Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, May 26, 2008

Kementerian Perpaduan

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Kementerian Perpaduan ditubuhkan dengan peruntukan yang cukup.


Pada 26 Mei, 2008, Dr Tan mengemukakan syor ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan usul bahawasanya berikutan dengan Pilihanraya Umum Kedua Belas, beberapa Kementerian telah disusun semula yang mana Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri diserapkan ke dalam Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan yang kini dikenali sebagai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah digabungkan dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang kini dikenali sebagai Kementerian Dalam Negeri.


Perpaduan dan pasukan polis adalah penting. Pemindahan kedua-duanya dari satu kementerian ke satu kementerian menarik perhatian.


Perpaduan wajib ditekankan terus-menerus untuk selama-lamanya. Ia perlu disemaikan di dalam hati nurani setiap rakyat dari rebung ke liang lahat.


Kalau kita berkehendakkan perpaduan negara,
Kita sentiasa pupuk semua kaum bekerjasama.


Penyerapan perpaduan ke dalam kementerian baru mewujudkan kesangsian tentang tujuan Kerajaan. Adakah ini bererti ia akan mendatangkan keberkesanan?


Pemindahan maksud B6 perpaduan kepada lain kementerian,
Tentu menimbulkan syak wasangka terhadapnya kemudian.


Selepas Pilihanraya Umum pada 8 Mac, 2008, ada segeklintir orang yang asyik meghasutkan isu-isu perkauman dalam pelbagai bentuk. Perkataan ketuanan dan kontrak sosial selalu disebut-sebutkan. Ketuanan orang Malaysia adalah paling mustahak.


Di dalam lebih satu dekad ini, Kerajaan Barisan Nasional melaung-laungkan konsep Bangsa Malaysia yang serupa dengan Malaysian Malaysia. Setelah berlaku perubahan akibat Pilihan Raya Kedua Belas, konsep Bangsa Malaysia hampir diketepikan.


Di dalam masyarakat majmuk ini, hak-hak semua kaum patut dipelihara. Kaum lain tidak boleh merampas hak-hak orang Melayu; orang Melayu tidak dapat menceroboh hak-hak kaum lain.


Segala usaha mestilah sentiasa diadakan untuk menggalakkan perpaduan. Unsur-unsur buruk seperti salah faham di antara kaum haruslah dihapuskan. Peruntukan bagi semua usaha termasuk forum, seminar, konvensyen dan sebagainya terpaksa dipantau akan prestasi, hasil dan keberkesanannya.


Ada orang suka membangkitkan isu perkauman.
Ia memain politik untuk mendapat keuntungan.


Mereka tidak menghirau negara pecah berkecai,
Asalkan matlamat mereka akhirnya tercapai.


Saya mencadangkan supaya Kerajaan menubuhkan Kementerian Perpaduan dengan peruntukan yang cukup dan pemantauan yang berkesan. Perkara yang begitu penting tidak seharusnya tersirat di dalam Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.


Kementerian perpaduan harus ditubuh.
Semoga semua rakyat berjaya diasuh.


Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home