Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, July 16, 2008

Strategi menghadapi cabaran kemerosotan ekonomi dunia

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyarankan supaya Kerajaan mengadakan strategi yang berkesan untuk menghadapi ekonomi dunia yang kian merosot.


Rakyat mestilah bersama-sama bersedia untuk mengalami masa yang tidak begitu cerah.


Dr Tan mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2008 di Dewan Rakyat pada 16.7.2008.


Di dalam perbekalan tambahan ini, wang telah dibelanjakan lebih RM 20 bilion untuk pelbagai maksud. Lebih RM18 bilion ialah bagi subsidi termasuk RM10 bilion bagi subsidi gas cecair, RM5 bilion rebat tunai berikutan kenaikan harga-harga petrol dan diesel pada 6.6.2008.


Kita hendak mengetahui jumlah subsidi pelbagai jenis untuk tahun ini. Jika RM 6.13 bilion diberikan kepada para pengguna kenderaan melalui 686 cawangan Pos Malaysia, apakah amaun yang dibelanjakan untuk menguruskan cara subsidi yang baru ini? Kerajaan haruslah mengkaji sama ada subsidi secara langsung lebih bererti?


YB Timbalan Menteri memberi amaun subsidi petrol untuk Januari hingga Jun, 2008 sebagai RM 10.2 bilion dan anggaran bagi Julai hingga Disember, 2008 RM 11.7 bilion. Jumlah anggaran untuk 2008 ialah RM21.9 bilion.


Pemberian subsidi adalah mudah, tetapi memberhentikannya adalah sangat susah. Kenaikan harga petrol 40 hingga 60% secara mendadak menyusahkan rakyat.


YB Menteri dan timbalannya telah menyentuh krisis subprima di Amerika Syarikat serta mengatakan kesan ke atas ekonomi negara ini tidak begitu besar keranan kita telah mempelbagaikan eksport kita. Pada akhir ini, eksport ke Amerika tidak sampai 20% dan lebih 50% adalah ke China dan India. Kemudian, dua bank besar di Amerika menghadapi kesusahan dan terpaksa diselamatkan oleh Kerajaannya. Krisis baru ini membawa kesan kepada ekonomi dunia; negara-negara seperti China mempunyai lebih USD1,700 juta bond dari bank-bank ini.

Walaupun Presiden George Bush masih mengatakan ekonomi Amerka baik, Pengarah Simpanan Persekutuan (Federal Reserve) Ben Bernanke membayangkan keadaan yang kurang cerah.


Kerajaan telah mengadakan strategi bagi menghadapi cabaran tersebut. Di antaranya ialah potongan gaji menteri, penjimatan penggunaan tenaga, budaya berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran dan peningkatan kecekapan dan daya saing industri, penyeragaman ke atas harga barang-barang perlu yang mendapat subsidi di antara Semenanjung,
Sabah dan Sarawak serta penentuan senarai barangan yang perlu diberi subsidi oleh Kerajaan. Apakah tahap pencapaiannya?


Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, July 15, 2008

Rombak sistem mengutip maklumat polis

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya sistem memungut maklumat polis dirombak agar maklumat perisikan yang didapati boleh membayangkan keadaan yang sebenar.

Dr Tan membuat seruan ini ketika sidang media di ruang legar parlimen pada 15.7.2008 untuk menjawab tuduhan Menteri Dalam Negara YB Datuk Seri Syed Hamid Syed Albar mengenai mesyuarat Pakatan Rakyat pada 9.7.2008. Pada sidang itu, Penasihat Kebangsaan DAP YB Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng mengesahkan bahawa mereka tidak hadir di mesyuarat tersebut yang kononnya berlangsung di ibu pejabat PKR pada 9.7.2008.

Dari 12 hinga 14 Julai, 2008, polis mengadakan sekatan jalan di jalan-jalan yang menuju ke bangunan parlimen di Kuala Lumpur. Ini mengakibatkan kesesakan lalulintas dan kesukaran rakyat.

Pada 14.7.2008, YB Syed Hamid mengatakan bahawa tindakan polis itu adalah munasabah; ia beteraskan kepada perisikan yang dikutip. Menurutnya, blog-blog yang memanggil orang untuk berkumpul di parlimen adalah 1626.blogspot.com and zul4kulim.blogspot.com. Kedua-dua blok ini tidak berasal dari Pakatan.

Beliau menekankan bahawa maklumat juga dipungut dari mesyuarat Pakatan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9.7.2008 di ibu pejabat PKR. Menrutnya, mesyuarat itu dihadiri oleh beberapa pemimpin termasuk Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Naib (Timbalan) Pengerusi Kebangsaan DAP Dr Tan Seng Giaw dan bendahari PAS Dr Mohd Hatta Ramli.

