Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Thursday, March 19, 2009

Laporan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw berpendapat bahawa Kerajaan patut mengumumkan Laporan Komprehensif mengenai Pelaksanaan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Kita hendak mengetahui prestasinya setelah enam tahun menggunakan Inggeris untuk mengajar sains dan matematik.

Pada 19.3.2009, Dr Tan mengambil bahagian di dalam perbahasan peringkat jawatankuasa bekalan tambahan lebih RM20 bilion untuk Kementerian Pelajaran, misalnya RM 150 juta dibelanjakan untuk membiayai Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris Fasa VI dan peralatan ICT.

Perkomputeran di 7643 buah sekolah rendah di negara mestilah dipertingkatkan kerana wujudnya pelbagai kelemahan seperti sesetengahnya tidak sempurna dan ada komputer yang uzur. Dengan usir lebih dua tahun, sesetengah komputer perlu diganti. Kementerian sudah membelanja RM 150 juta untuk PPSMI Fasa VI. Diharapkan sistem ini adalah lebih baik.

Dalam enam tahun ini, lebih tiga juta murid sedang dan telah melalui PPSMI. Sebahagian dari jumlah lebih 200,000 guru sekolah rendah telah dilatih untuk mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Berapakah yang berkaliber?

Terdapat pelbagai pandangan orang ramai terhadap PPSMI. Ada golongan yang bersuara lantang menentangnya seumpama Persatuan Bahasa Melayu dan Dong Jiao Zhong (Gabungan Persatuan Guru dan Lembaga Sekolah Persendirian Cina). Ada yang menyokong.

Salah satu faktor yang penting untuk sains dan matematik ialah tahap beribu-ribu guru. Apakah bilangan yang mahir dan berkesan mengajar mata-mata pelajaran ini? Memang terdapat guru-guru yang berkaliber. Bagaimana kualiti yang bakinya dapat di pertingkatkan?

Dari 27 institut perguruan dan seberapa graduan 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), apakah bilangan yang benar-benar layak mengajar termasuk sains dan matematik? Kementerian Pelajaran mestilah mengambil perhatian yang secukupnya.

Dr Tan Seng Giaw

Monday, March 16, 2009

Agihan adil 63,000 jawatan baru di jabatan kerajaan

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mencadangkan supaya 63,000 jawatan kakitangan karajaan yang baru dibuka kepada calon berbilang bangsa mengikut meritnya.

Amalan mengambil kakitangan khas yang merupakan ahli politik parti sebagai hadiah adalah tidak sesuai; mereka hanya dibayar gaji buta yang membolehnya terus menyokong sesetengah pmimpin parti itu. Bahawa bayaran orang-orang khas ini dengan wang awam memang tidak diterima rakyat.

Pada 10.3.2009, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi II, RM 60 bilion; akhir tahun lalu, beliau mengemukakan Pakej I RM 7 bilion. Pakej ini ialah untuk mengurangkan pengangguran, meringankan beban rakyat, membantu swasta dan menambahkan keupayaan masa depan.

Peruntukan mengurangkan pengangguran ialan RM 2 bilion termasuk kewujudan 63,000 jawatan kakitangan awam baru. Saya berharap RM 67 bilion Pakej I & II dapat diagihkan kepada golongan-golongan yang memerlukannya dengan berkesan dan secepat mungkin. Apakah bilangan kakitangan awam yang tepat bagi Malaysia? Adakah 1.2 juta orang kakitangan kerajaan terlalu ramai?

Sejak dahulu lagi rakyat mengharapkan kerajaan mempunyai rancangan latihan kakitangan awam tanpa mengira kaum. Bantuan hendaklah diberi kepada golongan yang memerlukannya. Dalam beberapa tahun ini, bilangan bukan Melayu di jabatan kerajaan semakin hari semakin kurang. Lebih 90% kakitangan adalah satu bangsa.

Kini, kita patut menghapuskan dasar perkauman. 63,000 anggota baru mestilah berbilang kaum. Kerajaan haruslah menubuhkan jawatankuasa pengambilan kakitangan yang benar-benar bebas. Ia adalah berteraskan kepada syarat-syarat yang adil.

