Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, December 13, 2006

Perlu keberkesanan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk projek perumahan

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya keberkesanan 144 PBT di Malaysia dipertingkatkan sebagai satu langkah untuk menyelesaikan permasalahan projek-projek perumahan di negara ini.

Dr Tan mengambil bahagian di dalam perbahasan rang undang-undang meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 pada 12 Disember, 2006.

Dalam beberapa dekad ini, projek-projek perumahan wujud di seluruh negara untuk memenuhi permintaan. Ada yang berjaya dan ada yang gagal. Sesetengah pembeli menghadapi pelbagai masalah termasuk kelewatan untuk menyiapkan projek.

Selain daripada rang undang-undang tersebut, rang undang-undang yang lain termasuk rang undang-undang meminda Jalan, Parit dan Bangunan 1974, rang undang-undang Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2006 dan rang undang-undang meminda Akta Hakmilik Strata 1985, adalah untuk mengatasi permasalahan perumahan.

Kita berkehendakkan undang-undang yang lebih berkesan untuk menangani industri perumahan. Peranan PBTs adalah penting. Kita sering menerima aduan mengenai kelemahan PBTs untuk memantau projek-projek.

Lebih dua tahun yang lepas, Kerajaan memulakan projek percubaan untuk Smart Local Government Governance Agenda (SLGGA) bagi, antara lain, menaikkan taraf PBT supaya telus, bertanggungjawab, cekap, berkesan dan cepat bertindak melalui penggunaan ICT.

Projek percubaan ini telah diadakan di enam buah PBT, iaitu Kuala Kangsar, Manjung, Kinta Selatan, Port Dickson, Nilai dan Jelebu. Setelah lebih dua tahun, Kerajaan belum lagi memutus meperluaskan SLGGA kepada 138 buah PBT lagi.

Tan Seng Giaw