Pada hari tersebut, saya berada di Dewan yang mulia pada siang dan di kawasan Kepong waktu malam. Ini jelas menunjukkan Menteri Dalam Negara tidak bercakap yang benar. Beliau patut menyiasat punca kesilapan ini, lalu menarik balik tuduhannya dan meminta maaf kepada rakyat kerana kesulitan tiga hari dari sekatan jalan. Tindakan polis itu adalah melulu. Apakah maklumat perisikan yang sebenarnya yang mendorong tindakan berkenaan? Kerajaan perlu mengkaji sistem mengutip maklumat untuk mengetahui integriti dan kecekapannya. Sistem ini patut dirombak.

Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, July 08, 2008

Pulihkan Proton Holdings:cari ahli kongsi strategik

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mencadangkan sekali lagi supaya Kerajaan mencari ahli kongsi strategik (strategic partner) dan memulihkan Proton Holdings, kereta nasional pertama.

Dr Tan membuat cadangan ini semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 di Dewan Rakyat pada 1.7.2008.

Proton menghadapi masalah. Walaupun saya nampak Menteri Kewangan II sudah mengatakan bahawa sekarang kita tidak lagi berunding dengan syarikat-syarikat raksasa multinasional termasuk Volkswagen dan General Motors kerana Proton sekarang ini sudah semakin hari semakin pulih. Proton pada tahun 31 Mac, 2007 telah mengalami kerugian lebih daripada RM 500 juta. Namun pihak kerajaan mengatakan penhyertaan pasaran (market share) Proton sudah meningkat. Pada masa dahulu, (market sharenya ) lebih daripada 70% dan pada tahun 2002 jatuh sampai 22%. Sekarang, dia kata sudah meningkat sedikit kepada 31%.

Walau bagaimanapun, kita ada perjanjian dengan Indonesia, Thailand dan China untuk meningkatkan eksport Proton. Kita juga ada satu perjanjian dengan Jin Hua Youngman Automobile Manufacturing yang hendak eksport Gen 2 sebagai Europe Star di China dan sebagainya. Saya tidak tahulah sama ada ini akan meningkat pendapatan Proton. Yang saya lihat kita tidak begitu hebat lagi. Ini termasuklah model yang baru iaitu Proton BLM dan sebagainya dan yang akan dikeluarkan pada tahun hadapan adalah jenis MPV. Dengan demikian, di harapkan EON dan Proton dapat meningkatkan market share di Malaysia. Saya tidak tahu sama ada ia akan tercapai.

Saya berharap Jawatankuasa Dasar Automotif Negara Kabinet mengkaji semula keadaan Proton. Saya bertanya di merata-rata tempat dan mendapati jualannya tidak begitu hebat walaupun agen, dealersnya, sudah dikurangkan daripada 362 kepada 304. Jawatankuasa ini mestilah mengkaji cara-cara untuk mendapat strategic partner. Lihatlah Perodua dengan syarikat-syarikat Jepun yang masih berkongsi dan ia adalah hebat.

Kalau hendakkan Rancangan Malaysia Ke-9 berjaya, hal ini mesti diselesaikan. Jika pihak Proton rugi, kerajaan yang menanggung kerana Khazanah mempunyai saham lebih daripada 40%, tidak kira lagi KWSP atau EPF dalam Proton. Saya berharap Proton dapat meningkatkan prestasi dan juga nmencari dengan cepat strategic partner untuk memulihkannya.

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, July 06, 2008

Jangan naik harga petrol masa kini

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan jangan membenarkan kanaikan harga petrol lagi.

Pemotongan subsidi dan kenaikan harga petrol kepada RM 2.70 seliter, 60%, dan ekoran melambungnya harga barangan telah membebankan rakyat.

Dr Tan berucap di perhimpunan Pakatan di Stadium Kelana Jaya pada 6.7.08.

Adalah senang untuk mengadakan subsidi, tetapi susah untuk memansuhkannya. Subsidi ialah bagi menolong orang-orang yang miskin agar dapat berdikari secara beransur-ansur.

Kini, perniagaan yang lembab dan pendapatan rakyat yang kurang menyebabkan orang awam gelisah. Barisan panjang di pejabat-pejabat pos untuk menuntut pemotongan, rebat, jelas menunjukkan keadaannya.

Kerajaan menegaskan bahawa levi keuntungan atas kenaikan harga petrol yang mungkin mencecah RM 13.7 bilion akan digunakan untuk mengurangkan beban rakyat, terutamanya golongan miskin dan sederhana.

Di dalam situasi mendesak ini, Kerajaan perlu menjaga orang ramai dengan lebih. Selain menjimatkan penggunaan tenaga, memupuk budaya berjimat dan mengelakkan pembaziran, meningkatkan kecekapan dan daya saing industri dan menggunakan kewangan awam bagi tujuan yang lebih produktif, Kerjaan mestilan memastikan harga petro tidak naik lagi. Harga petrol dunia telah mencecah lebih USD 140 setong.

