Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Sunday, February 11, 2007

Polis menghayati 10 teras strategik Laporan Suruhanjaya, 12.2.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya polis menghayati 10 teras strategik yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.

Teras strategik dua ialah melancarkan gerakan seluruh negara untuk memerangi jenayah. Teras strategik tiga adalah menambahbaik siasatan polis.

Dr Tan memperhatikan gerakan khas yang dilancarkan oleh polis untuk memburu kumpulan pecah rumah yang berleluasa semalam. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Christopher Wan Soo Kee telah mengarahkan para pegawai dan anggota polis di seluruh negara melipat ganda usaha bagi melumpuhkan kegiatan pecah rumah. Saya berharap beliau dapat mempertingkatkan usaha untuk semua jenis jenayah dalam negara, cocok dengan teras strategik tersebut.

Semalam, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Nooryah Md. Anvar menempatkan anggota polis dalam bas ekspres secara rambang sebagai salah satu langkah Ops Sikap XII semasa Tahun Baru Cina. Semoga ini akan memperbaiki keselamatan jalanraya.

Banyak kes pecah rumah telah berlaku termasuk lima perompak bersenjatakan pisau mencederakan bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Albert Ma, di kediamannya di Petaling Jaya dua hari yang lepas. Hari ini Datuk Ma telah meninggal dunia. Kita ucapkan taziah kepada keluarganya.

Orang ramai haruslah memahami keadaannya. Kekurangan pegawai dan anggota polis mestilah diatasi. Kabinet telah meluluskan syor untuk menambahkan 60,000 anggota polis dalam lima tahun akan datang. Sekarang, bilangan polis adalah 70,000. Ini adalah langkah yang tepat. Malahan, gaji polis patut dinaikkan.

Selain daripada bilangan dan gaji polis, kita hendak mengetahui setakat mana polis dapat menghayati 10 teras strategik laporan tersebut, termasuk memodenkan peranan, fungsi dan organisasi polis, membasmi rasuah polis dan menyediakan perumahan dan premis kerja yang lebih baik.

Keranan bilangan kes jenayah adalah membimbangkan, sesetengah taman kediaman telah melantikkan syarikat keselamatan untuk meronda kawasan kediamannya sepanjang 24 jam sehari. Anggota polis telah dilatih dan dilindungi undang-undang. Sebaliknya syarikat keselamatan tidak semestinya dilatih dan dilindungi undang-undang seperti polis. Oleh itu, adalah perlu bagi pihak polis untuk memelihara orang ramai dengan mengggubalkan garis panduan untuk keselamatan yang dikendalikan oleh swasta.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home