Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Thursday, May 31, 2007

Perdana Menteri melawat KL & Kepong & Pelan Tempatan KL20

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Perdana Menteri YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memastikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melaksanakan Pelan Struktur Kuala Lumpur (KL20), meliputi pelan tempatan dan 190 perkara dasar.

Dr Tan membuat komen terhadap lawatan YAB kepada ibu pejabat DBKL dan perasmian Program Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Intan Baiduri, Kepong, pada 1 Jun, 2007.

PM memberi perhatian kepada pembangunan KL. Ini adalah betul. YAB pernah menjadi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada 80han Abad lalu.

KL membangun dengan pesat, termasuk Kepong. Tetapi, terdapat kelemahan-kelemahan di dalam perancangan bandar, seumpamanya Kompleks Desa terletak di tepi Jejambat Kepong (MRR2). Pelan Struktur KL 1984 adalah seolah-olah tidak berkesan. Maka pada 2004, DBKL menggubalkan KL20, lalu mewartakannya. Matlamat KL20 adalah untuk mewujudkan KL sebagai bandaraya bertaman tropika bercahaya yang bertaraf dunia.

KL20 berkehendakkan pelan tempatan. Tahun lepas, DBKL berjanji bahawa pelan tempatan disiap dan diwartakan pada akhir 2006. Namun, sehingga kini pelan tempatan belum dipamerkan, apatah lagi digezetkan. Kita tidak tahu apakah masalah DBKL yang tidak dapat mengadakan pelan tempatan.

Adalah diharapkan bahawa ketika lawatan ke DBKL dan Kepong, beliau boleh memahami KL20 dan objektifnya pada 2020.

DBKL bertunkus-lumus membuat persiapan untuk lawatan tersebut: halangan projek tebatan banjir di Jalan Kepong bahagian Jinjang dipindahkan, longkang-longkang di Taman Intan Baiduri dicuci, jalan-jalan diturap dengan tar, panji dan bendera dipasang, bangunan dibersih, awning didirikan di depan PPR dan sebagainya. Para penduduk taman itu boleh melihat keberkesanan DBKL. Aduan tentang longgokan sampah dibuat berkali-kali lebih dua tahun; semua dapat dipungut dalam satu hari. Sebaliknya, sampah-sarap di tempat-tempat lain semacam Pusat Kepong tidak dapat dipungut.

KL20 mempunyai 190 perkara dasar untuk membolehkan KL mencapai tahap dunia. Misalnya, ia menggalakkan pusat berasaskan pengetahuan di sektor perdagangan dan industri, pengangkutan awam yang baik, kemudahan yang sempurna, kualiti perumahan yang elok, landskap indah di kawasan-kawasan kediaman, perdagangan dan industri, penyusunan semula struktur untuk menentukan perancangan, penyelarasan dan pembangunan yang berkesan.

Setibanya Datuk Bandar baru di KL awal tahun ini, kita telah memberi peringatan mengenai KL20. Sekarang, kita memberitahu PM dengan harapan bahawa beliau membantu menyiapkan dan mewartakan pelan tempatan untuk menjayakan KL20.

Dr Tan Seng Giaw

Monday, May 28, 2007

Kemuka laporan kebocoran kompleks mahkamah, parlimen dll ke Dewan Rakyat, 29.5.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menegaskan bahawa Kerajaan patut mengemukakan laporan terhadap kecacatan kompleks mahkamah baru dan bangunan awam Putrajaya di Dewan Rakyat. Jawatankuasa Pilihan Dewan mestilah bertanggungjawab untuk menyiasat kebocoran bangunan parlimen.

