Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, November 29, 2006

Mempertingkatkan ilmu pengetahuan rakyat Malaysia

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw meminta Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim supaya menambahbaikkan Perpustakaan Negara, lalu menggalakkan lebih ramai ahli parlimen dan lain-lain orang menggunakannya.

Dr Tan mengemukakan permintaan ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) peringkat jawatankuasa untuk peruntukan RM720,957,500 bagi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 30 November, 2006. Rang Undang-Undang ini telah dibentangkan pada 1 November, 2006.

Peruntukan 2007 bagi perpustakaan negara yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, adalah RM50,833,500. Teknologi maklumat termasuk komputer untuk perpustakaan ini sedang dipertingkatkan. Saya berharap lebih ramai orang dapat menggunakan perpustakaan ini. YB Menteri mestilah berusaha mengadakan cawangan-cawangannya di seluruh negara.

Ilmu pengetahuan adalah penting bagi semua rakyat. Di sini, perpustakaan memainkan peranannya.

Pada tempoh hari, segelintir ahli parlimen mempertahankan pertunjukan keris oleh Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai Ketua Pemuda ketika Konvensyen UMNO. Lambang keris ini adalah unsur tradisi dan budaya. Ia mempunyai erti yang tertentu termasuk maruah dan kegagahan. Kita menghormatinya.

Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi, yakni, ilmu yang tidak sempurna dituntut tidak akan ada faedahnya. Penyalahgunaan lambang keris untuk tujuan politik adalah tidak sesuai. Ini tidak terkandung di dalam kitab-kitab suci seperti Al Quran yang mengajarkan nilai-nilai seumpama perpaduan, kesejahteraan dan silaturahim.

Kalau semua ahli parlimen sering mengunjungi perpustakaan dan memperolehi ilmu pengetahuan yang luas, soal pertunjukan keris tersebut tidak akan timbul.
Di dalam dunia yang bergelobalisasi ini, ilmu pengetahuan yang sempurna adalah peri mustahaknya.

Tan Seng Giaw

Kaji standard di lebih 8,000 sekolah di Malaysia

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya Menteri Pelajaran Dato' Sri Hishamuddin Tun Hussein menyiasat standard sekolah-sekolah rendah dan menengah serta prestasi guru besar, pengetua dan guru.

Terdapat dakwaan bahawa standard sesetengah sekolah sudah turun dan sesetengah guru adalah tidak berdedikasi. Ada juga guru bekerja sampingan seperti memberi tuisyen dan prestasinya turun.

Dr Tan membuat desakan ini semasa mengambil bahagian di dalam perbahasan menyokong usul Ketua Pembangkang Lim Kit Siang untuk memotongkan RM10 gaji Menteri Pelajaran, dua Timbalan dan setiausaha parlimennya masing-masing pada 27.11.2006.

Kelemahan-kelemahan Menteri Pelajaran adalah ketara termasuk menghulurkan keris ketika konvensyen UMNO baru-baru ini, kekurangan standard sesetengah sekolah, kekurangan dedikasi sesetengah guru dan keciciran segelintir pelajar.

Dato' Sri Hishamuddin menyalahgunakan keris. Ini menunjukkan teladan yang kurang baik kepada berjuta-juta pelajar dari lebih 8,000 sekolah. Kita berharap beliau dapat memaparkan contoh teladan yang sesuai bagi para pelajar.

Kementerian Pelajaran hendak mencapai satu sistem pendidikan yang bertaraf dunia. Negara ini mahu menjadi taraf negara maju pada tahun 2020. Tetapi, jika standard sekolah tidak meningkat, maka matlamat ini tidak akan dicapai. Oleh itu, kita menyeru supaya menteri mengkaji standard sekolah dan prestasi guru.

Ada sekolah di pedalaman yang masih tidak mempunyai bekalan air dan elektrik dengan mencukupi, terutamanya di zaman digital ini. Sekolah yang bertaraf dunia mestilah memperolehi bekalan air dan elektrik serta kemudahan-kemudahan yang lain.

Tan Seng Giaw

Monday, November 06, 2006

Kelulusan peruntukan kerajaan yang lewat

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong merayu kepada Kerajaan supaya mengkaji masa yang diperlukan untuk meluluskan peruntukan bagi projek-projek pembangunan dan lain-lain dalam masa yang munasabah.

Dr Tan mengemukakan soalan tambahan pada 6 November, 2006, di Parlimen ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjawab soalan mengenai kelemahan dalam sistem penyampaian dalam Rancangan-Rancangan Malaysia Ke-8 dan 9.

Aduan yang kita sering terima ialah kekurangan sistem tender terbuka dan kelulusan peruntukan projek yang lewat. Indeks Transparency International (TI) untuk Malaysia telah turun dari 5.1 poin ranking 39 dari 159 negara kepada 5.0 poin ranking 44 dari 163 negara. Walaupun indeks ini bukan sempurna dan jumlah bilangan negara dalam tafsiran bertambah sedikit, tahap pencapaian Malaysia adalah tidak tinggi.

Daripada bajet-bajet 2006 dan 2007, perbelanjaan pembangunan adalah RM35.5 bilion dan RM46.5 bilion masing-masing. Kelulusan peruntukan di jabatan-jabatan adalah lewat, kadangkala sehingga hujung tahun. Saya berharap Kerajaan mengkaji setakat mana kelewatan peruntukan sampai ke sasaran serta cara-cara untuk mengatasinya.

Kita menekankan bahawa 880 dan lain-lain projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 mestilah dilaksanakan melalui tender yang benar-benar terbuka, bukan hanya tender terbuka dalaman sahaja. Dengan tender yang terbuka dan kelulusan peruntukan dalam masa yang munasabah serta faktor yang lain, barulah kita dapat menyaksikan pelaksanaan projek yang berkesan.