Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, August 14, 2007

Laksanakan Pelan Keselamatan Jalan Raya (2005 - 2010) dengan berkesan.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan dengan segera meningkatkan keberkesanan pelaksanaan Pelan Keselamatan Jalan Raya, untuk mengelakkan nahas terburuk seperti kemalangan bas Super Express di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang, Taiping, Perak, pada 13 Ogos, 2007.

Kerajaan membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk keselamatan jalan. Tetapi, berlakunya kemalangan lebih 300,000 kes dan lebih 6,000 kematian setahun.

Dr Tan membuat komen tentang nahas ngeri di Lebuh Raya Utara Selatan tersebut pada 14.8.2007: 20 maut dan 9 cedera.

Kita bersama-sama dengan Perdana Menteri berasa sedih terhadap nahas tersebut. Kita berharap kemalangan seumpama ini tidak akan berulang. Terdapat banyak sangkaan sebab-musabab terhadap berlakunya kemalangan itu, semacam pemandu pernah disaman 15 kali, dia mengantuk, masa pandu terlalu panjang, ketiadaan pemandu yang kedua dan sebagaianya. Tetapi, Kerajaan mestilah mengkaji dengan teliti punca nahas itu, serta mengemukakan cadangan untuk mengelakkannya.

Biasanya, orang ramai mengambil berat tentang kekerapan terjadinya kemalangan jalan raya. Misalnya, pada 2004, ada 326,814 kes kemalangan, 6,223 mati; 2005 328,268 kes, 6,188 mati; 2006 341,232 kes, 6,287 mati; 2007 sehingga 31, Mac 87,668 kes, 1,482 mati.

Penunggang dan pembonceng motosikal menghadapi risiko masing-masing 35 dan 25 kali ganda berbanding dengan pemandu kereta. Penumpang van dan bas menghadapi risiko maut masing-masing 1.5 dan 1.4 kali ganda berbanding dengan penumpang kereta.

Anggapan sesetengah orang mengenai sebab kemalangan jalan raya ialah kecuaian pemandu, diikuti dengan masalah alam sekitar dan mesin.

Kerajaan sudah merancangkan Pelan Keselamatan Jalan Raya (2006 - 2010). Ini tahun pelaksanaan yang kedua. Kita meminta Kerajaan supaya mempertingkatkan tahap pelaksanaan pelan itu. Misalnya, setiap buah bas, lori dan van memaparkan di belakangnya had laju 70/80 Kilometer sejam. Namun, kita sering melihat, kelajuan kenderaan-kenderaan ini adalah lebih daripada 110 km sejam. Selain daripada pemandu mempelajari semula pemanduaannya dan para penumpang bas memasangkan tali keledar, Menteri Pengangkutan haruslah mengkaji bagaimana kelajuan bas dapat dipantau dengan efektif.

Dr Tan Seng Giaw

Adalah dimaklumkan bahawa DAP Kepong akan mengadakan Majlis Jamuan Makan Malam Merdeka Ke-50, Ulang Tahun DAP Ke-41 serta sempena pembelian pejabat parti di Kepong pada jam 7.30 petang, 18 Ogos, 2007, Sabtu, di Restoran Chooi Wah, Jinjang Utara. Penceramah adalah Lim Kit siang, Lim Guan Eng, Tan Seng Giaw, Fong Po Kuan, Fong Kui Lun, Tan Kok Wai, Theresa Kok, Teng Chang Khim dan Ooi Swee Lim.

Pada majlis tersebut, para pemimpin akan memperbincangkan isu-isu politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, perlembagaan dan sebagainya.

Kita mempersilakan para pemberita menghadiri majlis tersebut.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, August 09, 2007

Umumkan peruntukan bagi tiang-tiang tanda setahun di Kuala Lumpur

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengumumkan peruntukan setahun untuk mendirikan tiang tanda di KL, termasuk nama jalan baru di Jinjang Utara dan kontraktor yang dilantik.


Dr Tan mengulas terhadap kenyataan Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan YB Yew Teong Look yang mengatakan bahawa projek nama baru jalan-jalan Jinjang Utara telah ditangguhkan selepas para penduduk mengemukakan memorandum protes.