Pada 29 Mei, 2007, Dr Tan merujukkan kepada sidang media Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz dengan Johari, Pengurus Besar Joharwaki Sdn Bhd, yang merupakan kontraktor utama kompleks mahkamah baru. 。

Hari yang sebelumnya, Nazri berjumpa dengan Johari di Parlimen, lalu menyebutkan di satu sidang media di situ juga bahawa Johari meminta maaf tentang kecacatan kompleks mahkamah, pembuka paip plastik digunakan bukan pembuka logam menyebabkan kebocoran di kompleks itu, aduan terhadap kecuaian kontraktor paip telah dikemukakan kepada Lembaga Pembangunan Industri Bangunan (CIDB), tempoh warantinya akan berakhir pada Februari 2008, Kerajaan masih belum membayar baki RM 60 juta kepada kontraktor dan kompleks itu tidak perlu sijil kelayakan menduduki dan sebagainya.

Ahli-ahli Parlimen mahu Kerajaan mengkaji secara menyeluruh kecacatan kompleks mahkamah baru, bangunan awam di Putrajaya dan bangunan Parlimen. Mengapa renovasi bangunan Parlimen dengan kos RM 90 juta mengakibatkan kebocoran? Berpuluh bilion ringgit telah dibelanja untuk bangunan awam di Putrajaya; bagaimana kebocoran berlaku di ibu pejabat Jabatan Imigresen dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi?

Ketua Audit Negara sedang mengetuai sebuah jawatankuasa untuk menyiasat bangunan-bangunan awam di Putrajya. Skop jawatankuasa ini boleh diperluaskan kepada kompleks mahkamah baru. Jawatankuasa Pilihan Dewan mestilah menyiasat bangunan Parlimen.

Difahamkan bahawa kos kompleks mahkamah baru adalah RM 370 juta di atas tanah dengan keluasannya 97,337 meter per segi. Ia mempunyai 28 buah bilik mahkamah tinggi, 21 buah bilik mahkamah sesi, 26 buah bilik mahkamah majistret dan dua buah bilik mahkamah keluarga. Kerja untuk kompleks itu bermula pada Januari 2001 dan siapnya pada Februari 2007. Kompleks ini digunakan mulai Mac, 2007.

Dari 30 April, 2007 hingga 25 Mei, 2007, sekurang-kurangnya sembilan insiden telah berlaku di kompleks mahkamah baru seperti siling menurun, paip bocor, dinding retak, kumbahan membanjiri bilik dokumen dan lain-lain. Ini tidak boleh diselesaikan dengan sidang media tersebut.

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, May 27, 2007

Menteri Pelajaran mestilah kaji semula dasar satu bahasa,27.5.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Menteri Pelajaran Y.B. Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein mengkaji semula dasar bahasa. Sambil memastikan semua rakyat menguasai Bahasa Malaysia, beliau mestilah mengenepikan dasar satu bahasa sahaja dan menggalakkan pelajaran bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris. Janganlah hantar guru yang tidak memahami Mandarin kepada sekolah Cina lagi.

Dr Tan bercakap demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Makan Malam Ulang Tahun Ke-40 DAP Cawangan Serdang di Dewan SJK (C) Serdang I pada 26 Mei, 2007.

Malam ini, Dong Jiao Zhong (Gabungan Persatuan-Persatuan Lembaga Mengurus dan Guru-Guru Sekolah Cina) mengadakan Majlis Jamuan Makan Malam untuk kira-kira 5,000 peserta di Kajang. Suasananya luar biasa. Jika Menteri Pelajaran hadir di majlis itu, beliau tentu mendapat tanggapan yang berlainan. Ini boleh merangsangkan dasar pelajaran yang liberal dan terbuka.

Pada tempoh hari, YB melawat negara China sambil belajar. Beliau memahami bahawa rakyat China adalah lebih mementingkan negaranya daripada individu dan kaum. Ini mewujudkan kejayaan China. Kita boleh mempelajari darinya. Sentimen pendidikan China adalah mengatasi lain-lain perkiraan.

"China tidak mengizinkan isu kontroversi memecahbelahkan. Sehingga sekarang, masyarakat antarabangsa mengiktirafkan kemajuan ekonomi dan kemampuan untuk memimpinnya," ujar beliau.