Kita akan mengulangi di Dewan bahawa Malaysia adalah berbilang bangsa. Kakitangan kerajaan terpaksa membayangkan hakikat ini.

Dr Tan Seng Giaw

Jangan naik penilaian, cukai tanah dll ketika kemelut ekonomi

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya 144 kerajaan tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menginsafi kesusahan rakyat dan mengelakkan kenaikan penilaian, cukai tanah dan lain-lain, agar warga dapat menghadapi kemelut ekonomi.

Dr Tan membuat kenyataan mengenai hal ini pada 15.3.2009 mengenai penilaian dll.

Ketika kemelut ekonomi, orang ramai mengharapkan kerajaan termasuk majlis tempatan tidak menambahkan cukai. Ada warga seperti di Kepong Baru yang tidak faham cara majlis menguruskan percukaian.

Pada akhir tahun lepas, Kerajaan mengemukakan Pakej Rangsangan Ekonomi I, RM 7 bilion, bagi rakyat menghadapi kemelut ekonomi yang berasal dari Amerika Syarikat. Setakat ini, hanya RM 1 bilion diagihkan. Pada akhir tahun ini, RM 5.2 bilion akan digunakan. Minggu lalu, Menteri Kewangan Dato' Sri Najib menyampaikan Pakej Rangsangan Ekonomi II, RM 60 bilion, untuk mengurangkan kesan tsunami kewangan. Kita mengharapkan wang Pakej I and II akan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dengan secepat mungkin. Kita tidak mahu halangan termasuk birokrasi menyebabkan wang ini cuma sampai ke segelintir orang sahaja.

Saya mengesyorkan agar laporan susulan mengena Pakej I and II dipersembahkan setiap kali Dewan bersidang. Kita hendak mengetahui bagaimana wang ini digunakan dengan berkesan.

Harga hartanah sedang turun. Ada yang menunggu sehingga harga terjatuh ke bawah sebelum membelinya. 144 majlis tempatan termasuk DBKL patut mempunyai dasar yang bijak dan terbuka: sambil menggalakkan wargakota membayar bil-bil, mereka mestilah membiarkan kenaikan cukai dan memberi ruang kepada rakyat untuk bernafas.

Ada rumah kediaman dijadikan kedai. Penilaian bagi kedai adalah lebih tinggi. Majlis seperti DBKL patut mengeluarkan notis kepada para pesalah sebelum kemelut ekonomi.

Saya akan membangkitkan perkara ini di dalam Dewan. Kita haruslah mengurangkan beban rakyat.

Dr Tan Seng Giaw

Wednesday, March 11, 2009

Perlu laporan susulan Pakej Ekonomi setiap kali Dewan bersidang

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong mengesyorkan supaya Kerajaan membuat laporan susulan terhadap prestasi Pakej Rangsangan Ekonomi I dan II, berjumlah RM 67 bilion setiap kali Dewan Rakyat bersidang.

Kita hendak mengetahui setakat mana Pakej ini sampai ke rakyat jelata, bukan segelintir orang sahaja.

Dr Tan mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai Pakej II RM 60 bilion pada malam 11.3.2009.

Saya membangun untuk berbahas dengan perasaan bimbang kerana kemelut ekonomi yang semakin hari semakin teruk. Kita perlu keyakinan di dalam dan luar negara, terhadap ekonomi negara ini. Semua lapisan masyarakat mestilah menggembling tenaga untuk menghadapi cabaran yang besar ini.

Keyakinan adalah terpenting. Perkara-perkara seperti cerita panjang kewujudan dwi kerajaan di Perak menjejaskan keyakinan ini. Saya berharap YAB Perdana Menteri dan timbalannya tidak akan mencetuskan cerita panjang seumpama di Perak lagi.

Pakej-pakej ini diadakan ketika cabaran yang besar. Jumlah RM 67 bilion bagi 2009 dan 2010 boleh membantu pelbagai sektor. Bantuan in mestilah sampai ke sasaran dengan secepat mungkin. Menteri Kewangan haruslah mempertimbangkan wang tunai dan potongan cukai langsung yang boleh dihulurkan kepada rakyat khasnya golongan mudah terjejas.

