Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, May 28, 2008

Bina jalan alternatif bagi Bandar Mahkota Cheras

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membina jalan alternatif bagi para penduduk di Bandar Mahkota Cheras.


Dr Tan membuat seruan ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan perbekalan tambahan peringkat jawatankuasa Kemeterian Kerja Raya yang telah menggunakan lebih RM76 juta bagi penyelenggaraan dan pembaikan Jalan Persekutuan pada 29 Mei, 2008.

Beberapa tahun ini, syarikat konsesi Grand Saga membina jalan bertol dan memaksa para penduduk Bandar Mahkota dan sekitarnya menggunakannya. Syarikat itu mendirikan tembok di jalan tepi bandar itu untuk menghalang mereka dari mengelakkan jalan bertol itu.


Walaupun Bandar Mahkota adalah di dalam Negeri Selangor, kira-kira dua kilometer jalan yang menimbulkan masalah adalah di atas tanah Kerajaan Persekutuan. Memandangkan para penduduk tidak mempunyai jalan alternatif kecuali jalan bertol Grand Saga, Kerajaan patut membina sebatang jalan alternatif. Jika kos jalan itu dianggarkan RM10 juta, maka Kerajaan-Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu menanggung RM 5 juta masing-masing.


Sementara itu, Grand Saga tidak seharusnya mendirikan penghadang kali yang ke-empat. Sebaliknya, ianya dan pemaju Bandar Mahkota mestilah peka kepada kehendak rakyat. Dipercayai bahawa jalan utama untuk masuk dan keluar bandar itu adalah di bahagian yang lain.


Kerajaan haruslah menyiasat mengapa beberapa tahun yang lepas kontrak ditandatangani dengan syarikat konsesi Grand Saga meskipun tidak ada jalan alternatif bagi para penduduk Bandar Mahkota. Mereka terpaksa melalui jalan bertol Grand Saga. Jika penghadang diadakan di jalan kecil tersebut di Bandar Mahkota, kira-kira 10,000 penduduk sehari terpaksa melalui jalan bertol itu. Saya telah diberitahu bahawa kalau penghadang jalan diturunkan, Grand Saga mungkin menuntut pampasan beratus juta ringgit. Kerajaan mestilah mengesahkan tuntutan syarikat konsesi ini.


Dalam beberapa tahun ini, bantahan dan pergaduhan berlaku di Bandar Mahkota. Pada 28 Mei, 2008, para penduduk telah menghapuskan tembok bertinggi 5 kaki itu buat kali yang ketiga. Tembok itu menghalang para penduduk memergi ke Lebuhraya Cheras-Kajang.


Pada 27 Mei, 2008, beberapa penduduk telah dicederakan di dalam pergaduhan di lokasi tersebut. Ada yang mendakwa bahawa Grand Saga telah mengupah 'samseng'. Polis patutlah menyiasat dawaan ini.


Dr Tan Seng Giaw

Monday, May 26, 2008

Kementerian Perpaduan

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Kementerian Perpaduan ditubuhkan dengan peruntukan yang cukup.


Pada 26 Mei, 2008, Dr Tan mengemukakan syor ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan usul bahawasanya berikutan dengan Pilihanraya Umum Kedua Belas, beberapa Kementerian telah disusun semula yang mana Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri diserapkan ke dalam Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan yang kini dikenali sebagai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah digabungkan dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang kini dikenali sebagai Kementerian Dalam Negeri.


Perpaduan dan pasukan polis adalah penting. Pemindahan kedua-duanya dari satu kementerian ke satu kementerian menarik perhatian.


Perpaduan wajib ditekankan terus-menerus untuk selama-lamanya. Ia perlu disemaikan di dalam hati nurani setiap rakyat dari rebung ke liang lahat.


Kalau kita berkehendakkan perpaduan negara,
Kita sentiasa pupuk semua kaum bekerjasama.


Penyerapan perpaduan ke dalam kementerian baru mewujudkan kesangsian tentang tujuan Kerajaan. Adakah ini bererti ia akan mendatangkan keberkesanan?


Pemindahan maksud B6 perpaduan kepada lain kementerian,
Tentu menimbulkan syak wasangka terhadapnya kemudian.


Selepas Pilihanraya Umum pada 8 Mac, 2008, ada segeklintir orang yang asyik meghasutkan isu-isu perkauman dalam pelbagai bentuk. Perkataan ketuanan dan kontrak sosial selalu disebut-sebutkan. Ketuanan orang Malaysia adalah paling mustahak.