Kita tidak mengetahui selama mana China boleh mempertahankan kedudukannya. Ini terserah kepada usaha rakyat China.

Kita berharap sekembalinya ke tanahair, YB Dato' Seri Hisham dapat berfikir dengan sedalam-dalamnya, agar beliau sanggup merancang dan melaksanakan dasar pendidikan yang lebih baik, lalu melayani sekolah semua aliran dengan adil dan saksama. Misalnya, sekiranya sebuah sekolah kebangsaan baru diperuntukkan RM 20 juta dan sebuah sekolah baru Cina diberi hanya RM20,000, ini merupakan satu mata besar dan satu yang kecil. Ia memang menjejaskan pandangan semua kaum.

Menteri Pelajaran haruslah memakai cermin mata yang mempunyai penglihatan kiri dan kanan yang serupa.

Kita sudah merdeka 50 tahun. Seandainya kita sentiasa menekankan dasar satu bahasa seperti dinyatakan di dalam titah ucapa diraja pada 1982 dan kenyataan-kenyataan menteri sampai sekarang, maka kepercayaan rakyat adalah terjejas. Adalah benar bahawa kita mementingkan BM. Tetapi, kita juga menggalakkan penguasaan bahasa-bahasa yang lain seumpama Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Dr Tan Seng Giaw

Wednesday, May 23, 2007

Dewan Rakyat mesti putus memberi kuasa kepada Jawatankuasa Dewan untuk menyiasat kebocoran teruk, 23.5.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw berpendapat bahawa Dewan Rakyat harus membuat ketetapan memberi kuasa memanggil orang hadir di hadapannya atau meminta dikeluarkan surat-surat, untuk menyelesaikan masalah kebocoran dan kecacatan yang lain di parliament.

Dr Tan mengeluarkan kenyataan mengenai kebocoran teruk di bangunan parliament pada 20 Mei, 2007.

Sejak ahli-ahli parlimen DAP membangkitkan kebocoran parliament pada 10 Mei, 2007, perkara-perkara yang tidak munasabah berlaku di dalam dan luar parliament, termasuk ahli-ahli menyuara kata-kata sesat terhadap menstruasi lalu menyinggung wanita serta Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu mengatakan bahawa renovasi bangunan parlimen dengan belanja RM 90 juta adalah tanpa bumbung kalis air. Kita berasa terperanjat.

Jawatankuasa Dewan Rakyat mengandungi Tuan Yang di-Pertua Tan Sri Ramli Ngah Talib sebagai Pengerusi dan enam orang ahli yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilihan. Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Datuk Shahrir menekankan bahawa Jawatankuasa Dewan mesti mengkaji masalah kebocoran. Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mengatakan bahawa Datuk Seri Samy perlu bertanggungjawab terhadap kecacatan itu dan hal penyenggaraan patut diletakkan di bawah Jawatankuasa Dewan.

Tetapi, Jawatankuasa Dewan mengendali segala perkara berkaitan dengan kesenangan dan kemudahan serta khidmat-khidmat dan kenikmatan-kenikmatan yang terdapat bagi ahli-ahli Majlis. Jawatankuasa ini tidak berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya atau meminta dikeluarkan surat-surat kecuali jika Majlis membuat ketetapan memberi kuasa berkenaan dengan ini. Majlis hendaklah membuat ketetapan sedemikian, agar Jawatankuasa ini dapat mengkaji kebocoran dan kecacatan lain serta mencari cara penyelesaian.

Kita ingin mengetahui tanggungjawab Menteri Kerja Raya yang sebenarnya. Hakikatnya, beliau bukan sahaja merancang dan melaksanakan kemudahan-kemudahan asas seperti bangunan parlimen, bahkan juga menyenggara serta meningkatkan kualiti infrastruktur. Setelah membelanja RM 90 juta, parliament memperolehi bangunan yang bocor teruk. Ini adalah bukan standard negara maju yang dicita-citakan Malaysia pada 2020.

