Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, September 29, 2009

Pelaksanaan Pelan Integriti Nasioanl

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw akan membangkitkan pelaksanaan Pelan Integriti Nasional di semua peringkat di Parlimen supaya pentadbiran negara adalah bersih, telus dan beramanah.

Dr Tan mengemukakan dua usul, 10 soalan untuk dijawab secara lisan dan lima soalan bagi dijawab secara berltulis kepada sesi Parlimen yang bermula pada 19 Oktober, 2009.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengamalkan 1 Malaysia, rakyat didahului. Demikian, kita berharap wujudnya perpaduan dan kemajuan di seluruh negara. Malahan, beliau menekankan KPI, Key Performance Index, dan KRA, Key Result Area: 26 kementeriannya akan dipandu oleh KPI dan KRA.

Ketika Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri, belaiu menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN). Najib menyertai beberapa program IIM dan mengalu-alukan PIN dan IIM.

Pada sesi Parlimen ini saya akan mengemukakan usul dan soalan mengenai KPI dan KRA untuk PIN dan IIM. Kita hendaklah prestasi semua kementerian yang baik dan yang dikurniakan dengan integriti. Kalau rakyat didahulukan, maka mereka mahu segalanya diuruskan dengan etika dan nilai yang tinggi.

Apa yang berlaku dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) ialah dari Jemaah Menteri, Kementerian kepada Lembaga Pelabuhan Klang (PPK), peraturan kewangan tidak dipatuhi. Integriti tidak timbul. Kos PKFZ meningkat dari RM400 juta kepada RM4.5 bilion. Jika tidak ada tindakan yang tegas, maka ia mungkin meningkat kepada RM12.5 bilion.

Saya menyentuh implikasi perubahan iklim yang telah dibincangkan di Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu, mesyuarat ekonomi G20 di Pittsburgh, Amerika Syarikat, masalah pembantu rumah, kualiti universiti dan penarafan dunia untuk IPTA dan IPTS. Apa keputusan yang dibuat oleh G20, 20 negara yang kuatnya ekonomi, akan memberi kesan kepada dunia termasuk Malaysia. Begitu juga dengan perubahan iklim yang mendatangkan pelbagai kesan terhadap dunia: air batu di kutub-kutub mencairkan, paras air laut naik dan beberapa negara mungkin ditenggelam oleh air laut serta perubahan cuaca dan taufan dan lain-lain.

Wabak besar selsema A H1N1 membawa kesan kepada negara. Kita perlu berhati-hati. Keselamatan negara dengan bertambahnya anggota polis dan pelaksanaan 125 syor Suruhanjaya Polis menarik perhatian sejak 2004.

Topik-topik yang lain adalah: penarafan pelabuhan di negara ini, bilangan saintis, pelan tempatan KL20, industri komoditi dan peladangan, pelan-pelan pelajaran termasuk sekolah bistari dan PPSMI, projek JKR termasuk keselamatan MRR2 Kepong, barang-barang kawalan, dan kebebasan media di dalam falsafah, dasar dan program Kerajaan.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, September 24, 2009

Akta Anti-Pengganasan (ATA) untuk mengganti ISA

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong menitikberatkan bahawa kita haruslah menggubalkan undang-undang seperti Akta Anti-Pengganasan (Anti-Terrorism Act, ATA) untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) kerana ISA adalah dijadikan undang-undang bagi menentang Komunis pada 1960.

Sejak Disember, 1989, Komunis sudah meletakkan senjata dan bekas Komunis ditempatkan di Selatan Thailand.

Pada 24.9.2009, Dr Tan mengulas pendapat bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang semalam menyebutkan bahawa Malaysia masih memerlukan ISA yang setaraf dengan emergency law (undang-undang darurat) bagi mengatasi masalah perkauman dan agama yang timbul dari semasa ke semasa.

Datuk Mohd. Noor Abdullah berkata, ‘‘Kita perlukan ISA. Apa yang berlaku baru-baru ini di Selangor seperti isu pemindahan kuil dan demonstrasi membawa kepala lembu adalah tanda-tanda yang negara akan menjurus kepada pergaduhan kaum dan agama.’’

