Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Saturday, March 31, 2007

30 sekolah kluster cemerlang & mereka tidak termasuk dalam senarai? 31.3.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mempercayai bahawa Menteri Pelajaran mestilah menjelaskan apakah langkah yang akan diambil terhadap reaksi sekolah-sekolah yang tidak termasuk dalam senarai 30 sekolah kluster cemerlang, dan bagaimana beliau boleh mengatasi respons negatifnya.

Adakah sekolah yang terpilih akan sungguh-sungguh berikhtiar dan yang belum tersenarai akan putus asa?

Dr Tan mengeluarkan kenyataan pada 31 March, 2007 tentang senarai 30 buah sekolah kluster cemerlang kumpulan pertama yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein semalam.

Rakyat Malaysia haruslah bersedia menghadapi perubahan di dalam dunia moden ini. Tetapi, sebarang perubahan seperti sekolah kluster cemerlang mestilah dilaksana dan dipantaukan dengan betul-betul.

Menurut Menteri Pelajaran, bagi menyahut cabaran perkembangan dunia, beliau akan memilih 300 buah sekolah kluster secara berpringkat-peringkat, agar ia menjadi asas peralihan pada 2010.

Beliau berkata,"Ia (yang disenaraikan dahulu) bukan sekolah yang diiktiraf sebagai sekolah yang terbaik di negara ini tetapi merupakan sekolah cemerlang yang berpotensi untuk ditingkatkan kecemerlangannya ke tahap yang lebih tinggi lagi."

Beliau telah menubuhkan Lembaga Penasihat Kluster Cemerlang yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad. Kriteria dan tatacara pemilihan sekolah-sekolah kluster hendaklah telus dan boleh dipercayai.

Yang telah dipilih sebagai sekolah kuster semacam Sekolah Sultan Alam Shah, SMK Penang Free, SJKC Keat Hwa, Alor Star dan SJKT Simpang Lima, Klang, wajib menambahkan usaha. Kita berharap mereka dapat mencapai tahap dunia.

Jika pelaksanaan dan pemantauan kurang sempurna, besar kemungkinan sesetengah golongan akan dikorbankan. Hishamuddin patut menumpukan perhatian terhadap perkara in

Selain daripada harapan besar untuk sekolah tersenarai, kita berhati-hati tentang reaksi sekolah-sekolah yang tidak terpilih. Banyak sekolah yang telah mengeluarkan pelajar yang cemerlang seumpama Kolej Melayu Kuala Kangsar. Saya sendiri bersekolah di Chung Ling, Pulau Pinang, dan dua anak saya pernah menuntut di Sekolah Kuen Cheng, Kuala Lumpur. Saya tidak nampak prestasi sekolah-sekolah ini adalah kurang daripada sekolah-sekolah tersenarai.

Negara ini mempunyai lebih 9,000 sekolah rendah dan menengah. Ada banyak yang berpotensi tinggi. Saya mempercayai bahawa sekolah-sekolah yang tidak dalam senarai kluster akan lebih berusaha dan mengeluarkan lebih ramai penuntut yang dapat memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat. Sepatutnya, ini menjadi salah satu kriteria yang utama untuk sekolah kluster.

Menteri Pelajaran belum lagi mengemukakan laporan yang lengkap terhadap sekolah-sekolah bistari. Sekarang, beliau berminat dengan sekolah-sekolah kluster cemerlang. Hasratnya ialah untuk meningkatkan martabat sistem pendidikan di mata dunia. Semua pihak mestilah bekerjasama supaya matlamat ini dapat dicapai.

Kita akan menyusul kepada perkembangan sekolah-sekolah bistari dan sekolah-sekolah kluster cemerlang.

Dr Tan Seng Giaw

Thursday, March 29, 2007

Pelancongan bertaraf antarabangsa di Johor dan lain negeri,29.3.2007.

Timbalan Pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mencadangkan supaya taraf pelancongan antarabangsa diwujudkan di Johor dan lain negeri ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan usul menjujung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada 26 Mac, 2007.