Dr Tan Seng Giaw

Dewan Rakyat mesti putus memberi kuasa kepada Jawatankuasa Dewan untuk menyiasat kebocoran teruk, 23.5.2007.

民主行动党全国署理主席陈胜尧博士认为国会必须议决,给与国会事务委员会权利传召任何人出席会议,并观看任何文件,以便解决国会维修和漏水的问题。

陈医生是于2007年5月20日针对一系列的漏水事件发表文告。

自从行动党国会议员在本月10日的国会里,提出国会严重漏水的事件之后,国会内外出现了不合理的事情,包括议员的失口和工程部长越讲越乱,说什么2005年国会大厦9千万令吉的维修没有包括防水设备。我们都感到疑惑。

国会事务遴选委员会是以议长丹斯里南利为主席。公共账目委员会主席拿督沙里尔坚持事务委员会必须调查国会漏水的事件。国会反对党领袖林吉祥指出,工程部长拿督斯里三米威路必须负责,而国会维修应该纳入事务委员会。这些看法,是有理由的。

然而,事务委员会提供议员们的舒适和方便的服务和设施,并不包括训令有关人士回答问题,以及阅读有关文件。于是,国会必须通过议决案,授权此委员会传召任何人物和阅读相关的文件,以便彻查国会严重漏水的真相,防水与维修的问题。

我们很想知道工程部长的真正责任。其实,他不但是策划和实行公共基本设施,诸如国会大厦,同时也维修和提高公共基本设施的素质。花了9千万令吉,换来的是到处漏水,并不是发达国家的准则。

甲洞区国会议员陈胜尧

Monday, May 14, 2007

Standard perumahan, pemaju, kontraktor, profesional, pembeli,1.5.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan 144 pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap pemaju dan kontraktor yang tidak mematuhi standard perumahan. Misalnya, sesetengah rumah di Taman Fortune, Batu 7, Jalan Kepong, Kuala Lumpur, mengalami keretakan dan tanah menurun. Pemaju BH Realty Sdn Bhd mestilah memperbetulkan kecacatan ini.

Dr Tan membuat desakan ini ketika menemui para penduduk di Taman Fortune pada 13 Mei, 2007.

Pada tempoh hari, sesetengah bangunan di Putrajaya dan Kuala Lumpur mengalami kebocoran dan keruntuhan siling. Ini telah menyebabkan kekhuatiran di kalangan awam. YAB Perdana Menteri berasa marah dan malu. Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Penilaian dan Penyiasatan bangunan Putrajaya.

Sebaliknya, terdapat ribuan bangunan swasta dibina setiap tahun. Sesetengahnya cacat. Ada pemaju yang kononnya tidak mampu mengatasi kekurangan standard perumahan dan ketidakpuasan para pembeli rumah. Walaupun keadaan tidak baik, PBT masih mengeluarkan sejil kelayakan menduduki(CFO). Kini, CFO telah digantikan dengan Sijil Siap dan Patuh (CCC).

Taman Fortune tersebut terletak di tanah bekas lombong di Batu 7 Kepong. Ia memerlukan cerucuk yang cukup sebagai asas untuk perumahan. Di Taman Indah Perdana yang dekat, beberapa rumah retak dengan semakin teruk dalam 20 tahun ini; para penghuni menghadapi kebahayaan dan rumah mereka tidak ada harga.

Sekarang, kita menyaksikan keretakan hampir 26 buah rumah teres dengan tanah menurun di Taman Fortune. Lebih banyak rumah mungkin terlibat. Para penduduk meminta BH Realty memperbaiki keretakan, mengelakkan ia menjadi lebih teruk dan memastikan keselamatannya.

Kecacatan rumah serupa ini berlaku di tempat-tempat yang lain. Jika projek awam di Putrajaya yang menelan belanja berbilion-bilion ringgit menimbulkan permasalahan, apatah lagi dengan projek swasta?

