Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Thursday, May 03, 2007

Kertas Putih di Dewan Rakyat, selepas pemeriksaan bangunan, 3.5.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Kerajaan mengemukakan Kertas Putih di Dewan Rakyat, selepas pemeriksaan semua bangunan kerajaan di seluruh negara serta cara-cara untuk menyelesaikan masalah seperti siling runtuh di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, paip bocor di ibu pejabat Jabatan Imigresen dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Putrajaya.

Dr Tan membuat cadangan ini pada 1 Mei, 2007, setelah YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan perasaan marah dan malu kerana kejadian paip bocor dan siling runtuh tersebut.

Kita berasa tersinggung tentang sesetengah projek dan bangunan kerajaan beberapa tahun ini. Sekarang, PM memberikan reaksi yang serupa. Kita berharap setelah beliau mengarah pemeriksaan tersebut, Kertas Putih dapat dibentangkan di Dewan Rayat, agar para ahli dapat membahaskannya dengan teliti.

Pembangunan Putrajaya adalah perkara yang baru sahaja. Masalah timbul. Kerajaan membelanja berpuluh bilion ringgit untuk projek-projek di Wilayah Persekutuan itu, diikuti dengan paip bocor di ibu pejabat Jabatan Imigresen pada 11 April, 2007, dan siling Dewan Serbaguna musnah di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tiga minggu lalu. Kini, siling runtuh di Kompleks Mahkamah pula.

Abad yang lepas, Brazil membina ibu negara di Brazilia dan Australia di Canberra. Kini, Myanma baru sahaja mendirikan ibu negara; kita tidak tahu apa masalah akan timbul. Tetapi, di Brazilia dan Canberra, kebocoran dan kehancuran seperti di Putrajaya tidak dilaporkan. Kita tidak dapat meramalkan sama ada insiden yang lebih dahsyat semacam bangunan runtuh akan berlaku di Putrajaya.

Pada 20 Mac, 2007, saya membangkitkan isu projek-projek kerajaan di Dewan Rakyat sekali lagi. Menteri Keraja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu menjawab bahawa sejak 1990 hingga ke akhir 2006, sebanyak 9,235 projek telah berjaya dilaksanakan. Kementerian Kerja Raya tidak mempunyai senarai projek yang gagal. Semua projek yang dilaksanakan oleh kementerian kerja raya akan dipastikan supaya dilaksanakan dengan sempurna, walaupun ianya menghadapi beberapa masalah dalam tempoh pelaksanaan. Walau bagaimanapun, kementerian mempunyai rekod senarai kontrak dan kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Sehingga kini kementerian mempunyai rekod 180 kontrak yang gagal dan telah dimusnahkan.

Sebenarnya, kita adalah sangat tidak puas hati dengan kelewatan dan pertambahan kos untuk beberapa projek, termasuk Bangunan Matrade di Jalan Duta, beberapa bangunan sekolah dan makmal komputer tidak boleh digunakan, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, keretakan jajambat Kepong (MRR2) dan kerja memperbaikinya dengan kos melambung daripada RM18 juta, kepada RM40 juta, kemudian RM67 juta dan tuntutan kontraktor yang belum diselesaikan.

Abdullah berkata: " Apa yang boleh saya buat, saya marah...saya malu. Apa dah jadi begini...tiba-tiba dengar lagi.

"Mesti ada sesuatu (yang tidak kena) dan kita perlu tahu.

"Adakah ini kerana kontraktor tidak buat kerja dengan betul atau cuai? Adakah kesan reka bentuk bangunan menyebabkan siling runtuh?

"Penyelenggaraan amat penting. Saya selalu kata penyelenggaraan...penyelenggaraan...penyelenggaraan. Tetapi selagi tak kena (tak runtuh), orang tidak kisah." kata Abdullah.

Kita akan memberi peringatan kepada YAB mengenai isu ini di Parlimen. Kita kan menyusulinya. Pembentangan Kertas Putih dengan masa yang cukup untuk memperdebatkan dengan sedalam-dalamnya adalah peri mustahak.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home