Di Johor, Kerajaan perlu mengambil initiatif untuk menarik lebih ramai pelancong dari Singapura. Jumlah pelancong ke Malaysia dari negara itu adalah hampir 9.7 juta pada 2006. Jumlah pelancong ke Malaysia pada tahun itu adalah 17.6 juta. Tahun ini, Tahun Melawat Malaysia, matlamatnya 20.1 juta pelancong. Singapura sedang melaksanakan pusat peranginan bersepadu, integrated resort, yang akan menarik lebih ramai pelancong ke negara itu.

YAB Timbalan Perdana Menteri, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet untuk pelancongan patut meneliti segala aspek yang boleh membantu dan menggalakkan pelancong datang ke Johor. Misalnya, imigresen di pintu-pintu masuk, keselamatan, CCTV, Lapangan terbang Changi ke KLIA, Laluan Kedua dan feri. Negeri-negeri lain juga mestilah menyesuaikan diri untuk pelancongan moden.

Mengapa para pelancong Singapura mengelakkan Laluan Kedua yang hanya menampung 1/10 lalulintas? 24 kaunter imigresen di Laluan Kedua tidak sibuk. Kadar bayaran RM70 untuk satu kereta bagi satu hala adalah terlalu mahal. Saya mengesyorkan supaya kadar ini dikurangkan kepada misalnya RM35.

Kerajaan mestilah mengkaji sama ada perkhidmatan feri di antara Johor Bahru dengan Singapura dapat diadakan.

Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, March 27, 2007

Wujudkan piawaian antarabangsa di semua bidang,27.3.2007.

Ini adalah satu perkara yang dibangkitkan oleh Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 23 Mac, 2007, Persidangan Invest Malaysia 2007, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menekankan bahawa pengenalan jualan singkat terkawal baru-baru ini dan pinjaman sekuriti serta pemberian telah menunjukkan komitmen kita dalam memastikan piawaaian antarabangsa dari segi kualiti pasaran. Kita mestilah sentiasa menunjukkan komitmen ini.

Piawaian antarabangsa ini perlu diwujudkan di bidang-bidang yang lain,termasuk politik, ekonomi,pendidikan,pentadbiran, kebudayaan dan pelancongan. Kebawah Duli dan YAB mengulangi jumlah perdagangannya melepasi paras RM1 trilion, eksport berkembang 10.3%, lebihan dagangan RM109 biliondan rizab antarabangsa AS$87.3 bilion serta defisit bajet di kurangkandari 5.8% KDNK pada 2003 kepada 3.5% KDNK. Bagaimanapun, saya menyeru supaya Kerajaan menterjemahkan semua ini kepada suasana yang lebih baik bagi perniagaan dalam negara.

Setakat ini kita diberitahu bahawa Kerajaan tidak akan mengenakan syarat 30% Bumiputera di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor. Kerajaan mestilah memastikan hak-hak semua kaum tidak akan dirampaskan oleh sesiapapun. Hak semua kaum termasuk Orang Melayu mestilah dipelihara. Selain daripada itu, piawaian antarabangsa haruslah diadakan di WPI, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Koridor Pantai Timur, Koridor Sabah dan Koridor Sarawak.

Piawaian antarabangsa bermakna rasuah yang terkawal, prestasi yang tinggi, pengangkutan yang baik, pelabuhan yang berkesan, keselamatan yang boleh dipercayai dan sebagainya. Inilah yang terkandung di dalam Wawasan 2020

Dr Tan Seng Giaw

Wednesday, March 21, 2007

Umumkan dengan terperinci pembaikan MRR2 Kepong,21.3.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw merayu kepada Kerajaan supaya mengumumkan dengan terperinci perbelanjaan yang sebenarnya projek MRR2 Kepong, termasuk pelbagai masalah dan tuntutan dalam pembaikan keretakan 31 tiang jejambat itu.

Dr Tan meneliti jawapan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu di Dewan Rakyat mengenai MRR2 Kepong pada 20 Mac, 2007.

Menurut Menteri Kerja Raya, kos sebenar pembaikan MRR2 belum lagi dimuktamadkan oleh kerana masih terdapat tuntutan daripada kontraktor yang perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Tuntutan Jabatan Kerja Raya (JKR). Setakat ini JKR telah membuat pembayaran sebanyak RM 67.9juta.