Tahun lepas, Dewan Rakyat meluluskan beberapa rang undang-undang untuk meminda akta-akta yang berkaitan dengan perumahan seperti Akta Pembangunan Perumahan, untuk menentukan PBT, pemaju, kontraktor dan ahli profesional menunaikan tanggungjawabnya. Yang lebih pentingnya, para pembeli rumah perlu diperlindungkan. Kita percaya Kerajaan haruslah menggunakan undang-undang ini bagi membantu para penduduk di taman-taman yang menghadapi kesusahan seumpama Taman Fortune.

Dr Tan Seng Giaw

Monday, May 07, 2007

Kukuhkan pentadbiran & penguatkuasaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, 7.5.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong menyeru supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempertingkatkan kaedah pentadbiran dan penguatkuasaannya, agar ianya dapat memainkan peranan yang lebih berkesan.

PTPTN patut memperbaiki penyelarasan dengan Lembaga Hasil Dalam Negara. Ramai yang mengharapkan bahawa lembaga ini boleh mengutipkan balik pinjaman dari penerima pinjaman dengan lebih senang.

Dr Tan menyatakan seruan ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang untuk meminda Akta PTPTN 1997 di Dewan Rakyat pada 7 Mei, 2007.

Rang Undang-Undang ini, antara lain, meminda fasal-fasal untuk membuat perubahan kepada keanggotaan Lembaga Pengurusan PTPTN, menerima deposit daripada warganegara Malaysia dan, paling pentingnya, memasukkan seksyen baru 22A ke dalam Akta 566 untuk memberi kuasa kepada Ketua Eksekutif untuk mengeluarkan perakuan kepada Ketua Polis Negara atau Ketua Pengarah Imigresen untuk melarang mana-mana pelajar atau penerima daripada meninggalkan Malaysia dalam hal keadaan tertentu khususnya apabila sesuatu pinjaman pendidikan tidak dibayar balik atau tertunggak.

Pada prinsipnya, saya setuju dengan YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed mengenai tindakan yang lebih tegas terhadap para graduan yang tidak menjelaskan hutang. Kita tidak boleh membenarkan kacang melupakan kulit atau kulit melupakan kacang.

[Tindakan PTPTN mestilah berteraskan kepada belas kasihan dan peri kemanusiaan tetang para graduan atau penerima pinjaman yang benar-benar miskin. Adakah orang benar-benar miskin mampu pergi ke seberang laut atau diberi bantuan orang? Adakah ianya bersedia membayar ansuran RM50 atau RM100 sebulan?]

Ramai ahli berminat mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang ini. Walaupun pendapat masing-masing berbeza, saya berasa gembira kerana mereka memberi perhatian kepada pendidikan tinggi.

Pada 8 April, 2007, akhbar menyiarkan bahawa jumlah yang dihutang oleh para pejajar yang menerima pinjaman adalah lebih RM12.5 bilion dari PTPTN, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Mara. YB Menteri mengatakan bahawa sehingga 31 Mac, 2007, amaun pinjaman yang sepatutnya perlu dikutip oleh PTPTN adalah sebanyak RM1.37 bilion yang melibatkan 438,775 peminjam. Pada tarikh yang sama, PTPTN telah memfailkan saman di mahkamah terhadap 395 peminjam yang ingkar.

Laporan akhbar memaparkan bahawa lebih 75 graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) mengadu bahawa mereka diminta membayar balik pinjaman PTPTN, walhal mereka tidak pernah membuat permohonan untuk pinjaman. [YB Menteri menjelaskan bahawa PTPTN menhantarkan wang kepada Unitar dan kini siasatannya menunjukkan wang ini tidak diberi kepada para graduan tersebut. Unitar telah mengembalikan wang itu kepada PTPTN.]