Di dalam lebih satu dekad ini, Kerajaan Barisan Nasional melaung-laungkan konsep Bangsa Malaysia yang serupa dengan Malaysian Malaysia. Setelah berlaku perubahan akibat Pilihan Raya Kedua Belas, konsep Bangsa Malaysia hampir diketepikan.


Di dalam masyarakat majmuk ini, hak-hak semua kaum patut dipelihara. Kaum lain tidak boleh merampas hak-hak orang Melayu; orang Melayu tidak dapat menceroboh hak-hak kaum lain.


Segala usaha mestilah sentiasa diadakan untuk menggalakkan perpaduan. Unsur-unsur buruk seperti salah faham di antara kaum haruslah dihapuskan. Peruntukan bagi semua usaha termasuk forum, seminar, konvensyen dan sebagainya terpaksa dipantau akan prestasi, hasil dan keberkesanannya.


Ada orang suka membangkitkan isu perkauman.
Ia memain politik untuk mendapat keuntungan.


Mereka tidak menghirau negara pecah berkecai,
Asalkan matlamat mereka akhirnya tercapai.


Saya mencadangkan supaya Kerajaan menubuhkan Kementerian Perpaduan dengan peruntukan yang cukup dan pemantauan yang berkesan. Perkara yang begitu penting tidak seharusnya tersirat di dalam Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.


Kementerian perpaduan harus ditubuh.
Semoga semua rakyat berjaya diasuh.


Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, May 20, 2008

Suruhanjaya perlantikan hakim dan kod etika

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengulangi seruannya untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat segala kelemahan kehakiman di negara ini.

Pada 21 Mei, 2008, Dr Tan membangkitkan hal ini ketika mengemukakan soalan tambahan mengenai Ketua Hakim Malaya, Ketua Hakim Borneo dan Ketua Hakim Negara dan rancangan untuk menyatukan kedua-dua badan kehakiman Borneo dan Malaya yang ditanya oleh YB sepanggar (Datuk Eric Enchin Majimbun).

YB Senator Datuk Mohd. Zaid Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengatakan bahawa di negara ini hanya ada satu sistem kehakiman dan soal penyatuan badan kehakiman di Borneo ( Sabah dan Sarawak) dan Malaya (Semenanjung) tidak timbul. Suruhanjaya melantik hakim di bawah Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan akan ditubuhkan dengan kriteria yang tertentu bagi memastikan calon yang paling layak dilantik sebagai hakim. Ketua Hakim Negara sekarang akan besara pada hujung tahun ini.

Zaid berpendapat kini tidak perlu mengadakan Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji kelemahan-kelemahan di bidang kehakiman. Suruhanjaya Diraja bagi Tape Video Lingam telah membongkarkan banyak kelemahan. Yang dilaksanakan ialah kod etika untuk para hakim.

Diharapkan Suruhanjaya Perlantikan Hakim dan Kod Etika dapat menyelesaikan semua kelemahan kehakiman termasuk kes-kes yang tertunggak di mahkamah dan tanggapan awam terhadap perlantikan hakim yang kurang telus. Zaid sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menangani masalah kes-kes tertunggak tersebut.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, May 15, 2008

Lebih banyak pusat latihan polis untuk 12,000 rekrut setahun

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya mengadakan lebih banyak pusat latihan, bilangan pelatih, disiplin dan lain-lain kemudahan untuk menambahkan 12,000 rekrut polis setiap tahun dari 2008 hingga 2013.

Syor-syor Suruhanjaya termasuk Suruhanjaya Bebas terhadap Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) patut dilaksanakan.

Dr Tan membangkitkan cadangan-cadangan tersebut di Dewan Rakyat pada 14.5.2008.

Tahun lepas Kabinet membuat keputusan untuk menambahkan bilangan anggota polis dari lebih 80,000 kepada 140,000 dalam tempoh lima tahun.

Menurut polis, dalam tiga tahun kebelakangan ini, jumlah kes jenyah seluruh negara ialah 565,546 kes, iaitu purata 170,000 kes setahun. Bagi Kawasan Kepong jumlah kes dalam tempoh yang sama ialah 10,557, yakni 3,600 kes setahun.

Kita sedar bahawa PDRM sedang mengambil langkah-langkah seperti menugaskan lebih ramai anggota dan pegawai polis di kawasan-kawasan yang kerap berlaku jenayah, menambahkan kereta peronda dan mewujudkan balai atau polis baru. Ini memerlukan ramai rekrut yang berkaliber dan kemudahan-kemudahan.

Adakah baik Daerah Polis Sentul dibahagi kepada dua?