Pakar perunding British untuk mengkaji keretakan tiang jejambat, Halcrow Group Limited, telah dilantik oleh JKR dengan bayaran RM7.5 juta. Manakala, Leonhart Andra & Partners, pakar perunding dari Jerman untuk Konsortium kontraktor yang terdiri dari BumiHiway dan lain-lain, dibayar RM7 juta.

JKR bayar kos pembaikan terlebih dahulu, lalu membincang dengan kontraktor selama tiga bulan untuk mendapat balik wang pembaikan itu. Adalah diharapkan kontraktor akan membayar perbelanjaan pembaikan tersebut.

Dr Tan menanya Samy tentang projek yang lewat atau gagal seperti bangunan Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur, dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star.

Tahun lepas, Menteri meminta Perdana Menteri YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat pengumuman bahawa projek pembaikan MRR2 dengan pakar perunding British menelan belanja RM18 juta. Dua minggu kemudian, Kerajaan memberitahu rakyat bahawa pakar perunding Jerman menggantikan British dan kos meningkat kepada RM40 juta. Sekarang, JKR telah membayar RM67.9 juta dan jumlah kos belum diketahui.

Samy menyoal,"Adakah kepala awak (YB Kepong) itu penuh? Awak tidak tidur kah semalam? Adakah awak tutup telinganya?"

Yang terpenting sekali ialah jejambat MRR2 hampir serupa dengan puluhan jejambat di lingkungan tengah Kuala Lumpur. Tetapi, 31daripada 33 buah tiang retak. Menteri pernah mencabar orang ramai yang berani mengatakan reka MRR2 itu tidak betul.

Adalah benar bahawa lalulintas di MRR2 Kepong sangat sesat. Kerajaan memperbaikinya dengan seberapa segera termasuk membayar dahulu. Kita berharap JKR dapat menyenggara jejambut itu dengan baik untuk selama-lamanya.

Kita haruslah mengenalpasti peranan Unit Perancang Bandar, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya masing-masing dalam projek semacam MRR2 Kepong. Apakah tanggungjawab JKR terhadapnya?

Sementara itu, Samy mestilah memberitahu rakyat jumlah perbelanjaan pembinaan MRR2 termasuk pelbagai masalah dan tuntutan untuk pembaikannya. Sambil menunggu kos sebenar pembaikan MRR2, kita akan terus menyusuli perkara ini.

Dr Tan Seng Giaw

Tuesday, March 20, 2007

Wartakan Pelan Tempatan KL (PTKL), 20.3.2007.

Dr Tan Seng Giaw
MP for Kepong
T: 79554733 F: 79559654
senggiaw@gmail.com

20 Mac, 2007.

Datuk Ab. Hakim Borhan
Datuk Bandar Kuala Lumpur

Datuk

Pelan Tempatan KL (PTKL) dan PSKL 2020 atau KL20

Kami ahli-ahli parlimen DAP Tan Kok Wai, Fong Kui Lun, Theresa Kok danTan Seng Giaw mengucapkan terima kasih kerana sudi menjumpa kami pagi ini.

Kami mempunyai banyak perkara yang akan dikemukakan kepada Datuk dari semasa ke semasa. Pada hari ini, yang terpenting sekali ialah Pelan Struktur KL (PSKL) dan Pelan Tempatan KL (PTKL). PSKL telah diwartakan pada 4 November, 2004.

Kos kajian untuk PSKL pernah dianggarkan sebanyak RM9.7 juta dengan masa 18 bulan. PTKL dianggarkan mengambil masa 20 bulan, iaitu siap pada akhir 2006. Kami berharap Datuk dapat memberitahu bilakah KL20 termasuk PTKL boleh diwartakan dengan sepenuhnya. Apakah kos keseluruhannya?

Daripada 190 ringkasan dasar, berapakah dapat diserapkan ke dalam PTKL? Setakat mana enam zon strategik dapat dilaksanakan di dalam bajet 2007?