Adalah perlu untuk mengemaskinikan pengurusan PTPTN agar hanya orang yang ingkar dikenakan tindakan. PTPTN haruslah mempertingkatkan kaedah atau sistem penguatkuasaan. Hanya mendapat iktibar dari New Zealand dan Australia adalah tidak mencukupi kerana Malaysia adalah tidak serupa dengan mereka. Misalnya, New Zealand mempunyai kependudukan tak sampai 6 juta, berbanding dengan 26 juta di Malaysia. Kedua-dua negara tersebut berjaya mengutip balik lebih 80% daripada jumlah hutangnya.

Kita menumpukan kepada Lembaga Hasil Dalam Negara untuk mengutip balik ansuran pinjaman penerima. Di New Zealand, cara ini berkesan. Tetapi di Malaysia, penyelarasan di antara PTPTN dengan lembaga ini mestilah diperbaiki.

Para pemohon untuk pinjaman PTPTN sering meminta ahli parlimen menjadi saksi. Saya setuju dengan syaratnya bahawa mereka membayar balik kelak.

Dengan langkah-langkah tersebut PTPTN boleh memainkan peranan yang lebih berkesan di masa depan.

(YB Dato' Mustapa mengakui bahawa adanya kelemahan-kelemahan pentadbiran dan penguatkuasaan PTPTN. Setakat ini, 61,016 surat peringatan dan 17,382 surat permintaan dikirimkan kepada para peminjam yang ingkar, tetapi hanya 4% yang menjawab.

YN Menteri memberi jaminan bahawa PTPTN akan mengambil 11 tindakan sebelum pasport penerima akan ditahan. Hanya selepas semua tindakan diambil, barulah tindakan rampasan pasport diambil sebagai tindakan yang terakhir.)

Dr Tan Seng Giaw

Patut tubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Akhabr di Parlimen, 7.5.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mencadangkan supaya Dewan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk menyiasat keadaan kebebasan akhbar yang sebenar di negara ini, cocok dengan Hari Kebebasan Akhbar Dunia pada 3.5.2007.

Kerajaan haruslah mengkaji semula semua undang-undang yang kena-mengena dengan kebebasan akhbar seperti Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA). Ia patut juga mengkaji semula lesen percetakan tahunan (KDN), untuk memastikan ketelusan dan kepertanggungjawapan (akauntabiliti).

Dr Tan membuat cadangan ini ketika menjadi salah seorang ahli panel di forum Hari Kebebasan Akhbar Dunia di Institut Integriti Malaysia pada 3.5.2007. Forum ini adalah dianjurkan oleh Institut Asia untuk Pembangunan Komunikasi (Aidcom), dengan bantuan Institut Akhbar Malaysia dan Kelab Akhbar Nasional serta kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Adalah tabiat biasa kerajaan-kerajaan untuk mengkontrolkan media dan kehakiman. Sebagai yang disebutkan oleh Lord Acton, kuasa itu menimbulkan rasuah dan kuasa mutlak menimbulkan rasuah secara mutlak. Ini adalah kebenaran yang bersejagat untuk selama-lamanya.

Rakyat mendapat kerajaan dan para pemimpin yang mereka sokong. Jika kita berkehendakkan kebebasan akhbar, maka hanya dengan perasaan rakyat yang amat sangat terhadapnya, barulah para pemimpin mengambil perhatian. Oleh itu, kita memerlukan pendidikan yang terus-menerus.

Hampir semua pemberita tidak mahu tulisannya mengakibatkan kucar-kacir di negara yang berbilang agama dan berbilang bangsa ini. Kita mewujudkan sebuah negara yang bersatupadu di dalam kepelbagaian.

Menurut pertubuhan Wartawan Tanpa Sempadan, ranking Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar meningkat 21 mata, dari kedudukan 113 pada 2005 ke 92 pada 2006. Ini adalah satu kemajuan. Tetapi pada pandangan saya, perubahan ini cuma kosmetik (zahir) sahaja.

