Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, May 07, 2007

Patut tubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Akhabr di Parlimen, 7.5.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mencadangkan supaya Dewan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk menyiasat keadaan kebebasan akhbar yang sebenar di negara ini, cocok dengan Hari Kebebasan Akhbar Dunia pada 3.5.2007.

Kerajaan haruslah mengkaji semula semua undang-undang yang kena-mengena dengan kebebasan akhbar seperti Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA). Ia patut juga mengkaji semula lesen percetakan tahunan (KDN), untuk memastikan ketelusan dan kepertanggungjawapan (akauntabiliti).

Dr Tan membuat cadangan ini ketika menjadi salah seorang ahli panel di forum Hari Kebebasan Akhbar Dunia di Institut Integriti Malaysia pada 3.5.2007. Forum ini adalah dianjurkan oleh Institut Asia untuk Pembangunan Komunikasi (Aidcom), dengan bantuan Institut Akhbar Malaysia dan Kelab Akhbar Nasional serta kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Adalah tabiat biasa kerajaan-kerajaan untuk mengkontrolkan media dan kehakiman. Sebagai yang disebutkan oleh Lord Acton, kuasa itu menimbulkan rasuah dan kuasa mutlak menimbulkan rasuah secara mutlak. Ini adalah kebenaran yang bersejagat untuk selama-lamanya.

Rakyat mendapat kerajaan dan para pemimpin yang mereka sokong. Jika kita berkehendakkan kebebasan akhbar, maka hanya dengan perasaan rakyat yang amat sangat terhadapnya, barulah para pemimpin mengambil perhatian. Oleh itu, kita memerlukan pendidikan yang terus-menerus.

Hampir semua pemberita tidak mahu tulisannya mengakibatkan kucar-kacir di negara yang berbilang agama dan berbilang bangsa ini. Kita mewujudkan sebuah negara yang bersatupadu di dalam kepelbagaian.

Menurut pertubuhan Wartawan Tanpa Sempadan, ranking Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar meningkat 21 mata, dari kedudukan 113 pada 2005 ke 92 pada 2006. Ini adalah satu kemajuan. Tetapi pada pandangan saya, perubahan ini cuma kosmetik (zahir) sahaja.

Saya sering membuat komen tentang isu-isu negara dalam tiga bahasa untuk selama 31 tahun. Kini, kenyataan dihantar kepada suratkhabar melalui faks dan e-mel. Misalnya, pada 30 April, 2007, Perdana Menteri YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meluahkan perasaan marah dan malu darihal paip bocor dan keruntuhan siling bangunan kerajaan di Putrajaya dan Kuala Lumpur. Beliau mengarahkan pemeriksaan semua bangunan kerajaan di seluruh negara. Saya mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mengesyorkan Kertas Putih mengenai kelemahan-kelemahan bangunan di Parlimen, agar ahli-ahlinya boleh membahaskan dengan teliti. Semacam biasa, jaranglah suratkhabar memuatkan syor ini.

Sekarang, kita mempunyai pilihan dalam bentuk Internet dan blog-blognya. Walaupun tidak ramai lagi yang membaca blog, bilangannya akan bertambah dalam beberapa tahun.

20 tahun yang lalu, 107 orang ditahan dalam Operasi Lalang di bawah ISA. Ramai dibebaskan dalam 60 hari. Segelintirnya termasuk saya dimasukkan secara paksaan ke Universiti Kamunting. Salah satu tuduhan terhadap saya ialah pada 11 Oktober, 1987, di satu perhimpunan di Tokong Thean Hou, Kuala Lumpur, saya menggunakan isu kenaikan pangkat guru besar dan pembantu kanan yang tidak memperolehi kelayakan Mandarin tetapi dihantar ke sekolah-sekolah Cina untuk menyemarakkan rasa perkauman orang Cina. Saya tidak berucap di perhimpunan itu.

Kini, terutamanya di pilihanraya kecil Ijok pada 28 April, 2007, Kerajaan mengatakan bahawa penghantaran guru besar yang tidak fasih dalam Mandarin kepada sekolah Mandarin adalah salah.

Perjuangan untuk kebebasan akhbar mengambil masa yag panjang. Jalannya amat bengkok. Pada 2006, seramai 150 wartawan telah dibunuh di banyak tempat di dunia.

Di Malaysia, tidak ada wartawan yang dicedera atau dibunuh. Ada yang pernah ditahan di bawah ISA seumpama Abdul Samad Ismail atau dipecat dari jawatannya.

Dalam sejarah, terdapat pemimpin yang menderita ketika memperjuangkan untuk kebebasan seperti penulis dan ahli falsafah Perancis Abad ke-18, Rousseau dan Voltaire. Kedua-duanya adalah terkemuka semasa Revolusi Perancis. Pada abad yang sama, penyair English William Blake menulis sebuah sajak Mock On, Mock On, Voltair, Rousseau:

Mock On, Mock On, Voltaire, Rousseau;

Mock on, Mock on, 'Tis all in vain.

You throw the sand against the wind,

And the wind blows it back again.


And every sand becomes a Gem

Reflected in the beams divine; .....

Voltaire mempercayai kebebasan agama, politik dan sosial. Beliau dibuang daerah beberapa kali kerana kepercayaan yang radikal.

Aidcom mengeluarkan buku kecil yang mengandungi erti kebebasan akhbar dan angka-angka mengenai tahanan dan pembunuhan dissidents siber, pembantu media dan wartawan.

Kita menggalakkan Kerajaan untuk berikhtiar memupukkan kebebasan akhbar, bukan setakat memperbaiki kedudukan dalam Indeks Kebebasan Akhbar, bahkan dalam isi-kandungannya. Satu cara yang bermakna ialah penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk kebebasan akhbar, serta pengkajian semula undang-undang yang berkaitan dengannya dan KDN untuk masa hadapan yang cerah.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home