Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, September 09, 2009

Apakah sebab kematian Teoh Beng Hock?

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan SengGiaw menekankan bahawa inkues siasatan kematian Beng Hock haruslah mencari sebab kematiannya dengan cara yang adil, tanpa dipengaruhi oleh sesiapapun.

Pada 8 September, 2009, prosiding inkues kematian Beng Hock hari ke-18, saksi yang ke-19 Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Mohd. Ashraf Mohd. Yunus menggambarkan Setiausaha Politik Exco Selangor itu berkeadaan gelisah ketika ditemuduga di Tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam, pada 15 Julai,2009.

SPRM menyiasat kes penyelewengan peruntukan wang kerajaan negeri Selangor. (Cuba bandingkan amaun wang ini dengan Zon Bebas Pelabuhan Klang, PKFZ).

Media melaporkan bahawa Mohd. Ashraf telah disoal oleh peguam pemerhati bagi suruhanjaya berkenaan, Datuk Abdul Razak Musa di Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, ''Beng Hock tidak nampak ceria, dia serius dan tidak banyak bercakap. Dia cuma bercakap apabila ditanya mengenai nama, umur dan bagaimana dia mengenali Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.''

Beng Hock ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam kira-kira pukul 2 petang, 16 Julai lalu selepas disoal siasat oleh SPRM.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock menggunakan satu laporan polis bertarikh 11 September 2008, sebagai asas untuk mencabar kredibiliti keterangan Mohd. Ashraf setelah saksi itu sebelum ini mengatakan beliau tidak tahu menahu wujud kekerasan dalam soalsiasat SPRM.

Walaupun kes inkues ini adalah di bawah koroner, siasatan suruhanjaya diraja adalah lebih sesuai. Yang terpenting sekali inkues siasatan ini perlu dijalankan dengan adil untuk mencari kebenaran. Ini termasuk cara-cara yang dipakai oleh SPRM untuk menemuduga dan menyiasat. Dunia sedang melihat integriti SPRM.

Ketika George Bush menjadi Presiden Amerika Syarikat, pelbagai cara kejam digunakan di Guantanamo untuk mendapat maklumat dari orang-orang tahanan bersabit dengan keganasan. Presiden Obama hendak memberhentikan cara-cara kejam ini. Sementara itu, apakah cara-cara yang diamalkan oleh SPRM?

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home