Selain dari melatih 12,000 rekrut polis setahun, PDRM mestilah mempertimbangkan dengan sedalam-dalamnya cadangan untuk membahagikan Daerah Polis Sentul, daerah yang terbesar di Kuala Lumpur, kepada Sentul dan Wangsa Maju, ataupun Daerah Sentul dikekalkan dengan hanya menambahkan bilangan anggota dan kemudahan sahaja. Apakah pilihan yang lebih berkesan?

Sr Tan Seng Giaw

Wednesday, May 14, 2008

Bendung inflasi, 15.5.2008.

Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Inflasi dan Pasukan Petugas Khas Menangani Kenaikan Harga mestilah menambahkan usaha untuk mencegah kenaikan harga barangan di Malaysia.


Walaupun Kerajaan mengatakan kadar inflasi negara adalah 2.8%, keadaan yang sebenarnya membimbangkan. Harga makanan termasuk beras meningkat. Harga seliter kerosin melambung dari RM 2.70 pada Januari, kepada RM 2.90 pada Mac dan kini RM 3.20. Harga racun makluk perosak telah meningkat 100% dan harga baja meloncat dari RM 1000 setiap 50 Kg ke RM 3,000.


Kerajaan sedang mewujudkan simpanan stok bijian yang besar. Tatkala harga barang melompat, orang suka untuk menyorokkannya. Kerajaan tidak dapat membeli 500,000 tan beras dari Thailand kerana ia meminta AS$ 800 setan walhal negara jiran itu mahu lebih AS$ 1,000 setan. Saya berharap YAB akan memberitahu sama ada bekalan ini akan didapati dari Vietnam, Amerika Syarikat, Kamboja atau lain negara.

Pada 14.5.2008 Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan pembelian 200,000 tan beras dari Thailand tanpa mengatakan harganya. 100,000 tan pertama dari pembelian ini akan dijual RM1.65 hingga RM1.80 sekilo.


Subsidi tenaga dan makanan telah mencatat RM 45 bilion setahun. Subsidi untuk beras adalah RM 725 juta.


Faktor-faktor antarabangsa, seperti harga petroleum US$ 126 setong, sorokan beras di banyak negara termasuk China, India, Vietnam, Rusia dan Thailand mmburukkan keadaan.


Saya mencadangkan supaya Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Inflasi yang bermula pada 1 April, 2008 dan Pasukan Petugas Khas Menangani Kenaikan Harga mestilah menambahkan usaha untuk membendungkan inflasi. Dari tempoh Januari 2008 hingga 20 April 2008, Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna membuat 328,352 pemeriksaan ke atas kilang, pemborong, kedai runcit, pasaraya pasar malam, pasar awam dan lain-lain mengenakan rampasan RM 731,055.95 terhadap 550 kes. Kita memerlukan penguatkuasaan yang lebih berkesan.


Pembukaan 100,000 ekar tanah sawah di Sabah dan Sarawak dengan benih dan teknologi moden akan mengambil masa, mungkin 10 tahun. Penambahbaikan tali air terutamanya Kada dan sistem transport serta jenis tenaga yang digunakan untuk sawah dan perladangan akan mengambil masa bertahun-tahun. Biofuels dari minyak kelapa sawit wajib dikaji semula; mungkin lebih baik kita menggunakan minyak dan tumbuhan yang tidak boleh dimakan bagi biofuels.


Dengan kerosakan pasaran pertanaian dunia, sorokan negara-negara, bantuan makanan bukan wang tunai oleh negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun menjadikan pasaran lebih rumit. YAB perlu mengkaji langkah-langkah yang boleh diambil untuk menghadapi keadaan pasaran dunia ini. Setiap tahun perdagangan beras dunia ialah RM 30 juta tan.


Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, May 13, 2008

Di Malaysia, hak-hak semua kaum tidak boleh dirampas.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengulangi bahawa hak-hak semua kaum mestilah dipelihara dan tidak ada sesiapapun boleh merampas hak-hak kaum lain. Sesuatu kaum tidak boleh membegal hak-hak kaum lain.

Dr Tan Seng Giaw berkata demikian ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan titah ucapan Duli Yang Malah Mulia pada 13 Mei, 2008.

Bencana ribut beliung, siklon, di Myanma dan malapetaka gempa bumi di China mestilah mendapat simpati dan bantuan dari Malaysia. Kita sangat bersimpati dengan rakyat negara-negara tersebut;kita mengucapkan takziah.

