Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, November 29, 2006

Mempertingkatkan ilmu pengetahuan rakyat Malaysia

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw meminta Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim supaya menambahbaikkan Perpustakaan Negara, lalu menggalakkan lebih ramai ahli parlimen dan lain-lain orang menggunakannya.

Dr Tan mengemukakan permintaan ini ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) peringkat jawatankuasa untuk peruntukan RM720,957,500 bagi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 30 November, 2006. Rang Undang-Undang ini telah dibentangkan pada 1 November, 2006.

Peruntukan 2007 bagi perpustakaan negara yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, adalah RM50,833,500. Teknologi maklumat termasuk komputer untuk perpustakaan ini sedang dipertingkatkan. Saya berharap lebih ramai orang dapat menggunakan perpustakaan ini. YB Menteri mestilah berusaha mengadakan cawangan-cawangannya di seluruh negara.

Ilmu pengetahuan adalah penting bagi semua rakyat. Di sini, perpustakaan memainkan peranannya.

Pada tempoh hari, segelintir ahli parlimen mempertahankan pertunjukan keris oleh Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai Ketua Pemuda ketika Konvensyen UMNO. Lambang keris ini adalah unsur tradisi dan budaya. Ia mempunyai erti yang tertentu termasuk maruah dan kegagahan. Kita menghormatinya.

Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi, yakni, ilmu yang tidak sempurna dituntut tidak akan ada faedahnya. Penyalahgunaan lambang keris untuk tujuan politik adalah tidak sesuai. Ini tidak terkandung di dalam kitab-kitab suci seperti Al Quran yang mengajarkan nilai-nilai seumpama perpaduan, kesejahteraan dan silaturahim.

Kalau semua ahli parlimen sering mengunjungi perpustakaan dan memperolehi ilmu pengetahuan yang luas, soal pertunjukan keris tersebut tidak akan timbul.
Di dalam dunia yang bergelobalisasi ini, ilmu pengetahuan yang sempurna adalah peri mustahaknya.

Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home