Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Thursday, December 30, 2010

Pastikan pelajar antarabangsa di Malaysia benar-benar pelajar

Timbalan Pengerusi Kenagsaan dan Ahli Parlimen Kepng Dr Tan Seng Giaw mendesak Kerajaan Pusat sekali lagi supaya mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk menentukan semua orang asing yang masuk ke negara ini dengan visa pelajar adalah betul-betul pelajar, bukan menangguk di air keruh dan terlibat dengan kegiatan bukan pelajar.

Semua pihak mestilah berikhtiar untuk menjadikan institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPT) mencapai standard antarabangsa. Kita perlu mengelakkan daripada institusi-institusi pendidikan terjatuh ke tahap kedai.

Pada 31.12.2010, Dr Tan membangkitkan sekali lagi masalah mengenai matlamat mewujudkan hab pengajian tinggi antarabangsa di Malaysia.

Pendidikan di Malaysia adalah terpenting sekali. Misalnya, bajet 2011 adalah RM214 bilion, RM35.8 bilion daripadanya bagi pelajaran rendah dan menengah serta RM12.6 bilion untuk pengajian tinggi. Dengan peruntukan lebih 20% daripada jumlah bajet kebangsaan, semua yang terlibat boleh menggunakannya dengan baik tanpa pembaziran.

Kita mempunyai 20 buah IPTA dan lebih 30 buah IPTS. Selagi kita boleh meningkatkan kualitinya sejajar dengan tahap dunia, IPT ini dapat memainkan peranan yang bererti.

Jika berbanding dengan negara-negara maju, pelajar asing boleh masuk ke IPT di sini dengan kos yang lebih rendah. Maka, Kementerian Pengajian Tinggi mengatakan jumlah pelajar asing di IPT adalah 86,000 orang. Jika setiap pelajar boleh memberi sumbangan kepada negara RM30,000, mereka memberi sumbangan dengan angka yang tertentu setiap tahun. Justeru, ada hasrat untuk menarik 150,000 pelajar asing di IPT negara ini pada 2015. Semoga matlamat ini tercapai.

Sambil berusaha mewujudkan standard antarabangsa di semua IPT, Kerajaan Pusat haruslah melaksanakan langkah-langkah yang berkesan termasuk penyelarasan dengan jabatan-jabatan yang berkenaan, bagi memastikan orang yang menggunakan visa pelajar adalah sungguh-sungguh pelajar. Bila saya mengemukakan soalan ini di Dewan Rakyat, jawapan Kementerian Pengajian Tinggi adalah samar-samar.

Sekiranya pihak kerajaan melihat tempat-tempat terkumpulnya pelajar-pelajar antarabangsa di negara ini, misalnya di Metro Prima dan Taman Usahawan di Batu 7 Kepong, mereka akan mendapat pandangan yang sebenarnya. Ada golongan pelajar. Ada yang bukan: mereka menawarkan pelbagai projek termasuk 'projek pelaburan dengan jumlah yang beratus juta dolar', terutamanya melalui Internet.

Rakyat hendak menyaksikan hanya para pelajar yang tulen datang ke negara ini untuk belajar di IPT. Kami akan terus memberi perhatian mengenai hal ini.

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, December 05, 2010

Pemantauan golongan pelajar antarabangsa

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kementerian Pengajian Tinggi mewujudkan tahap pemantauan yang berkesan ke atas institusi pengajian tinggi dan pelajar antarabangsa agar mereka tidak terlibat dengan kegiatan bukan pendidikan.

Pada 6.12.2010, Dr Tan menanya soalan tambahan ketika Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menjawab soalan YB Sekijang mengenai pelajar antarabangsa yang melakukan jenayah di Malaysia.

Menurut YB Timbalan Menteri, 180 buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) diberikan kelulusan untuk setiap dua tahun bagi mengambil pelajar antarabangsa. Pada 2010, kelulusan untuk 24 IPTS telah di tarik balik.

Pada 2007, 2 kes jenayah yang melibatkan pelajar asing dilaporkan, pada 2008 10 kes dan 2009 17 kes. Kononnya, kira-kira RM600,000 dibelanjakan oleh IPTS untuk kursus kepimpinan komuniti dan kebudayaan bagi para pelajar antarabangsa.

Akta IPTS membenarkan IPTS mengambil pelajar antarabangsa agar Malaysia boleh menjadi pusat pendidikan bertaraf dunia. Pengambilan pelajar antarabangsa memang menimbulkan pelbagai masalah di mana-mana negara.

Timbalan Menteri YB Temerloh dipelawa menyaksikan dengan sendiri di Taman Metro Prima dan Taman Usahawan, Batu 7 Kepong, apa yang dilakukan oleh segeintir 'pelajar' termasuk pembukaan kedai makanan dan minuman. Adakah pelajar tulen mampu membuka kedai? Apakah kesan terhadap para penduduk tempatan?

Kita mestilah memastikan pemantauan dan tindakan yang berkesan ke atas orang-orang yang menyalahgunakan visa pelajar untuk kegiatan bukan pendidikan. Penyelarasan dengan semua jabatan yang berkenaan seumpama Jabatan Imigrsen dan polis haruslah dipertingkatkan. Dasar menjadi Malaysia sebagai pusat pendidikan antarabangsa akan terus mendatangkan cabaran seperti ini.

Dr Tan Seng Giaw