Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Thursday, September 17, 2009

Vaksin selsema H1N1:garis panduan bagi 400,000 orang yang layak?

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kementerian Kesihatan mengadakan garis panduan yang jelas untuk memastikan 400,000 orang yang layak disuntikkan vaksin selsema H1N1. Jika tidak menggunakan garis yang yang baik, 27 juta rakyat Malaysia akan berasa tidak dilayan dengan adil.

Adalah mendesak bagi menentukan orang yang paling layak menerima 40,000 dos vaksin yang akan sampai di negara ini lebih awal. Difahamkan bahawa vaksin ini akan diberi kepada golongan utama seperti doktor, jururawat, ibu mengandung dan kanak-kanak.

Pada 17.8.2009, Dr Tan mengulas darihal vaksin H1N1.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bahawa 40,000 dari 400,000 dos vaksin yang dipesan oleh kementeriannya dari GlaxoSmithKline (GSK), U.K., akan tiba di Malaysia bulan depan. Baki 360,000 dos akan sampai di sini pada awal Januari 2010. Pesanan ini adalah berharga RM14 million. Jika vaksin jenis ini dari China dan Taiwan mempunyai kualiti yang baik dan harganya munasabah, kementerian haruslah juga membuat pesanan dari mereka. Tetapi, perdagangan ubat adalah rumit. Terdapat banyak faktor, termasuk saluran tradisional. Syarikat-syarikat Eropah seumpama GSK sudah bertapak di Malaysia berdekad-dekad.

Menurut laporan media, Liow mengatakan bahawa walupun vaksin yang akan didapati tidak pernah mengalami ujian klinikal, kementeriannya mempercayai ia selamat disuntikkan kepada orang. Kenyataan ini mengelirukan. Beliau haruslah memanggil pakar-pakar dari kementerian untuk menjelaskan perkara ini. Firma yang terkenal seperti GSK menjalankan ujian klinikal untuk produknya. Jika berlaku kesan vaksin yang buruk ke atas pesakit, ia terpaksa membayar pampasan yang besar.


Liow menegaskan," Kita sedang dalam proses membina kemudahan untuk membuat vaksin. Ninebio Sdn Bhd sudah diarah untuk membina sebuah kilang." Kementrian haruslah berwaspada. Sekiranya ia mampu mengadakan kilang seperti ini, ia perlu telus dan akauntabel. Biarlah ia mempelajari dari skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ); orang-orang yang terlibat tidak mengikut prosedur kewangan, tidak mengurus dengan betul dan tidak membuat tender terbuka.

Virus selsema bertukar corak (mutasi). Wabak selsema boleh menjadi lebih teruk bila-bila masa. Langkah-langkah seumpama menambahkan kemudahan perubatan di hospital dan klinik adalah perlu. Tetapi, kementerian mestilah mengawal perbelanjaan beratus juta ringgit dengan berkesan untuk mengelakkan kecurangan dan pembaziran.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home