Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, November 11, 2009

Mekanisme efektif untuk subsidi minyak

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan Pusat memastikan mekanisme baru yang efektif untuk memberi subsidi minyak kepada golongan sasar dalam ertikata yang sebenarnya.

Dr Tan mengulas jawapan Timabalan Menteri Kewangan YB Datuk Chor Chee Heong mengenai subsidi minyak di Malaysia pada 12.11.2009.

Menurut Timbalan Menteri, sehingga September, 2009, subsidi minyak adalah RM3.54 bilion. Jika ikut cara subsidi yang sedia ada, jumlah untuk 2010 akan meningkat kepada RM10 bilion.

Orang-orang asing yang masuk ke negara menikmati subsidi ini. Bajet 2010 bertujuan untuk memberi subsidi ini kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kami hendak melihat apakah kaedah yang akan diwujudkan bagi menentukan hanya golongan sasaran ini memperolehi manfaatnya.

Minyak dan gas keluaran negara ini adalah terhad. Ini bererti kita mestilah menggunakan hasil dari minyak dengan hemah termasuk pelaburan yang bijak untuk masa depan. Pada tahun 2008 hasil dari minyak adalah RM63 bilion dan pada tahun 2009 dianggarkan jumlah yang hampir sama.

Apabila harga sesuatu barang seperti petrol adalah sangat murah berbanding dengan negara-negara lain terutamanya jiran, maka orang-orang asing mengambil kesempatan. Penyeludupan berlaku.

Nampaknya, Kerajaan memerlukan masa untuk mengaturkan mekanisme yang berkesan untuk memberi subsidi hanya kepada golongan sasar. Maka, subsidi mungkin boleh dikurangkan.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home