Saya sering membuat komen tentang isu-isu negara dalam tiga bahasa untuk selama 31 tahun. Kini, kenyataan dihantar kepada suratkhabar melalui faks dan e-mel. Misalnya, pada 30 April, 2007, Perdana Menteri YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meluahkan perasaan marah dan malu darihal paip bocor dan keruntuhan siling bangunan kerajaan di Putrajaya dan Kuala Lumpur. Beliau mengarahkan pemeriksaan semua bangunan kerajaan di seluruh negara. Saya mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mengesyorkan Kertas Putih mengenai kelemahan-kelemahan bangunan di Parlimen, agar ahli-ahlinya boleh membahaskan dengan teliti. Semacam biasa, jaranglah suratkhabar memuatkan syor ini.

Sekarang, kita mempunyai pilihan dalam bentuk Internet dan blog-blognya. Walaupun tidak ramai lagi yang membaca blog, bilangannya akan bertambah dalam beberapa tahun.

20 tahun yang lalu, 107 orang ditahan dalam Operasi Lalang di bawah ISA. Ramai dibebaskan dalam 60 hari. Segelintirnya termasuk saya dimasukkan secara paksaan ke Universiti Kamunting. Salah satu tuduhan terhadap saya ialah pada 11 Oktober, 1987, di satu perhimpunan di Tokong Thean Hou, Kuala Lumpur, saya menggunakan isu kenaikan pangkat guru besar dan pembantu kanan yang tidak memperolehi kelayakan Mandarin tetapi dihantar ke sekolah-sekolah Cina untuk menyemarakkan rasa perkauman orang Cina. Saya tidak berucap di perhimpunan itu.

Kini, terutamanya di pilihanraya kecil Ijok pada 28 April, 2007, Kerajaan mengatakan bahawa penghantaran guru besar yang tidak fasih dalam Mandarin kepada sekolah Mandarin adalah salah.

Perjuangan untuk kebebasan akhbar mengambil masa yag panjang. Jalannya amat bengkok. Pada 2006, seramai 150 wartawan telah dibunuh di banyak tempat di dunia.

Di Malaysia, tidak ada wartawan yang dicedera atau dibunuh. Ada yang pernah ditahan di bawah ISA seumpama Abdul Samad Ismail atau dipecat dari jawatannya.

Dalam sejarah, terdapat pemimpin yang menderita ketika memperjuangkan untuk kebebasan seperti penulis dan ahli falsafah Perancis Abad ke-18, Rousseau dan Voltaire. Kedua-duanya adalah terkemuka semasa Revolusi Perancis. Pada abad yang sama, penyair English William Blake menulis sebuah sajak Mock On, Mock On, Voltair, Rousseau:

Mock On, Mock On, Voltaire, Rousseau;

Mock on, Mock on, 'Tis all in vain.

You throw the sand against the wind,

And the wind blows it back again.


And every sand becomes a Gem

Reflected in the beams divine; .....

Voltaire mempercayai kebebasan agama, politik dan sosial. Beliau dibuang daerah beberapa kali kerana kepercayaan yang radikal.

Aidcom mengeluarkan buku kecil yang mengandungi erti kebebasan akhbar dan angka-angka mengenai tahanan dan pembunuhan dissidents siber, pembantu media dan wartawan.

Kita menggalakkan Kerajaan untuk berikhtiar memupukkan kebebasan akhbar, bukan setakat memperbaiki kedudukan dalam Indeks Kebebasan Akhbar, bahkan dalam isi-kandungannya. Satu cara yang bermakna ialah penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk kebebasan akhbar, serta pengkajian semula undang-undang yang berkaitan dengannya dan KDN untuk masa hadapan yang cerah.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, May 03, 2007

Kertas Putih di Dewan Rakyat, selepas pemeriksaan bangunan, 3.5.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Kerajaan mengemukakan Kertas Putih di Dewan Rakyat, selepas pemeriksaan semua bangunan kerajaan di seluruh negara serta cara-cara untuk menyelesaikan masalah seperti siling runtuh di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, paip bocor di ibu pejabat Jabatan Imigresen dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Putrajaya.