Siapa yang mencetuskan sensitiviti perkauman, agama, adat resam dan bahasa yang mengakibatkan keporak-perandaan mestilah dihadapkan ke mahkamah tanpa mengira parti politik, atau kaum. Semua tindakan yang diambil wajib beteraskan kepada keadilan.

Penggubal ISA adalah H.R. Hickling, seorang rakyat British. ISA adalah untuk menentang Komunis bukan bagi mengatasi pengganasan bukan Komunis,agama, perkauman dan lain-lain. Ia pernah disalahgunakan.

Kita memerlukan undang-undang seumpama ATA untuk menghadapi pengganas atau anasir yang hendak menghancurkan negara.

Dr Tan Seng Giaw

Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Rakyat Malaysia menyambut Hari yang istimewa ini yang bererti perpaduan. Ia membawa silatulrahim. Kita mengunjungi rumah-rumah kawan.

Bagi pemandu kereta dan motosikal, kita menyeru supaya berhati-hati di jalan-jalan. Biarlah kita sampai ke rumah lewat sedikit.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, September 17, 2009

Vaksin selsema H1N1:garis panduan bagi 400,000 orang yang layak?

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kementerian Kesihatan mengadakan garis panduan yang jelas untuk memastikan 400,000 orang yang layak disuntikkan vaksin selsema H1N1. Jika tidak menggunakan garis yang yang baik, 27 juta rakyat Malaysia akan berasa tidak dilayan dengan adil.

Adalah mendesak bagi menentukan orang yang paling layak menerima 40,000 dos vaksin yang akan sampai di negara ini lebih awal. Difahamkan bahawa vaksin ini akan diberi kepada golongan utama seperti doktor, jururawat, ibu mengandung dan kanak-kanak.

Pada 17.8.2009, Dr Tan mengulas darihal vaksin H1N1.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bahawa 40,000 dari 400,000 dos vaksin yang dipesan oleh kementeriannya dari GlaxoSmithKline (GSK), U.K., akan tiba di Malaysia bulan depan. Baki 360,000 dos akan sampai di sini pada awal Januari 2010. Pesanan ini adalah berharga RM14 million. Jika vaksin jenis ini dari China dan Taiwan mempunyai kualiti yang baik dan harganya munasabah, kementerian haruslah juga membuat pesanan dari mereka. Tetapi, perdagangan ubat adalah rumit. Terdapat banyak faktor, termasuk saluran tradisional. Syarikat-syarikat Eropah seumpama GSK sudah bertapak di Malaysia berdekad-dekad.

Menurut laporan media, Liow mengatakan bahawa walupun vaksin yang akan didapati tidak pernah mengalami ujian klinikal, kementeriannya mempercayai ia selamat disuntikkan kepada orang. Kenyataan ini mengelirukan. Beliau haruslah memanggil pakar-pakar dari kementerian untuk menjelaskan perkara ini. Firma yang terkenal seperti GSK menjalankan ujian klinikal untuk produknya. Jika berlaku kesan vaksin yang buruk ke atas pesakit, ia terpaksa membayar pampasan yang besar.


Liow menegaskan," Kita sedang dalam proses membina kemudahan untuk membuat vaksin. Ninebio Sdn Bhd sudah diarah untuk membina sebuah kilang." Kementrian haruslah berwaspada. Sekiranya ia mampu mengadakan kilang seperti ini, ia perlu telus dan akauntabel. Biarlah ia mempelajari dari skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ); orang-orang yang terlibat tidak mengikut prosedur kewangan, tidak mengurus dengan betul dan tidak membuat tender terbuka.

Virus selsema bertukar corak (mutasi). Wabak selsema boleh menjadi lebih teruk bila-bila masa. Langkah-langkah seumpama menambahkan kemudahan perubatan di hospital dan klinik adalah perlu. Tetapi, kementerian mestilah mengawal perbelanjaan beratus juta ringgit dengan berkesan untuk mengelakkan kecurangan dan pembaziran.

Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, September 15, 2009

Jalan-jalan di luar senarai JKR juga perlu dinaikkan taraf

Timbalan Pengerusi Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kerja Awam (JKA) kerajaan tempatan mestilah juga menaikkan taraf jalan-jalan di luar senarai JKR. Ini haruslah termasuk lampu-lampu isyarat dan lain-lain.

Semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor hendak meningkatkan tahap keselamatan di beberapa kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan menjadikan salah satu petunjuk Indeks Prestasi Utama(KPI) Kementerian Kerja Raya. Beliau haruslah menyedari bahawa sebahagian besar kemalangan berlaku di jalan-jalan yang bukan di 10 kawasan jalan raya di seluruh negara yang telah disenarai dandikatakan kerap berlaku kemalangan.

Kita perlu sentiasa meningkatkan keselamatan jalan. Sikap orang ramai memang penting, termasuk para penunggang motosikal yang menjadi lebih 50% mangsa kemalangan. Semua pihak patutlah menyokong Kempen Keselamatan Jalan Raya (CARE) yang telah dilancarkan oleh menteri tersebut.

Daripada 370,000 kes kemalangan jalan tahun lalu, adanya lebih 6,000maut. Kita hendaklah selalu berhati-hati terutamanya semasa musim perayaan.

Datuk Shaziman mestilah tahu bahawa keselamatan di banyak tempat perlu dijaga juga. Misalnya, di jejambat MRR2, Kepong, terdapat jalan berlubang-lubang. Memandangkan bilangan kenderaan yang menggunakan MRR2, ini memang menjejaskan keselamatan jalan. Kawalan JKR patut dipertingkatkan.

Selain dari usaha JKR, JKA di 144 kerajaan tempatan haruslah berikhtiar untuk memperbaiki keselamatan di jalan-jalan di bawah kawalannya. Tambahan, lain-lain agensi seperti Tenaga Nasional Berhad,TNB, patut memastikan lampu-lampu jalan adalah berfungsi.

Semoga orang-orang yang balik kampung untuk beraya senentiasa menjaga keselamatan jalan. Selamat Hari Raya.

Dr Tan Seng Giaw

Wednesday, September 09, 2009

Apakah sebab kematian Teoh Beng Hock?

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan SengGiaw menekankan bahawa inkues siasatan kematian Beng Hock haruslah mencari sebab kematiannya dengan cara yang adil, tanpa dipengaruhi oleh sesiapapun.

Pada 8 September, 2009, prosiding inkues kematian Beng Hock hari ke-18, saksi yang ke-19 Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Mohd. Ashraf Mohd. Yunus menggambarkan Setiausaha Politik Exco Selangor itu berkeadaan gelisah ketika ditemuduga di Tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam, pada 15 Julai,2009.

SPRM menyiasat kes penyelewengan peruntukan wang kerajaan negeri Selangor. (Cuba bandingkan amaun wang ini dengan Zon Bebas Pelabuhan Klang, PKFZ).

Media melaporkan bahawa Mohd. Ashraf telah disoal oleh peguam pemerhati bagi suruhanjaya berkenaan, Datuk Abdul Razak Musa di Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, ''Beng Hock tidak nampak ceria, dia serius dan tidak banyak bercakap. Dia cuma bercakap apabila ditanya mengenai nama, umur dan bagaimana dia mengenali Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.''

Beng Hock ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam kira-kira pukul 2 petang, 16 Julai lalu selepas disoal siasat oleh SPRM.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock menggunakan satu laporan polis bertarikh 11 September 2008, sebagai asas untuk mencabar kredibiliti keterangan Mohd. Ashraf setelah saksi itu sebelum ini mengatakan beliau tidak tahu menahu wujud kekerasan dalam soalsiasat SPRM.

Walaupun kes inkues ini adalah di bawah koroner, siasatan suruhanjaya diraja adalah lebih sesuai. Yang terpenting sekali inkues siasatan ini perlu dijalankan dengan adil untuk mencari kebenaran. Ini termasuk cara-cara yang dipakai oleh SPRM untuk menemuduga dan menyiasat. Dunia sedang melihat integriti SPRM.

Ketika George Bush menjadi Presiden Amerika Syarikat, pelbagai cara kejam digunakan di Guantanamo untuk mendapat maklumat dari orang-orang tahanan bersabit dengan keganasan. Presiden Obama hendak memberhentikan cara-cara kejam ini. Sementara itu, apakah cara-cara yang diamalkan oleh SPRM?

Dr Tan Seng Giaw