Semalam DBKL telah menganjurkan bengkel Congestion Pricing. Ini adalah penting. Ketelusan ini perlu diteruskan. Bagaimanapun, memandangkan kemudahan-kemudahan seperti pengangkutan awam belum disempurnakan, Congestion Pricing ini tidak dapat dilaksanakan. Bilakah bilangan orang yang menggunakan pengangkuatan awam semacam bas untuk masuk ke pusat bandar akan meningkat dari 16% sehingga lebih 60%?

Setakat mana Integrated Transport Information System (ITIS) boleh memainkan peranan yang lebih berkesan di dalam pengurusan trafik di KL?

Berapa persimpangan bersepadu akan dibina di KL pada 2007? Bilakah kerja untuk dua persimpangan, satu di Jinjang dan satu di Kepong, akan bermula?

Selain dari trafik, kami memberi perhatian kepada penilaian(assessment), penyenggaraan taman-taman awam, rumah-rumah pangsa, pencegahan banjir, setinggan sifar, kelulusan dan pemantauan projek-projek pembangunan, konsep zon dan sebagainya.

Sekian, terima kasih.

Yang ikhlas

Tan Seng Giaw

Monday, March 12, 2007

Apakah beban e-Tag ke atas pengguna jalan? 12.3.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya Kerajaan mengumumkan kos atau beban terhadap para pengguna jalan apabila sistem kutipan tol gantri atau gerbang dilaksanakan kelak.

Dr Tan berasa bingung setelah mendapat tahu sistem bayaran tol sekarang akan digantikan dengan sistem gerbang mulai pertengahan tahun depan. Kita bersedia menghadapi perubahan. Tetapi kita perlu mempertimbangkan berat yang ditanggung orang ramai.

Pada 11 Mac, 2007, Menteri Kerja Raya , Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan bahawa sistem kutipan tol gerbang atau gantri akan dilaksanakan untuk mengelakkan kesesakan di plaza-plaza tol.

Difahamkan bahawa Lembaga Lebu Raya Malaysia (LLM) akan menyiapkan kajian sistem baru ini pada Julai 2007. Ia mungkin melibatkan kaedah dan undang-undang baru.

Selepas Lebuhraya Utara-Selatan diswastakan kemudian diambil balik oleh Kerajaan, banyak jalan bertol telah diadakan termasuk 18 batang di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pada awalnya, setiap syarikat konsesi mempunyai sistem bayaran tol tersendiri seperti tag syarikat. Lepas itu, Kerajaan menyeragamkan dengan Touch 'n Go dan Smart Tag. Kini, Menteri Kerja Raya memberitahu bahawa e-Tag dan gantri atau pintu besar akan mengganti kaunter tunai, Touch 'n Go dan Smart Tag. Sistem baru ini boleh memantau kelajuan kereta dan muatan lori dengan mesin pengimbas dan kamera.

Kerajaan patut mengumumkan syarikat-syarikat yang terbabit dengan Express-Tag, Touch 'n Go, SmarTag dan e-Tag. SmarTag ialah akronim Sistem Membayar Automatik Rangkaian Tol; alat ini mempunyai bateri alkaline 9V dan boleh mengesan sebuah kenderaan dalam 40 milisaat. Siapa yang menjual bateri ini? Adakah e-Tag akan menggunakan bateri jenis yang sama? Adakah e-Tag akan terus menjadi elektronik sering menukar tag, esm-Tag?

Adakah pintu besar bererti belanja besar bagi para pengguna jalan? Apakah kos ditanggung mereka dengan tag syarikat masing-masing? Kos menukar kepada Touch 'n Go dan Smart Tag? Kos membeli e-tag dan membuang Touch 'n Go dan SmarTag?

Perubahan sistem tol setiap dua tiga tahun mengelirukan para pengguna jalan. Selepas e-Tag, apakah sistem baru?

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, March 11, 2007

PTPTN, pinjam RM18.8 bilion, bila bayar balik, 11.3.2007.

PTPTN, pinjam RM18.8 bilion, bila bayar balik, 11.3.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong menyeru supaya semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membayar balik mengikut perjanjian, agar lain pelajar mempunyai peluang untuk meminjam dan meneruskan pelajaran di institut-institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS).

Dr Tan menyedari bahawa ada peminjam PTPTN yang tidak menyelesaikan pinjamannya.