Dua minggu lalu, YAB Perdana Menteri membentangkan usul di Dewan Rakyat untuk menstruktur semula subsidi. Kita tidak setuju dengan kenaikan harga petrol yang terlalu tinggi. Kita mendesakkan supaya Kerajaan menggunakan keuntangan Petronas yang melambung kepada kira-kira RM 100 bilion dengan baik. Amalan berjimat patutlah bermula dengan para pemimpin termasuk syarikat korporat.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, July 03, 2008

Pelihara Peribahasa

Dr Tan Seng Giaw
Ahli Parlimen Kepong

3.7.2008.

Saudara Pengarang

Halaman 6, Utusan Malaysia, 2.7.2008, memuatkan berita dengan tajuk"Ahli Parlimen Guna Pantun Lucah" mengenai peribahasa 'mulut bau madu, pantat bawa sengat' dan 'hawa pantang kerendahan, nafsu pantang kekurangan'.

Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dan Kamus Dewan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, menerangkan:

Mulut bau madu, pantat bawa sengat: pada lahirnya baik, tetapi hatinya jahat (Peribahasa lain yang sama makna: muka licin, ekor berkedal).

Hawa pantang kerendahan, nafsu pantang kekurangan: tidak mahu kurang daripada orang lain.

Bawa orang ke Gunung Tahan,
Kubu binatang kelihatan;
Hawa pantang kerendahan,
Nafsu pantang kekurangan.

Lucah: hina, keji, sangat rendah, tidak senonoh dan tidak sopan.

Nampaknya, terdapat perbezaan persepsi mengenai kelucahan.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas

Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, July 01, 2008

Integriti, mas'uliah,luaskan bakul mata wang & gunakan rizab dengan baik.

TimbalanPengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya tahap integriti dan mas'uliah dalam pentadbiran diperingkatkan untuk menjayakan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMKe-9). Bakul mata wang yang dikaitkan dengan ringgit mestilah diperluaskan dan rizab negara digunakan dengan hemah untuk masa hadapan.

Saya bangunan untuk mengambil bahagian di dalam perbahasan ini dengan perasaan campuran. Pada teorinya, lima Teras Utama Misi Nasional bercita baik seperti menambah nilai dalam ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup. YAB PM menyeru supaya rakyat bersama-sama mendokong usaha untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara dan makmur, progresif, adil, berdaya tahan dan berdaya saing. Kalau itulah matlamat yang akan tercapai, kita mestilah menyokong.

Pada praktisnya, kita melihat kelemahan-kelemahan. Misalnya, pelaksanaannya mestilah dipertingkatkan; keamanahan dan mas'uliah (kebertanggungjawaban)--integriti--harusnya wujud.

Manis sungguh tebu seberang,
Dari akar sampai ke pucuk;
Manis sungguh mulut orang,
Terkena tipu di dalam pujuk.

Apakah harapan rakyat tentang RM Ke-sembilan?
Pelaksanaannya hendak dijalan dengan berkesan.

Nilai yang dimimpi oleh masyarakat berbilang bangsa
Ialah langkah-langkah yang adil dan saksama.

Perkara dinampak sebagai salah satu halangan
Prestasi pelaksanaan RM ke-9 kurang kelihatan.

RMKe-9 memerlukan pentadbiran yang bersih, cekap, berintegriti dan mas'uliah.
Pentadbiran sedemikian dikehendakkan untuk menjayakan lima Teras Utama RMKe-9.

Kaji semula keadaan mata wang ringgit

Ringgit Malaysia masih dikaitkan dengan Dolar Amerika (USD) yang merupakan mata wang antarabangsa untuk lebih 50 tahun. Krisis subprime, kejatuhan nilai USD dan kelembapan ekonominya mempengaruhi dunia termasuk Malaysia.

Euro telah muncul sebagai mata wang yang mempunyai pengaruh kerana ia stabil dan GNP European Union adalah 20-25% GNP dunia. Saya tidak tahu sama ada mata wang antarabangsa yang lain akan timbul. Malaysia haruslah mengkaji cara-cara yang sesuai untuk berkaitkan ringgit dengan lebih banyak mata wang termasuk Euro--mempelbagaikan bakul mata wang.

Mempergunakan rizab luar Malaysia dengan baik

Rizab Malaysia adalah USD98 bilion. Ia adalah 12 yang terbesar di dunia. Rizab China USD 1,500 bilion, Hong Kong dan Singapura masing-masing hampir USD160 bilion.

Dalam 40 tahun ini, Norway yang sangat kaya dengan minyak mentah dan gas di North Sea, mempunyai rizab yang tinggi. Ia melabur wang ini dengan berhati-hati, sehingga ia muncul sebagai salah satu negara yang terkaya di dunia. Malaysia patutlah mendapat iktibar dari Norway, lalu mempergunakan rizab kita dengan berwaspada. Saya berharap Kerajaan boleh menerangkan kepada Dewan bagaimana rizab ini dipergunakan.

Dr Tan Seng Giaw