Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, May 06, 2008

Berhenti monopoli import beras; kaji semula dasar mampu diri 70%

Timbalan Pengerusi Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru Kerajaan supaya mengkaji dengan sedalam-dalamnya cara untuk:

(1) memberhentikan monopoli pasaran beras oleh Bernas, (2) mengkaji sama ada kemampuan diri untuk beras 70% masih munasabah (3) membuka lebih tanah untuk tanaman padi (4) memastikan sama ada Kementerian Perdagangan Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna atau Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani atau kedua-duanya memainkan peranan yang berkesan dalam memantau dan mengendalikan harga beras.

Pada tempoh hari, kekurangan bekalan beras antarabangsa kerana pelbagai faktor memberi tekanan kepada harga beras dalam negara. Bernas tidak mempunyai saingan untuk mengimport beras. Walaupun bertahun-tahun, kita telah menyeru Kerajaan agar mengkaji semula peranan Bernas untuk mengimport 30% beras dan dasar 70% mampu diri untuk beras, tetapi seruan ini merupakan air di daun keladi.

Sekarang, Bernas bermaharajalela. Para pengguna dengan Bernas boleh disifatkan sebagai kambing dengan harimau, yang lemah melawan yang kuat. Sampailah masa bagi Kerajaan mengkaji hal ini, lalu mencari cara untuk mengadakan saingan bagi mengimport beras.

Beras biasa mempunyai campuran beras hancur 15% dan beras super 5 hingga 10%. Beras biasa adalah barang kawalan. Bekalannya sangat kurang. Biasanya, rakyat Malaysia membeli beras super.

Bila Bernas membeli padi dari petani, ia membayar RM 700 setan. Dua bulan yang lepas, ia naik kepada RM 1,000 kerana syarikat-syarikat lain menawarkan harga RM 1,150 setan. Hakikatnya, harga beras melambung, tetapi harga padi tidak naik dengan banyak.

Dua hari yang lepas, saya mengatakan usaha Kerjaaan untuk membuka tanah di Sabah dan Sarawak (100,000 ekar) mungkin akan mendatang hasilnya dalam 10 tahun. Kerajaan menetapkan dasar 70% mampu diri dan 30% import atas faktor strategik. Pada masa dahulu, negara-negara seperti Thailand mengeluarkan beras dengan modal yang lebih rendah. Sekarang, buat kali yang pertama, beras Malaysia diseludup kepada Thailand. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mencatatkan keluaran padi sekeping tanah (1.2 hektar atau 3.3 ekar) ialah 8 tan. Ada bendang seumpama di Endau Rompin, Chui Chap dan Sekinchan boleh mencapai 12 hingga 13 tan sekeping.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home