Dr Tan membuat cadangan ini pada 1 Mei, 2007, setelah YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan perasaan marah dan malu kerana kejadian paip bocor dan siling runtuh tersebut.

Kita berasa tersinggung tentang sesetengah projek dan bangunan kerajaan beberapa tahun ini. Sekarang, PM memberikan reaksi yang serupa. Kita berharap setelah beliau mengarah pemeriksaan tersebut, Kertas Putih dapat dibentangkan di Dewan Rayat, agar para ahli dapat membahaskannya dengan teliti.

Pembangunan Putrajaya adalah perkara yang baru sahaja. Masalah timbul. Kerajaan membelanja berpuluh bilion ringgit untuk projek-projek di Wilayah Persekutuan itu, diikuti dengan paip bocor di ibu pejabat Jabatan Imigresen pada 11 April, 2007, dan siling Dewan Serbaguna musnah di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tiga minggu lalu. Kini, siling runtuh di Kompleks Mahkamah pula.

Abad yang lepas, Brazil membina ibu negara di Brazilia dan Australia di Canberra. Kini, Myanma baru sahaja mendirikan ibu negara; kita tidak tahu apa masalah akan timbul. Tetapi, di Brazilia dan Canberra, kebocoran dan kehancuran seperti di Putrajaya tidak dilaporkan. Kita tidak dapat meramalkan sama ada insiden yang lebih dahsyat semacam bangunan runtuh akan berlaku di Putrajaya.

Pada 20 Mac, 2007, saya membangkitkan isu projek-projek kerajaan di Dewan Rakyat sekali lagi. Menteri Keraja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu menjawab bahawa sejak 1990 hingga ke akhir 2006, sebanyak 9,235 projek telah berjaya dilaksanakan. Kementerian Kerja Raya tidak mempunyai senarai projek yang gagal. Semua projek yang dilaksanakan oleh kementerian kerja raya akan dipastikan supaya dilaksanakan dengan sempurna, walaupun ianya menghadapi beberapa masalah dalam tempoh pelaksanaan. Walau bagaimanapun, kementerian mempunyai rekod senarai kontrak dan kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Sehingga kini kementerian mempunyai rekod 180 kontrak yang gagal dan telah dimusnahkan.

Sebenarnya, kita adalah sangat tidak puas hati dengan kelewatan dan pertambahan kos untuk beberapa projek, termasuk Bangunan Matrade di Jalan Duta, beberapa bangunan sekolah dan makmal komputer tidak boleh digunakan, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, keretakan jajambat Kepong (MRR2) dan kerja memperbaikinya dengan kos melambung daripada RM18 juta, kepada RM40 juta, kemudian RM67 juta dan tuntutan kontraktor yang belum diselesaikan.

Abdullah berkata: " Apa yang boleh saya buat, saya marah...saya malu. Apa dah jadi begini...tiba-tiba dengar lagi.

"Mesti ada sesuatu (yang tidak kena) dan kita perlu tahu.

"Adakah ini kerana kontraktor tidak buat kerja dengan betul atau cuai? Adakah kesan reka bentuk bangunan menyebabkan siling runtuh?

"Penyelenggaraan amat penting. Saya selalu kata penyelenggaraan...penyelenggaraan...penyelenggaraan. Tetapi selagi tak kena (tak runtuh), orang tidak kisah." kata Abdullah.

Kita akan memberi peringatan kepada YAB mengenai isu ini di Parlimen. Kita kan menyusulinya. Pembentangan Kertas Putih dengan masa yang cukup untuk memperdebatkan dengan sedalam-dalamnya adalah peri mustahak.

Dr Tan Seng Giaw