Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, March 07, 2007

Naik gaji kakitangan awam, tambah kecekapan, hapus rasuah, 8.3.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya kecekapan kakitangan awam ditingkatkan dengan cadangan kenaikan gajinya, bilangan kaum ditambah, perkhidmatan diperbaiki dan rasuah dibanteraskan.

Dr Tan mendapat tahu ada pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan perwakilan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), termasuk Presidentnya Omar Osman pada 6 Mac, 2007 berhubung kenaikan gaji. Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan tersebut.

Kali yang terakhir semakan gaji kakitangan awam adalah pada 1992. Cuepacs membentangkan cadangan semakan gaji daripada 10% sehingga 40%. Jika diluluskan, Omar menyifatkan ini sebagai penyuntik semangat kepada kakitangan awam untuk bekerja lebih kuat. Kadangkala, kita mengunjungi jabatan kerajaan waktu pagi dan menampakkan segelintir orang sedang makan di tempat kerja.

Sekarang, kos sara hidup naik, orang bergaji rendah menghadapi kesusahan, dan jurang di antara yang berpangkat tinggi dan rendah adalah luas. Pertimbangan untuk semakan gaji ,termasuk mengatasi jurang kehidupan adalah munasabah. Kakitangan yang mendapat gaji RM500 sebulan dan konsabel polis RM 600 sebulan adalah hidup melarat, khasnya di bandar.

Tahun lepas, Kerajaan mengumumkan Laporan Suruhanjaya Diraja untuk menambahbaikan pasukan polis yang anggotanya lebih 80,000. Bilangan ini akan ditambah 60,000 lagi dalam lima tahun akan datang. Sementara itu, bilangan kakitangan awam adalah 1.2 juta orang. Persoalan macam mana perkhidmatan ini dapat diperbaiki, sama ada bilangan yang terlalu ramai, wujud atau tidak sistem meritokrasi, komposisi kaum, bagaimana disusun semula dan sebagainya memerlukan sebuah suruhanjaya diraja.

Perdana Menteri menegaskan bahawasanya sistem penyampaian kakitangan awam patutlah dinaikkan. Prestasi sesetengah jabatan hendaklah ditingkatkan. Semakan gaji 1.2 juta orang terpaksa membelanja wang rakyat yang banyak.

Gaji polis haruslah dinaikkan. Semakan gaji kakitangan awam tidak boleh dielakkan. Tetapi, penyusunan semula jabatan kerajaan mestilah dibuat.

Kita menekankan bahawa sambil menyemakkan gaji kakitangan awam, Kerajaan perlu memperbaiki beberapa perkara, seperti kecekapan perkhidmatan, sikap kakitangan, wakil semua kaum semacam Cina, India, Dayak dan Kadazan, sistem meritokrasi dan pembasmian rasuah.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home