Pada 7 Mac, 2007, media melaporkan bahawa Kabinet telah mengizinkan PTPTN memberi pinjaman yang sepenuhnya kepada pelajar yang pendapatan ibubapanya kurang daripada RN3,000 sebulan mulai 1 Mac, 2007. Sebelum ini, pinjaman yang sepenuhnya hanya diberi kepada pelajar dengan pendapatan ibubapanya kurang daripada RM2,000.

Misalnya, seorang pelajar IPTA diberi pinjaman RM6,500 setahun, pelajar IPTS RM16,000 setahun dan pelajar Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) RM20,000 setahun.

Terdapat banyak biasiswa, dermasiswa dan lain-lain skim pinjaman untuk pelajar di dalam dan luar negara. Ini adalah penting kerana pendidikan merupakan salah satu faktor yang utama di dalam pembangunan sesebuah negara. PTPTN dan MARA meluluskan pinjaman berbilion ringgit.

Sehingga 31 Januari, 2007, PTPTN telah meluluskan RM18.8 bilion kepada 969,781 pelajar, tetapi hanya RM406.6 juta telah dikutip daripada 180,195 orang pelajar yang telah tamat pengajian. Perbezaan di antara jumlah yang dilulus dan yang dikutip adalah amat sangat.

Menurut peraturan baru, lebih ramai pelajar boleh meminjam daripada PTPTN, termasuk yang mengambil ijazah sarjana. Bernama memuatkan berita bahawa RM500 juta telah diperuntukan kepada para pelajar yang mengikuti kursus sarjana.

PTPTN sedang menggalakkan para peminjam melunaskan pinjaman. Ia mewajibkan ibubapa atau penjaga menjadi penjamin kepada pinjaman anaknya. Mulai 1 Januari, 2008, ibubapa perlu menyimpan wang di dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional. Mereka yang memperolehi pendapatan lebih daripada RM2,000 sebulan dan kurang daripada RM2,000 sebulan mestilah menyimpan RM3,000 dan RM500 masing-masing di dalam skim tersebut.

Pendidikan adalah untuk memelihara daya fikiran, pengetahuan, kemahiran, profesion dan integriti termasuk moral. Setelah tamat pengajian, siapa yang tidak melangsaikan hutang adalah tidak berintegriti, tidak bermoral. Seseorang yang mempunyai daya fikiran, pengetahuan, kemahiran atau profesion, tetapi tidak berintegriti memudaratkan masyarakat.

Dr Tan Seng Giaw

Wednesday, March 07, 2007

Naik gaji kakitangan awam, tambah kecekapan, hapus rasuah, 8.3.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya kecekapan kakitangan awam ditingkatkan dengan cadangan kenaikan gajinya, bilangan kaum ditambah, perkhidmatan diperbaiki dan rasuah dibanteraskan.

Dr Tan mendapat tahu ada pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan perwakilan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), termasuk Presidentnya Omar Osman pada 6 Mac, 2007 berhubung kenaikan gaji. Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan tersebut.

Kali yang terakhir semakan gaji kakitangan awam adalah pada 1992. Cuepacs membentangkan cadangan semakan gaji daripada 10% sehingga 40%. Jika diluluskan, Omar menyifatkan ini sebagai penyuntik semangat kepada kakitangan awam untuk bekerja lebih kuat. Kadangkala, kita mengunjungi jabatan kerajaan waktu pagi dan menampakkan segelintir orang sedang makan di tempat kerja.

Sekarang, kos sara hidup naik, orang bergaji rendah menghadapi kesusahan, dan jurang di antara yang berpangkat tinggi dan rendah adalah luas. Pertimbangan untuk semakan gaji ,termasuk mengatasi jurang kehidupan adalah munasabah. Kakitangan yang mendapat gaji RM500 sebulan dan konsabel polis RM 600 sebulan adalah hidup melarat, khasnya di bandar.

Tahun lepas, Kerajaan mengumumkan Laporan Suruhanjaya Diraja untuk menambahbaikan pasukan polis yang anggotanya lebih 80,000. Bilangan ini akan ditambah 60,000 lagi dalam lima tahun akan datang. Sementara itu, bilangan kakitangan awam adalah 1.2 juta orang. Persoalan macam mana perkhidmatan ini dapat diperbaiki, sama ada bilangan yang terlalu ramai, wujud atau tidak sistem meritokrasi, komposisi kaum, bagaimana disusun semula dan sebagainya memerlukan sebuah suruhanjaya diraja.