Pada sesi ini, kita mengalu-alukan 99 ahli yang menghadiri Dewan ini buat kali yang pertama. Kita nampak ada yang mempunyai potensi dan isi kandungan ucapannya bererti.

Selepas pilihanraya umum pada 8 Mac, 2008, Dewan ini menjadi lebih hangat. Ketika kempen pilihanraya, setiap parti menonjolkan dasar politik masing-masing. Setelah rakyat sudah membuat keputusan, kita dari semua parti boleh berusaha untuk membangun negara.

Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang;
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang payah menjadi senang.

UMNO menjorokkan hak-hak, adat dan sejarah Melayu; MCA menyorongkan hak-hak dan pendidikan Cina dan MIC menyodorkan hak-hak dan kewarganegaraan India. Mereka menganjurkan tonggan, dapur yang diperbuat dengan mengorek tanah untuk kawah atau periuk besar. Tonggan UMNO, MCA dan MIC dan lain-lain komponen Barisan Nasional (BN) ini memasak isu-isu perkauman.Tetapi, di dalam zaman teknologi maklumat dan kemunculan negara-negara Cina dan India, tonggan seumpama ini adalah tidak praktikal lagi. Sekarang kita menggunakan ketuhar gelombang mikro dan lain-lain yang lebih canggih. Kita bercita-cita mencapai taraf negara maju pada 2020.

Kita mestilah mengelakkan amalan untuk melayam-layamkan keris semasa perhimpunan parti. Semua kaum mempunyai hak di dalam politik, ekonomi, kesihatan, pertanian dan sebagainya. Tidak ada sebarang kaum yang boleh menjabal hak-hak kaum lain. Yang miskin, yang lemah, mestilah dibantu, tanpa mengira kaum. Kita haruslah sentiasa berikhtiar untuk mengurangkan jurang, sama ada kekayaan, digital atau wilayah dengan berani dan penuh keazaman.

Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, May 06, 2008

Berhenti monopoli import beras; kaji semula dasar mampu diri 70%

Timbalan Pengerusi Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru Kerajaan supaya mengkaji dengan sedalam-dalamnya cara untuk:

(1) memberhentikan monopoli pasaran beras oleh Bernas, (2) mengkaji sama ada kemampuan diri untuk beras 70% masih munasabah (3) membuka lebih tanah untuk tanaman padi (4) memastikan sama ada Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna atau Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani atau kedua-duanya memainkan peranan yang berkesan dalam memantau dan mengendalikan harga beras.

Pada tempoh hari, kekurangan bekalan beras antarabangsa kerana pelbagai faktor memberi tekanan kepada harga beras dalam negara. Bernas tidak mempunyai saingan untuk mengimport beras. Walaupun bertahun-tahun, kita telah menyeru Kerajaan agar mengkaji semula peranan Bernas untuk mengimport 30% beras dan dasar 70% mampu diri untuk beras, tetapi seruan ini merupakan air di daun keladi.

Sekarang, Bernas bermaharajalela. Para pengguna dengan Bernas boleh disifatkan sebagai kambing dengan harimau, yang lemah melawan yang kuat. Sampailah masa bagi Kerajaan mengkaji hal ini, lalu mencari cara untuk mengadakan saingan bagi mengimport beras.

Beras biasa mempunyai campuran beras hancur 15% dan beras super 5 hingga 10%. Beras biasa adalah barang kawalan. Bekalannya sangat kurang. Biasanya, rakyat Malaysia membeli beras super.

Bila Bernas membeli padi dari petani, ia membayar RM 700 setan. Dua bulan yang lepas, ia naik kepada RM 1,000 kerana syarikat-syarikat lain menawarkan harga RM 1,150 setan. Hakikatnya, harga beras melambung, tetapi harga padi tidak naik dengan banyak.

Dua hari yang lepas, saya mengatakan usaha Kerjaaan untuk membuka tanah di Sabah dan Sarawak (100,000 ekar) mungkin akan mendatang hasilnya dalam 10 tahun. Kerajaan menetapkan dasar 70% mampu diri dan 30% import atas faktor strategik. Pada masa dahulu, negara-negara seperti Thailand mengeluarkan beras dengan modal yang lebih rendah. Sekarang, buat kali yang pertama, beras Malaysia diseludup kepada Thailand. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mencatatkan keluaran padi sekeping tanah (1.2 hektar atau 3.3 ekar) ialah 8 tan. Ada bendang seumpama di Endau Rompin, Chui Chap dan Sekinchan boleh mencapai 12 hingga 13 tan sekeping.

Dr Tan Seng Giaw