Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, May 13, 2008

Di Malaysia, hak-hak semua kaum tidak boleh dirampas.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengulangi bahawa hak-hak semua kaum mestilah dipelihara dan tidak ada sesiapapun boleh merampas hak-hak kaum lain. Sesuatu kaum tidak boleh membegal hak-hak kaum lain.

Dr Tan Seng Giaw berkata demikian ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan titah ucapan Duli Yang Malah Mulia pada 13 Mei, 2008.

Bencana ribut beliung, siklon, di Myanma dan malapetaka gempa bumi di China mestilah mendapat simpati dan bantuan dari Malaysia. Kita sangat bersimpati dengan rakyat negara-negara tersebut;kita mengucapkan takziah.

Pada sesi ini, kita mengalu-alukan 99 ahli yang menghadiri Dewan ini buat kali yang pertama. Kita nampak ada yang mempunyai potensi dan isi kandungan ucapannya bererti.

Selepas pilihanraya umum pada 8 Mac, 2008, Dewan ini menjadi lebih hangat. Ketika kempen pilihanraya, setiap parti menonjolkan dasar politik masing-masing. Setelah rakyat sudah membuat keputusan, kita dari semua parti boleh berusaha untuk membangun negara.

Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang;
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang payah menjadi senang.

UMNO menjorokkan hak-hak, adat dan sejarah Melayu; MCA menyorongkan hak-hak dan pendidikan Cina dan MIC menyodorkan hak-hak dan kewarganegaraan India. Mereka menganjurkan tonggan, dapur yang diperbuat dengan mengorek tanah untuk kawah atau periuk besar. Tonggan UMNO, MCA dan MIC dan lain-lain komponen Barisan Nasional (BN) ini memasak isu-isu perkauman.Tetapi, di dalam zaman teknologi maklumat dan kemunculan negara-negara Cina dan India, tonggan seumpama ini adalah tidak praktikal lagi. Sekarang kita menggunakan ketuhar gelombang mikro dan lain-lain yang lebih canggih. Kita bercita-cita mencapai taraf negara maju pada 2020.

Kita mestilah mengelakkan amalan untuk melayam-layamkan keris semasa perhimpunan parti. Semua kaum mempunyai hak di dalam politik, ekonomi, kesihatan, pertanian dan sebagainya. Tidak ada sebarang kaum yang boleh menjabal hak-hak kaum lain. Yang miskin, yang lemah, mestilah dibantu, tanpa mengira kaum. Kita haruslah sentiasa berikhtiar untuk mengurangkan jurang, sama ada kekayaan, digital atau wilayah dengan berani dan penuh keazaman.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home