Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, July 16, 2008

Strategi menghadapi cabaran kemerosotan ekonomi dunia

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyarankan supaya Kerajaan mengadakan strategi yang berkesan untuk menghadapi ekonomi dunia yang kian merosot.


Rakyat mestilah bersama-sama bersedia untuk mengalami masa yang tidak begitu cerah.


Dr Tan mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2008 di Dewan Rakyat pada 16.7.2008.


Di dalam perbekalan tambahan ini, wang telah dibelanjakan lebih RM 20 bilion untuk pelbagai maksud. Lebih RM18 bilion ialah bagi subsidi termasuk RM10 bilion bagi subsidi gas cecair, RM5 bilion rebat tunai berikutan kenaikan harga-harga petrol dan diesel pada 6.6.2008.


Kita hendak mengetahui jumlah subsidi pelbagai jenis untuk tahun ini. Jika RM 6.13 bilion diberikan kepada para pengguna kenderaan melalui 686 cawangan Pos Malaysia, apakah amaun yang dibelanjakan untuk menguruskan cara subsidi yang baru ini? Kerajaan haruslah mengkaji sama ada subsidi secara langsung lebih bererti?


YB Timbalan Menteri memberi amaun subsidi petrol untuk Januari hingga Jun, 2008 sebagai RM 10.2 bilion dan anggaran bagi Julai hingga Disember, 2008 RM 11.7 bilion. Jumlah anggaran untuk 2008 ialah RM21.9 bilion.


Pemberian subsidi adalah mudah, tetapi memberhentikannya adalah sangat susah. Kenaikan harga petrol 40 hingga 60% secara mendadak menyusahkan rakyat.


YB Menteri dan timbalannya telah menyentuh krisis subprima di Amerika Syarikat serta mengatakan kesan ke atas ekonomi negara ini tidak begitu besar keranan kita telah mempelbagaikan eksport kita. Pada akhir ini, eksport ke Amerika tidak sampai 20% dan lebih 50% adalah ke China dan India. Kemudian, dua bank besar di Amerika menghadapi kesusahan dan terpaksa diselamatkan oleh Kerajaannya. Krisis baru ini membawa kesan kepada ekonomi dunia; negara-negara seperti China mempunyai lebih USD1,700 juta bond dari bank-bank ini.

Walaupun Presiden George Bush masih mengatakan ekonomi Amerka baik, Pengarah Simpanan Persekutuan (Federal Reserve) Ben Bernanke membayangkan keadaan yang kurang cerah.


Kerajaan telah mengadakan strategi bagi menghadapi cabaran tersebut. Di antaranya ialah potongan gaji menteri, penjimatan penggunaan tenaga, budaya berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran dan peningkatan kecekapan dan daya saing industri, penyeragaman ke atas harga barang-barang perlu yang mendapat subsidi di antara Semenanjung,
Sabah dan Sarawak serta penentuan senarai barangan yang perlu diberi subsidi oleh Kerajaan. Apakah tahap pencapaiannya?


Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home