Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, May 28, 2008

Bina jalan alternatif bagi Bandar Mahkota Cheras

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membina jalan alternatif bagi para penduduk di Bandar Mahkota Cheras.


Dr Tan membuat seruan ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan perbekalan tambahan peringkat jawatankuasa Kemeterian Kerja Raya yang telah menggunakan lebih RM76 juta bagi penyelenggaraan dan pembaikan Jalan Persekutuan pada 29 Mei, 2008.

Beberapa tahun ini, syarikat konsesi Grand Saga membina jalan bertol dan memaksa para penduduk Bandar Mahkota dan sekitarnya menggunakannya. Syarikat itu mendirikan tembok di jalan tepi bandar itu untuk menghalang mereka dari mengelakkan jalan bertol itu.


Walaupun Bandar Mahkota adalah di dalam Negeri Selangor, kira-kira dua kilometer jalan yang menimbulkan masalah adalah di atas tanah Kerajaan Persekutuan. Memandangkan para penduduk tidak mempunyai jalan alternatif kecuali jalan bertol Grand Saga, Kerajaan patut membina sebatang jalan alternatif. Jika kos jalan itu dianggarkan RM10 juta, maka Kerajaan-Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu menanggung RM 5 juta masing-masing.


Sementara itu, Grand Saga tidak seharusnya mendirikan penghadang kali yang ke-empat. Sebaliknya, ianya dan pemaju Bandar Mahkota mestilah peka kepada kehendak rakyat. Dipercayai bahawa jalan utama untuk masuk dan keluar bandar itu adalah di bahagian yang lain.


Kerajaan haruslah menyiasat mengapa beberapa tahun yang lepas kontrak ditandatangani dengan syarikat konsesi Grand Saga meskipun tidak ada jalan alternatif bagi para penduduk Bandar Mahkota. Mereka terpaksa melalui jalan bertol Grand Saga. Jika penghadang diadakan di jalan kecil tersebut di Bandar Mahkota, kira-kira 10,000 penduduk sehari terpaksa melalui jalan bertol itu. Saya telah diberitahu bahawa kalau penghadang jalan diturunkan, Grand Saga mungkin menuntut pampasan beratus juta ringgit. Kerajaan mestilah mengesahkan tuntutan syarikat konsesi ini.


Dalam beberapa tahun ini, bantahan dan pergaduhan berlaku di Bandar Mahkota. Pada 28 Mei, 2008, para penduduk telah menghapuskan tembok bertinggi 5 kaki itu buat kali yang ketiga. Tembok itu menghalang para penduduk memergi ke Lebuhraya Cheras-Kajang.


Pada 27 Mei, 2008, beberapa penduduk telah dicederakan di dalam pergaduhan di lokasi tersebut. Ada yang mendakwa bahawa Grand Saga telah mengupah 'samseng'. Polis patutlah menyiasat dawaan ini.


Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home