Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, November 29, 2006

Kaji standard di lebih 8,000 sekolah di Malaysia

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak supaya Menteri Pelajaran Dato' Sri Hishamuddin Tun Hussein menyiasat standard sekolah-sekolah rendah dan menengah serta prestasi guru besar, pengetua dan guru.

Terdapat dakwaan bahawa standard sesetengah sekolah sudah turun dan sesetengah guru adalah tidak berdedikasi. Ada juga guru bekerja sampingan seperti memberi tuisyen dan prestasinya turun.

Dr Tan membuat desakan ini semasa mengambil bahagian di dalam perbahasan menyokong usul Ketua Pembangkang Lim Kit Siang untuk memotongkan RM10 gaji Menteri Pelajaran, dua Timbalan dan setiausaha parlimennya masing-masing pada 27.11.2006.

Kelemahan-kelemahan Menteri Pelajaran adalah ketara termasuk menghulurkan keris ketika konvensyen UMNO baru-baru ini, kekurangan standard sesetengah sekolah, kekurangan dedikasi sesetengah guru dan keciciran segelintir pelajar.

Dato' Sri Hishamuddin menyalahgunakan keris. Ini menunjukkan teladan yang kurang baik kepada berjuta-juta pelajar dari lebih 8,000 sekolah. Kita berharap beliau dapat memaparkan contoh teladan yang sesuai bagi para pelajar.

Kementerian Pelajaran hendak mencapai satu sistem pendidikan yang bertaraf dunia. Negara ini mahu menjadi taraf negara maju pada tahun 2020. Tetapi, jika standard sekolah tidak meningkat, maka matlamat ini tidak akan dicapai. Oleh itu, kita menyeru supaya menteri mengkaji standard sekolah dan prestasi guru.

Ada sekolah di pedalaman yang masih tidak mempunyai bekalan air dan elektrik dengan mencukupi, terutamanya di zaman digital ini. Sekolah yang bertaraf dunia mestilah memperolehi bekalan air dan elektrik serta kemudahan-kemudahan yang lain.

Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home