Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, November 27, 2007

Pastikan peruntukan penyelenggaraan tidak disalahgunakan.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyarankan supaya semua pihak termasuk kerajaan tempatan menghayati budaya penyelenggaraan.

Elakkanlah penyalahgunaan peruntukan penyelenggaraan. Jangan mencontohi amalan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, yang tidak melaksanakan setengah projek kecil dengan tepat. Ini adalah terbukti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Misalnya, tiba-tiba bangunan dibina di padang besar, Jinjang Utara, di sebelah sebuah tandas awam. Papan iklan telah didirikan selepas desakan awam; ia memaparkan pembinaan dewan orang ramai di tapak seluas lebih kurang 2,400 kaki per segi untuk kependudukan 300,000. Saya diberitahu bahawa bangunan kecil ini akan dijadikan tandas juga. Kementerian mestilah menyiasat hal ini.

Begitu juga dengan projek kecil di Jalan Lang Kelabu, Kepong Baru Tambahan, dan di Jalan Udang Geragau, Taman Cuepacs, Kepong. Ini adalah terletak di kawasan hijau, seoalah-olah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak menghiraukan alam sekitar langsung.

Pada 2008, unit tersebut memperolehi peruntukan kira-kira RM400 juta. Semoga wang ini dipakai dengan jitu. Ada juga bangunan di kawasan hijau digunakan sebagai pejabat politik parti.

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, penyelenggaraan kawasan di bawah Kerajaan Tempatan hanyalah merangkumi kerja penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam dan landskap.

"Bagi projek-projek kecil yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam tahun 2007, Kementerian telah memperuntukkan sejumlah RM27,014,165 bagi kerja pembinaan dan naiktaraf kemudahan awam, RM14,351,297 pula bagi kerja pencahayaan dan pengindahan, manakala RM74,503,594.34 bagi pembangunan infrastruktur serta RM57,364,790.72 bagi pembinaan premis perniagaan dan sosioekonomi.

Bagi kerja penyelenggaraan landskap di dalam kawasan Kerajaan Tempatan pula, kementerian telah memperuntukkan sejumlah RM6,000,000 untuk membantu PBT yang tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk menyelenggara landskap di kawasan masing-masing. Peruntukan ini diagihkan berdasarkan kepada permohonan yang diterima."

Sesetengah orang kurang kesedaran sivik; harta awam sengaja dirosakkan, termasuk longgokan sampah. Kita memerlukan pendidikan.

Peruntukan bagi penyelenggaraan mestilah ditambahkan kerana apa yang disebutkan adalah tidak mencukupi. PBT harus mengelakkan dari penyalahgunaan peruntukan ini. Tambah pula, budaya penyelenggaraan patut dihayati.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home