Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, August 14, 2007

Laksanakan Pelan Keselamatan Jalan Raya (2005 - 2010) dengan berkesan.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan dengan segera meningkatkan keberkesanan pelaksanaan Pelan Keselamatan Jalan Raya, untuk mengelakkan nahas terburuk seperti kemalangan bas Super Express di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang, Taiping, Perak, pada 13 Ogos, 2007.

Kerajaan membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk keselamatan jalan. Tetapi, berlakunya kemalangan lebih 300,000 kes dan lebih 6,000 kematian setahun.

Dr Tan membuat komen tentang nahas ngeri di Lebuh Raya Utara Selatan tersebut pada 14.8.2007: 20 maut dan 9 cedera.

Kita bersama-sama dengan Perdana Menteri berasa sedih terhadap nahas tersebut. Kita berharap kemalangan seumpama ini tidak akan berulang. Terdapat banyak sangkaan sebab-musabab terhadap berlakunya kemalangan itu, semacam pemandu pernah disaman 15 kali, dia mengantuk, masa pandu terlalu panjang, ketiadaan pemandu yang kedua dan sebagaianya. Tetapi, Kerajaan mestilah mengkaji dengan teliti punca nahas itu, serta mengemukakan cadangan untuk mengelakkannya.

Biasanya, orang ramai mengambil berat tentang kekerapan terjadinya kemalangan jalan raya. Misalnya, pada 2004, ada 326,814 kes kemalangan, 6,223 mati; 2005 328,268 kes, 6,188 mati; 2006 341,232 kes, 6,287 mati; 2007 sehingga 31, Mac 87,668 kes, 1,482 mati.

Penunggang dan pembonceng motosikal menghadapi risiko masing-masing 35 dan 25 kali ganda berbanding dengan pemandu kereta. Penumpang van dan bas menghadapi risiko maut masing-masing 1.5 dan 1.4 kali ganda berbanding dengan penumpang kereta.

Anggapan sesetengah orang mengenai sebab kemalangan jalan raya ialah kecuaian pemandu, diikuti dengan masalah alam sekitar dan mesin.

Kerajaan sudah merancangkan Pelan Keselamatan Jalan Raya (2006 - 2010). Ini tahun pelaksanaan yang kedua. Kita meminta Kerajaan supaya mempertingkatkan tahap pelaksanaan pelan itu. Misalnya, setiap buah bas, lori dan van memaparkan di belakangnya had laju 70/80 Kilometer sejam. Namun, kita sering melihat, kelajuan kenderaan-kenderaan ini adalah lebih daripada 110 km sejam. Selain daripada pemandu mempelajari semula pemanduaannya dan para penumpang bas memasangkan tali keledar, Menteri Pengangkutan haruslah mengkaji bagaimana kelajuan bas dapat dipantau dengan efektif.

Dr Tan Seng Giaw

Adalah dimaklumkan bahawa DAP Kepong akan mengadakan Majlis Jamuan Makan Malam Merdeka Ke-50, Ulang Tahun DAP Ke-41 serta sempena pembelian pejabat parti di Kepong pada jam 7.30 petang, 18 Ogos, 2007, Sabtu, di Restoran Chooi Wah, Jinjang Utara. Penceramah adalah Lim Kit siang, Lim Guan Eng, Tan Seng Giaw, Fong Po Kuan, Fong Kui Lun, Tan Kok Wai, Theresa Kok, Teng Chang Khim dan Ooi Swee Lim.

Pada majlis tersebut, para pemimpin akan memperbincangkan isu-isu politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, perlembagaan dan sebagainya.

Kita mempersilakan para pemberita menghadiri majlis tersebut.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home