Negeri utara hebat Kelantan,
Benar-benar tamadun sejarah;
Sementara mendapatkan rotan,
Maka akar-akar pun jadilah.

Baik berjagung-jagung,
sementara padi belum masak.

Sambil mengharapkan Kerajaan memastikan wang rangsangan ini diagihkan kepada golongan-golongan yang memerlukannya dengan secepat mungkin, saya berpendapat bahawa semua pihak mestilah menggunakan wang ini dengan tepat. Setakat ini RM 1 bilion dari Pakej I telah dibelanjakan untuk jumlah 11,301 projek dan dianggarkan bahawa pada akhir 2009, RM 5.2 bilion akan sampai ke sasaran.

Unit Pengurusan Projek

Unit ini dari Kementerian Kewangan bersama-sama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Pejabat Perdana Menteri memantaukan Pakej I dan juga Pakej II kelak. Kemahiran dan keberkesanan unit ini perlu dipertingkatkan.

Keupayaan Masa Depan

Semasa kita menghadapi krisis ekonomi Asia pada 1997, pelaksanaan Master Plan memperkukuhkan ekonomi terutamanya perbankan di negara ini. Maka, tsunami kewangan yang bermula di Amerika Syarikat pada 2007 mendatangkan kesannya dengan lebih lambat berbanding dengan pengalaman negara-negara seperti Singapura. Ada kemungkinan bahawa bila kemerosotan ekonomi dunia memulih, negara-negara lain akan meraihkan peluangnya dengan lebih cepat.

Saya hendak melihat wang rangsangan diagihkan kepada sasaran dengan cepat. Saya juga mahu menyaksikan usaha untuk membina masa depan. RM10 bilion diperuntukkan bagi meningkatkan dana Khazanah Nasional Berhad yang akan melaburkan dalam pelbagai bidang, misalnya telekomunikasi, akuakultur dan ladang pertanian.

Jumlah RM19 bilion adalah untuk teras masa depan, termasuk projek off-budget seumpama Terminal Kos Rendah di KLIA RM 250 juta, liberalisasi sektor perkhidmatan dan inisiatif pembiayaan swasta. Kejayaan projek-projek ini adalah peri mustahak untuk membolehkan negara ini bersiap sedia untuk mengambil peluang bila ekonomi dunia pulih.

Nampak juga amalan biasa,
Semut suka mencecah gula;
Bunga kelapa ubah ke cuka,
Silap mata, pecah kepala.

Jaga harga barang

Pada 2008, peruntukan subsidi dan bantuan lain adalah RM34.1 bilion termasuk RM18.1 bilion untuk subsidi minyak, RM 6 bilion bantuan pelajar, RM 3 bilion bantuan makanan dan
RM7 bilion lain-lain. Kita tidak boleh bergantung kepada subsidi untuk selama-lamanya. Bagaimanapun, Rm 674 juta telah diperuntukkan sebagai subsidi bagi menjaga harga barangan misalnya gula, roti dan tepung gandum.

Subsidi ini patutlah digunakan dengan berkesan agar ia benar-benar mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Mengatasi pengangguran

Setakat ini seramai 30.900 orang telah diberhentikan kerja. Kerajaan mestilah lebih sensitif keapada perkara ini dan memberi angka yang terkini. RM700 juta diberikan kepada usaha bagi menangani pengangguran dan 63,000 kakitangan awam baru akan diambil.

Saya berharap pengambilan kakitangan baru ini adalah berasaskan kepada merit tanpa mengira kaum. Dengan ramai calon yang memohon Kerajaan mestilah menentukan bahawa hanya yang terbaik akan berjaya.

Pusat jobsMalaysia akan ditambah 22 menjadi jumlah 131. Anggota-anggota pusat-pusat ini haruslah bersikap baik dan mesra terhadap orang-orang yang meminta tolong. Skim-skim latihan perlu sesuai dan adil kepada para penganggur yang tampil ke hadapan.

