Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, December 17, 2007

Timbang semula keberkesanan Suruhanjaya Aduan Khas (SCC)

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan menimbang semula keberkesanan Surhanjaya Aduan Khas (SCC), lalu memahami sebab-musabab Australia dan United Kingdom menubuhkan Suruhanjaya Khas untuk menangani aduan terhadap polis (IPCMC).


Dr Tan membuat komen terhadap SCC yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama pada 13.12.2007.


Beberapa tahun ini, banyak orang ada keluhan tentang polis. Walaupun ramai polis berdedikasi, tetapi seperti bidang yang lain, terdapat kambing hitam di kalangannya. Oleh itu, Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menambahbaikan perjalanan dan pengurusan Polis Diraja. Pada 2005, ia memaparkan 125 syor, termasuk IPCMC, bagi memenuhi permintaan rakyat.


Akan tetapi, pihak polis adalah tidak puas hati dengan IPCMC. Mengapa menumpukan perhatian kepada polis semata-mata? Walhal, adanya segelintir yang menyeleweng di jabatan-jabatan lain seumpama Jabatan Pengangkutan Awam dan Jabatan Kastam dan Eksais.


Australia dan U.K. memperolehi ombudsman yang menerima aduan terhadap pelbagai jabatan. Mereka mendapati bahawa biro ini tidak berkesan bagi menangani aduan tentang polis. Justru, mereka menubuhkan suruhanjaya hanya untuk menguruskan komplen darihal polis.


Kini, SCC menjadikan Ketua Polis Negara dan Pengarah Badan Pencegah Rasuah sebagai ahlinya. Jika SCC adalah bebas, mengapa masih melantik KPN dan Pengarah BPR sebagai anggotanya?


Dr Tan Seng Giaw

Monday, December 03, 2007

Tempoh peralihan:Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesti pungut sampah

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya mengarah semua pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memungut sampah-sarap dengan berkesan.


Dalam tempoh peralihan ini, PBT dan syarikat-syarikat yang dilantikkan dalam program penswastaan harus memenuhi tanggungjawabnya.


Pada 4.12.2007, Dr Tan meminta kementerian agar memantau 144 buah PBT dan syarikat seumpama Alam Flora menjalankan tugas menguruskan sisa pepejal. Ketika itu, Dewan Rakyat sedang membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet 2008) peringkat jawatankuasa dengan peruntukan RM 2.65 bilion bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Setiausaha Parlliament YB Datuk Dr S. Subramaniam menjawab perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh para ahli.


Pada bulan Jun tahun ini Dewan telah meluluskan pindaan ke atas beberapa akta untuk membolehkan Kementerian ini mengambil alih pengurusan sisa pepejal. Penguatkuasaannya akan bermula pada April, 2008.


Seperti yang disebutkan di dalam Dewan, sesetengah pegawai di PBT menganggap pengurusan sampah adalah bidang kuasa persekutuan, mereka buat acuh tak acuh tentang pengutannya. Oleh itu, ada kawasan-kawasan seumpama rumah panjang Seri Segambut, Jinjang Selatan, yang berbau busuk kerana longgokan sampah. Walaupun didesak oleh para penduduk, DBKL dan Alam Flora kurang mengambil berat.


Kami akan terus memberi peringatan kepada DBKL dan lain PBT supaya menguruskan pungutan sampah dengan berkesan semasa tempoh peralihan ini. Kementerian patutlah peka kepada perkara ini.
Ada orang awam yang kurang kesedaran sivik dan membuang sampah mengikut kehendak sahaja. Adakah pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang akan membawa perubahan?

Selain daripada masa peralihan untuk pengurusan sisa pepejal, Kerajaan mestilah berhati-hati dalam kiraan kadar bayaran untuk pengutan sampah. Ia akan menimbulkan kontroversi.

Dr Tan Seng Giaw

Beri lebih doktor dan kemudahan di klinik kerajaan di seluruh negara.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong menekankan bahawa Kementerian Kesihatan memperbaiki sumber manusia dan kemudahan di semua klinik kerajaan, termasuk Klinik Kesihatan Daerah Jinjang.

Tempat-tempat lain seperti Hospital Temerloh dan klinik-klinik kampung menghadapi kekurangan personel dan kemudahan yang serupa.

Klinik Kesihatan Jinjang memberi rawatan kepada lebih 500 pesakit setiap hari, meluputi radius empat kilometer dengan kependudukan kira-kira 300,000. Ia memberi perkhidmatan penjagaan ibu dan kanak-kanak. Ia menangani panggilan 999 dan merawat lebih 30 penagih dengan methadone.

Pada 2.12.2007, Dr Tan bersama-sama dengan beberapa penduduk mengunjungi sekali lagi klinik itu, yang mempunyai 10 bilik klinik, enam doktor dan enam pembantu perubatan. Ia tidak ada fisioterapis dan occupational terapis. Keesokan hari, beliau membangkitkan darihal ini di Dewan Rakyat ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang Bekalan 2008 peringkat jawatankuasa, dengan peruntukan Kementerian Kesihatan RM 12.9 bilion termasuk RM 1.6 bilion bagi kesihatan awam.

Pada 23.4.2006, kami pernah melawat klinik tersebut. Ketika itu, ia baru berpindah dari klinik lama di Jalan Selangor, Jinjang Utara; adanya lima doktor untuk lebih kurang 300 pesakit luar setiap hari.

Seorang fisioterapis dari Hospital Putrajaya datang ke Klinik Jinjang seminggu sekali. Semoga Kementerian dapat menambahkan lima doktor, satu fisioterapis, satu occupational terapis, sebuah ambulans, sebuah MPV, sebuah van dan, untuk pesakit-pesakit methadone, bilik menunggu dan tandas khas.

Adalah penting untuk menggalakkan kemajuan di dalam perubatan seumpama pemindahan jantung dan paru-paru. Adalah juga peri mustahak bagi menyediakan perkhidmatan untuk rawatan pesakit-pesakit yang dihinggapi penyakit dengan insiden tinggi semacam lebih 40,000 pesakit HIV/AIDS dan ramai pesakit buah pinggang, denggi, kanser dan kencing manis. Lebih 6,000 orang mati akibat kemalangan trafik; beribu-ribu lagi cedera. Kes-kes seperti pemindahan jantung dan paru-paru mewujudkan publisiti.

Kementerian Kesihatan berhasrat menyediakan perkhidmatan perubatan yang komprehensif, berkesan, mudah diperoleh, selesa, berteknologi sesuai serta meningkatkan piawaian kualiti ke arah kecemerlangan kepada pesakit yang memerlukan perkhidmatan. Ia harus berusaha lagi untuk mencapai objektif ini.

Dr Tan Seng Giaw