Perdana Menteri menegaskan bahawasanya sistem penyampaian kakitangan awam patutlah dinaikkan. Prestasi sesetengah jabatan hendaklah ditingkatkan. Semakan gaji 1.2 juta orang terpaksa membelanja wang rakyat yang banyak.

Gaji polis haruslah dinaikkan. Semakan gaji kakitangan awam tidak boleh dielakkan. Tetapi, penyusunan semula jabatan kerajaan mestilah dibuat.

Kita menekankan bahawa sambil menyemakkan gaji kakitangan awam, Kerajaan perlu memperbaiki beberapa perkara, seperti kecekapan perkhidmatan, sikap kakitangan, wakil semua kaum semacam Cina, India, Dayak dan Kadazan, sistem meritokrasi dan pembasmian rasuah.

Dr Tan Seng Giaw

Sunday, March 04, 2007

Rancangan Malaysia Ke-9, DBKL, peniaga kecil, 4.3.2007.

Rancangan Malaysia Ke-9, DBKL, peniaga kecil, 4.3.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya 144 kerajaan tempatan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu para peniaga kecil cocok dengan dasar RMK-9 iaitu penstrukturan semula, persaingan dan pemodenan sektor perdangangan pengedaran.

Lebih satu rarus peniaga di tepi Jalan Kepong Baru mestilah ditempatkan semula di pusat yang setimpal dengan dasar RMK-9.

Dr Tan membuat seruan ini ketika menemui para peniaga di Jalan Kepong Baru pada 4.3.2007.

Menurut RMK-9, sektor perdagangan pengedaran akan terus mengalami perubahan struktur yang memberi impak kepada pembangunan sektor ini pada masa hadapan terutamanya perniagaan tradisional seperti para penjaja dan peniaga tepi Jalan Kepong Baru.

Selain daripada memantapkan rangka kerja kawal selia, RMK-9 hendak memperkukuhkan kaedah pengedaran bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing.

Semua 144 kerajaan tempatan mestilah mengambil berat dasar RMK-9. Ini termasuk DBKL yang berkehendakkan mengkaji para peniaga yang mesti dipindahkan kepada tempat-tempat yang lebih sesuai.

Pada tempoh hari, lebih satu ratus peniaga di tepi jalan tersebut menerima pemberitahuan daripada DBKL agar berpindah ke tempat lain kerana terdapat cadangan mempertingkatkan jalan.

Adalah perlu bagi DBKL untuk memperluaskan jalan disebabkan bilangan kenderaan yang bertambah pesat. Tetapi, DBKL dan lain-lain pihak berkuasa haruslah menyediakan tempat alternatif mengikut dasar RMK-9.

Sektor perdagangan pengedaran menyaksikan pertumbuhan pasaraya raksasa seperti Jaya Jusco dan Carre Foure yang dekat dengan Jalan Kepong Baru. Sementara itu, para peniaga tradisional ini tidak patutlah dilupakan.

Pelan Induk DBKL (KL20) menggubalkan dasar memantau peruntukan premis penjaja dan peniaga kecil dan membina premis penjaja tambahan di mana perlu. Tahun lepas, kami mengemukakan pelbagai cadangan kepada plan tempatan KL20 termasuk pembinaan premis penjaja tambahan.

Dr Tan Seng Giaw

Friday, March 02, 2007

Pinda Akta Pendidikan, mansuhkan dasar satu bahasa, 2.3.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mencadangkan supaya Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin membentangkan satu Rang Undang-Undang untuk meminda Akta Pendidikan bagi menjelaskan Penyelesaian Muktamad, yakni dasar satu bahasa, sudah tidak sesuai dipakaikan lagi di dalam keadaan mutakhir negara ini.

Dr Tan membuat cadangan ini ketika merujukkan kepada kenyataan Hisham bahawa masyarakat Cina tidak payah bimbang terhadap (Penyelesaian Muktamad) 'Penyata Razak' 1956.

