Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, May 07, 2007

Kukuhkan pentadbiran & penguatkuasaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, 7.5.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong menyeru supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempertingkatkan kaedah pentadbiran dan penguatkuasaannya, agar ianya dapat memainkan peranan yang lebih berkesan.

PTPTN patut memperbaiki penyelarasan dengan Lembaga Hasil Dalam Negara. Ramai yang mengharapkan bahawa lembaga ini boleh mengutipkan balik pinjaman dari penerima pinjaman dengan lebih senang.

Dr Tan menyatakan seruan ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang untuk meminda Akta PTPTN 1997 di Dewan Rakyat pada 7 Mei, 2007.

Rang Undang-Undang ini, antara lain, meminda fasal-fasal untuk membuat perubahan kepada keanggotaan Lembaga Pengurusan PTPTN, menerima deposit daripada warganegara Malaysia dan, paling pentingnya, memasukkan seksyen baru 22A ke dalam Akta 566 untuk memberi kuasa kepada Ketua Eksekutif untuk mengeluarkan perakuan kepada Ketua Polis Negara atau Ketua Pengarah Imigresen untuk melarang mana-mana pelajar atau penerima daripada meninggalkan Malaysia dalam hal keadaan tertentu khususnya apabila sesuatu pinjaman pendidikan tidak dibayar balik atau tertunggak.

Pada prinsipnya, saya setuju dengan YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed mengenai tindakan yang lebih tegas terhadap para graduan yang tidak menjelaskan hutang. Kita tidak boleh membenarkan kacang melupakan kulit atau kulit melupakan kacang.

[Tindakan PTPTN mestilah berteraskan kepada belas kasihan dan peri kemanusiaan tetang para graduan atau penerima pinjaman yang benar-benar miskin. Adakah orang benar-benar miskin mampu pergi ke seberang laut atau diberi bantuan orang? Adakah ianya bersedia membayar ansuran RM50 atau RM100 sebulan?]

Ramai ahli berminat mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang ini. Walaupun pendapat masing-masing berbeza, saya berasa gembira kerana mereka memberi perhatian kepada pendidikan tinggi.

Pada 8 April, 2007, akhbar menyiarkan bahawa jumlah yang dihutang oleh para pejajar yang menerima pinjaman adalah lebih RM12.5 bilion dari PTPTN, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Mara. YB Menteri mengatakan bahawa sehingga 31 Mac, 2007, amaun pinjaman yang sepatutnya perlu dikutip oleh PTPTN adalah sebanyak RM1.37 bilion yang melibatkan 438,775 peminjam. Pada tarikh yang sama, PTPTN telah memfailkan saman di mahkamah terhadap 395 peminjam yang ingkar.

Laporan akhbar memaparkan bahawa lebih 75 graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) mengadu bahawa mereka diminta membayar balik pinjaman PTPTN, walhal mereka tidak pernah membuat permohonan untuk pinjaman. [YB Menteri menjelaskan bahawa PTPTN menhantarkan wang kepada Unitar dan kini siasatannya menunjukkan wang ini tidak diberi kepada para graduan tersebut. Unitar telah mengembalikan wang itu kepada PTPTN.]

Adalah perlu untuk mengemaskinikan pengurusan PTPTN agar hanya orang yang ingkar dikenakan tindakan. PTPTN haruslah mempertingkatkan kaedah atau sistem penguatkuasaan. Hanya mendapat iktibar dari New Zealand dan Australia adalah tidak mencukupi kerana Malaysia adalah tidak serupa dengan mereka. Misalnya, New Zealand mempunyai kependudukan tak sampai 6 juta, berbanding dengan 26 juta di Malaysia. Kedua-dua negara tersebut berjaya mengutip balik lebih 80% daripada jumlah hutangnya.

Kita menumpukan kepada Lembaga Hasil Dalam Negara untuk mengutip balik ansuran pinjaman penerima. Di New Zealand, cara ini berkesan. Tetapi di Malaysia, penyelarasan di antara PTPTN dengan lembaga ini mestilah diperbaiki.

Para pemohon untuk pinjaman PTPTN sering meminta ahli parlimen menjadi saksi. Saya setuju dengan syaratnya bahawa mereka membayar balik kelak.

Dengan langkah-langkah tersebut PTPTN boleh memainkan peranan yang lebih berkesan di masa depan.

(YB Dato' Mustapa mengakui bahawa adanya kelemahan-kelemahan pentadbiran dan penguatkuasaan PTPTN. Setakat ini, 61,016 surat peringatan dan 17,382 surat permintaan dikirimkan kepada para peminjam yang ingkar, tetapi hanya 4% yang menjawab.

YN Menteri memberi jaminan bahawa PTPTN akan mengambil 11 tindakan sebelum pasport penerima akan ditahan. Hanya selepas semua tindakan diambil, barulah tindakan rampasan pasport diambil sebagai tindakan yang terakhir.)

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home