Kedoktoran falsafah (Ph D) tahap dunia

Kita menggalakkan rakyat melanjutkan pelajaran. Kini, Pakej II mewujudkan peluang bagi siswazah untuk melanjutkan pelajaran berlandaskan meritokrasi. Kerajaan menampung kos yuran pengajian dan bahan penyelidikan sebanyak RM20,000 bagi setiap pelajar bagi melanjutkan pelajaran di peringkat kedoktoran falsafah di dalam negara dan RM10,000 bagi peringkat sarjana. Sebanyak 500 tempat bagi ijazah kedoktoran falsafah dan 10,000 bagi sarjana akan diwujudkan.

Pada tempoh hari, Naib Canselor Universiti Malaya telah mengirim 50 surat tunjuk sebab kepada pelajar yang tidak menulis tesis dalam masa yang ditetapkan dan 15 lagi untuk penjelasan bila tesis boleh disiapkan. Ini tidak termasuk 19 buah univerisiti awam yang lain. Pemantauan yang rapi perlu diadakan termasuk tahap Ph D dan sarjana yang diiktirafkan antarabangsa.

Menangani pekerja asing

Terdapat lebih dua juta pekerja asing dengan permit dan ramai yang tidak (Pendatang Asing Tanpa Izin, PATI). Masalah pekerja tempatan dan asing adalah rumit. Pakej II mengenakan bayaran levi kepada pekerja asing dinaikkan dua kali ganda bagi semua bidang kecuali pembinaan, perladangan dan pembantu rumah. Levi ini mungkin meningkat kepada lebih Rm 2,000 seorang. Pada teorinya, levi ini hendak menggalakkan para majikan mengupah pekerja tempatan. Pada praktisnya, besar kemungkinan bilangan PATI akan bertambah.

Badan penguatkuasaan mestilah lebih berkesan termasuk menghapuskan penyelewengan. Levi yang berganda boleh menimbulkan lebih banyak kecurangan.

Kontraktor tulen

Pakej II mengagihkan hampir RM2 bilion untuk menambah baik infrastruktur awam dan RM300 juta bagi pembangunan pendidikan iaitu membina dan menambah baik kemudahan 752 sekolah termasuk SJK(C) dan (T) serta sekolah agama.

Kerajaan wajib melantik kontraktor-kontraktor yang tulen bukan kontraktor-kontraktor palsu. Ini bermakna Kerajaan mestilah mengkaji semula sistem perlantikan kontraktor dan sistem tender. Kecurangan berlaku. Unit Pengurusan patut menumpukan perhatian.

Industri dan vendor automotif

Pada tahun 80han, kita menyuarakan di Dewan mengenai pasaran Malaysia yang kecil untuk menampung industri automotif. Tetapi, Kerajaan melaksanakan industri ini. Kerumitan masalah industri ini adalah ketara.

Dunia automotif berubah. General Motors, Ford dan Chrysler menghadapi kerugian yang besar. Mereka terpaksa mendapat bantuan dari Kerajaan Amerika Syarikat. Toyota, Honda dan lain-lain minta bantuan dari Kerajaan Jepun. Toyota yang merupakan syarikat kereta yang terbesar di dunia meminta sedekah juga bagi menghadapi masa depan.

Kini, RM200 juta diberi kepada Dana Pembangunan Automotif. Adakah ini mencukupi? Setakat ini Proton masih gagal bekerjasama dengan syarikat kereta antarabangsa yang lebih besar lagi canggih.

Proton mendapat bantuan dari Kerjaan. Ia bersaing dengan Perodua yang lebih aktif. Bagaimanapun, kita hendak menyaksikan strategi yang digunapakai untuk menyelamatkan Proton.

Kerajaan mestilah mengemukakan laporan susulan Pakej I dan II setiap kali Dewan bersidang termasuk cara-cara untuk mengelakkan pembaziran dan meningkatkan keberkesanan Unit Pengurusan.

Tutup mata tak bertuah,
Letup siaran media binasa;
Hidup kayu berbuah,
Hidup manusia biar berjasa.

Ketika negara menghadapi cabaran besar, kita haruslah sama-sama berhikmah, berbakti dan berjasa.

Dr Tan Seng Giaw