Semalam, Menteri Pelajaran mengatakan di dalam temuramah dengan Sin Chew Jit Poh bahawa adalah mustahil bagi Kerajaan untuk menguatkuasakan (Penyelesaian Muktamad) Penyata Razak terhadap 'satu aliran sekolah' dan 'Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama, kerana konsep ini telah tidak sesuai dengan keadaan mutakhir negara ini.'

"Pembinaan sekolah Cina baru bukan lagi perkara sensitif, masyarakat Cina tidak payah syak dan bimbang serta masa akan membuktikan keikhlasan saya," ujar beliau.

Orang ramai berhati-hati sama ada Hisham akan bikin serupa cakap. Penolakan Penyelesaian Muktamad ini merupakan satu permulaan.

Pada 16 Mei, 1956, Penyata Razak diumumkan untuk menyelaraskan sukatan pelajaran semua aliran sekolah di negara ini dan Bahasa Melayu diisytiharkan sebagai Bahasa Kebangsaan. Penyelesaian Muktamad itu mengakibatkan konsekwensi yang besar. Perkara 21(2) Akta Pelajaran 1961 memberi kuasa kepada Menteri Pelajaran menukarkan sekolah jenis kebangsaan kepada sekolah kebangsaan bila-bila masa yang dianggap sesuai.

Akta Pendidikan 1996 menekankan matlamat mewujudkan pendidikan bertaraf dunia, tetapi tidak menjelaskan pemansuhan Penyelesaian Muktamad. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006--2010) bertindan-tindih dengan Pembangunan Pendidikan Tan Sri Musa(2001--2010). Ini membingungkan. Ia juga tidak mengatakan Penyelesaian Muktamad itu tidak sesuai digunapakai.

Mulai tahun 1970, Penyelesaian Muktamad menyebabkan penghapusan bahasa Inggeris di sekolah tahun demi tahun. Pada awal 80han, standard bahasa Inggeris terjatuh dengan teruk.

Sebaliknya, mutu Bahasa Kebangsaan adalah tidak seperti yang diharapkan. Kebolehan semua 62,000 guru Bahasa mestilah dipertingkatkan. Kita hendak menyaksikan standard Bahasa Kebangsaan yang tinggi.

Kini, media sedang memaparkan berita-berita yang baik, untuk mengadakan suasana yang meriah. Saya berharap kenyataan Menteri Pelajaran tersebut bukan hanya cocok dengan kemeriahan ini sahaja, bahkan juga untuk dasar bahasa yang liberal.

Jika Hisham tidak mengemukakan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) untuk memansuhkan Penyelesaian Muktamad tersebut, maka Kerajaan masih boleh mengambil tindakan yang tegas tentang rakyat yang mempercayai kepada dasar berbilang bahasa dan sekolah berbilang aliran.

Misalnya, pada tahun 1987, Kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negara untuk menahan 107 orang di dalam Operasi Lalang, termasuk Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Lau Dak Kee, Mendaing P. Patto dan saya.

Kementerian Dalam Negara membuat-buat lapan tuduhan untuk menahan saya; dua daripadanya adalah berkaitan dengan Penyelesaian Muktamad. Satu tuduhannya ialah pada 6 Mac, 1983, di sebuah tokong, Jalan Enam, Kampung Baru Valdor, Sungai Bakap, Pulau Pinang, saya telah mendakwa Kerajaan menguatkuasakan dasar satu bahasa dan satu budaya yang akan menyebabkan islamisasi.

Tuduhan ini adalah tidak berasas. Titah ucapan diraja di parlimen 1982 mengandungi dasar satu bahasa dan satu budaya.

Satu lagi tuduhan ialah pada 11 November, 1987, saya telah menyertai perhimpunan di Tokong Then Hou, Kuala Lumpur, dan menggunakan isu kenaikan pangkat pengetua dan timbalannya yang tidak menguasai bahasa Mandarin kepada sekolah jenis kebangsaan Cina, untuk menghasut masyarakat Cina.

Ini adalah tuduhan liar. Saya hadir di perhimpunan itu. Tetapi, saya tidak berucap, apatah lagi menghasut orang.

Dr Tan Seng Giaw