkan hasratnya untuk mengadakan karnival kesihatan nasional kerana para pesakit menunggu dengan lama untuk pembedahan di hospital awam.

Para pesakit yang berkehendakkan pembedahan menyambut kenyataan menteri dengan harapan. Semoga beliau dapat menunaikan janjinya dengan teratur agar harapan ini boleh tercapai.

Bagi karnival itu, YB Liow mestilah pinjam pakar-pakar bedah dan bius dari hospital-hospital di negeri lain. Jika mereka berkumpul misalnya di Sarawak untuk satu hari, apakah alternatif untuk hospital mereka? Karnival seumpama ini harus diuruskan dengan berhati-hati.

Kita diberitahu bahawa tujuan karnivalnya ialah untuk mengurangkan tempuh menunggu bagi pembedahan dari 32 minggu kepada 12 minggu. Tempuh ini berbeza dari hospital ke hospital. Menteri patut memberitahu bilangan pesakit yang sedang menunggu untuk pembedahan di seluruh negara.

Angka Kerajaan ialah terdapat 620 pakar bius di hospital awaam dan swasta, iaitu 1:40,000 orang berbanding dengan 1:10,000 di negara maju. Walaupun Majlis Perubatan Malaysia memantau kualiti para doktor, kita bimbang doktor-doktor pakar bius yang bakal dilatih dan diambil dari luar negeri kurang standardnya.

Bajet 2012 memperuntukkan RM16 bilion bagi kesihatan. Selain gula-gula yang dihulurkan untuk mengambil hati sesetengah rakyat, apakah jenis perbelanjaan yang telah dibekukan di hospital-hospital? Adakah pembekuan ini menjejaskan masa untuk pembedahan dan lain prosedur?

Tan Seng Giaw


Tuesday, October 04, 2011

Iltizam politik dan tindakan memperkukuhkan ekonomi Malaysia

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mempercayai bahawa negara ini mestilah mempunyai iltizam politik dan tindakan serta langkah-langkah yang sesuai untuk mempertahankan ekonomi Malaysia daripada kesan kemorosotan ekonomi dunia.

Pada 4.10.2011, Dr Tan mengulas jawapan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Nazib ke atas soalannya di Dewan Rakyat mengenai langkah-langkah Kerajaan untuk memperkukuhkan Malaysia terhadap kemerosotan ekonomi dunia dan anggaran pertumbuhan ekonomi 6% tahun ini.

Pergolakan politik tak tertentu,

Perdana Menteri tetap dipujuk;

Di dalam bangunan baru,

Pemimpin BN masih merajuk.

(Dewan Rakyat sedang diperbaiki. Bagi kira-kira dua tahun ini, para ahli bersidang di dewan sementara di belakang dewan sedia ada; ia telah diubahsuaikan.)

Ekonomi dunia berada di peringkat bahaya. Zon Euro sedang mengalami krisis dan ekonomi Amerika Syarikat adalah tidak cerah. Ini membawa kesan ke atas Malaysia. Adakah Kerajaan Pusat bersedia menghadapi cabaran ini?

YAB menegaskan bahawa negara ini mempunyai kekuataan daya tahan dan asas-asas ekonomi yang mampan serta perancangan Kerajaan. Dalam tempoh separuh pertama 2011, ekonomi negara mencatat pertumbuhan 4.4%. Menurutnya, pertumbuhan bagi tempuh separuh kedua 2011 dijangka lebih baik disokong dengan permintaan domestik dan pelaburan.

Ketika pembentangan Bajet 2012 pada 7.10.2011, YAB akan menjelaskan beberapa usaha dan initiatif termasuk projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP). Ini adalah pandangan Kerajaan.

Defisit bajet Kerajaan lebih 6% adalah terlalu tinggi. Defisit ini harus dikurangkan misalnya kepada 4.4%.

Hanya dengan integriti, iltizam politik dan tindakan serta langkah-langkah sesuai, barulah ekonomi negara dapat diperkukuhkan untuk menghadapi cabaran ekonomi dunia yang berada di peringkat bahaya.

Tan Seng Giaw