Lima tahun yang lepas, tiang-tiang tanda di Jinjang Utara telah ditukar, tetapi nama-nama jalan dikekalkan. Para penduduk tidak membantah. Satu bulan yang lalu, tiang-tiang baru dengan nama-nama Sarawak telah dibina di kawasan ini. Difahamkan kos satu tiang tanda adalah RM 500 dan jumlah untuk 87 batang jalan mungkin mencecah RM 43,500. DBKL harus memberitahu sama ada amaun tambahan akan dibelanjakan untuk menggantikan tiang baru dengan taing yang lebih baru yang memaparkan nama yang asal.

Dua minggu yang lepas, kami mengemukakan memorandum protes kepada Timbalan Ketua Pengarah DBKL Tuan Haji Mohd Amin Nordin. Beliau berjanji untuk membincangkan perkara ini di mesyuarat dengan Jabatan Kerja Awam dan Jabatan Pengangkutan Bandar, DBKL. Hari ini YB Yew mengesahkan Amin telah mengotakan janji. Projek tiang tanda tersebut telah ditangguhkan.

Sebahagian besar dari 87 batang jalan telah diubahkan nama. Kita tidak tahu sama ada kontrak telah dibayarkan. Apa yang disebutkan sebagai projek ditangguhkan tidak membayangkan keadaan yang sebenarnya: para penduduk hanya menunggu keputusan DBKL untuk mengganti nama baru jalan dengan nama yang sedia ada dan kos tambahan yang diperlukan.


DBKL hendak berjumpa dengan para penghuni tempatan bagi mendengar pandangannya. Ini adalah munasabah. Ketiadaan perbincangan seperti ini boleh dianggap sebagai pentadbiran kuku besi. Satu bulan yang lalu, nama baru jalan-jalan Jinjang Utara menimbulkan kucar-kacir.

Memorandum tersebut mengandungi cadangan untuk tiang-tiang tanda yang boleh diterima umum. Misalnya, Main Street hendaklah digantikan dengan Jalan Jinjang Besar dan Jalan Tanjung Malim, Jalan Cheras, Jalan Ulu Klang dan Jalan Selangor dikekalkan dan sebagainya.

Dr Tan Seng Giaw

Monday, August 06, 2007

Mengapa setelah memeriksa jambatan dua tahun, barulah minta peruntukan dari Kabinet?

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesakkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu supaya menjelaskan mengapa beliau mengambil masa dua tahun selepas pemeriksaan and penilaian jambatan-jambatan di dalam negara, barulah hendak meminta Kabinet meluluskan RM 500 juta untuk memperbaiki jambatan yang uzur.

Dr Tan menimbulkan soalan pada 6.8.2007 tentang kenyataan Samy yang mengatakan bahawa menurut penilaian jambatan dua tahun yang lalu, kita memerlukan Rm 500 juta bagi memperelokkan 2000 batang jambatan lama di Malaysia.

"Saya telah mengemukakan syor pemulihan jambatan lama kepada Unit Perancang Ekonomi dan Kerajaan telah bersetuju dengan peruntukan yang dikehendaki," ujar Samy. Jawapan ini adalah tidak munasabah.

Kita menyedari bahawa ada jambatan yang dibina 60 tahun yang lampau. Tetapi, kita tidak faham sebab-musabab syor pemulihan jambatan hanya dibuat dua tahun setelah penilaian dilakukan.

Pada tempoh hari, keruntuhan Jambatan Antara Negeri di Minneapolis, Amerika Syarikat, mengakibatkan 9 maut dan berapa lagi cedera. Menurut media, negara itu mempunyai 70,000 jambatan yang mesti dibaiki; ia akan mengambil masa 20 tahun dengan perbelanjaan RM US$188 bilion.

Negara-negara lain pernah mengalami bencana jambatan seperti Jambatan Seoul, Korea Selatan.

Malaysia harus meningkatkan kawalan jambatan, jalan, parit, bangunan dan lain-lain. Kita tidak patut tunggu dua tahun selepas penilaian dilakukan sebelum mengambil tindakan untuk memulihkan jambatan atau struktur yang lain. Pada akhir ini, Jejambat Kepong (MRR2) ditimpa keretakan 31 dari 32 tiang dan Jabatan Kerja Raya membelanjakan RM70 juta untuk memperbaikinya. Kemudian, ia menuntut perbelanjaan ini dari kontraktor utama MRR2.

Kami sudah mengemukakan isu pemeriksaan dan pemulihan jambatan yang memerlukan jawapan yang memuaskan dari Menteri Kerja Raya di Parlimen.

Dr Tan Seng Giaw