Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, December 17, 2008

Jawatan Naib Canselor mesti ada jaminan

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya jawatan Naib Canselor universiti diberi jaminan (security of tenure), pola fikiran terhadap pemerintah mestilah berubah, jawatankuasa pencarian Naib Canselor mestilah bebas dan pelajar tidak patut dijenayahkan.



Dr Tan berucap di Dewan Rakyat pada 11.12.2008 ketika mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008:



Saya bangun untuk mengambil bahagian di dalam perbahasan ini dengan hati sedikit sedih kerana pindaan yang diadakan tidak begitu mendalam. Ada kurang sesayat sebelanga, tapi ada beberapa cadangan itu baik juga, seperti Yang Berhormat Rembau tadi yang menikmati pengalaman di universiti di luar negara sehingga hari ini (ber)hujah baik juga: mencari orang-orang yang cerdik pandai (menjadi Naib Canselor) di seluruh dunia. Fikiran itu (adalah) betul juga. Walau bagaimanapun apa yang dinikmati di Universiti Oxford (autonomi) itu beliau tak mahu dilakukan di Malaysia. Itu masalah sekarang. Masalahnya cakap tak serupa bikin.



Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Saya tak dengar ucapan ini.



Dr Tan Seng Giaw [Kepong]: Yang pertama mengenai autonomi (universiti). Saya akan berbincang lagi pada peringkat jawatankuasa. Walaupun ada sedikit sebanyak diberi kepada Naib Canselor, tapi fikiran, pola fikiran, di kementerian (pengajian tinggi) dan juga di universiti itu tidak setakat memberi autonomi, tidak. Misalnya, Tuan Yang di-Pertua, apabila kementerian bagi satu notis (pemberitahuan, circular), pihak Naib Canselor itu tentu terkejut dan biasanya mematuhi arahan daripada kementerian. Itu masalah: dia punya fikiran, mindset, itu. Dan daripada Perbendaharaan, Treasury, (ia) bagi satu arahan kepada Naib Canselor. Naib Canselor mengangguk sahajalah. Itu masalah: masalah di sini (ialah) mindset. Yang Berhormat Kluang pun tahu apa mindset dia ini. Dan di dalam pindaan ini tidak mengambil kira fikiran dan mindset yang sudah hampir lebih tiga dekad, fikiran seperti hamba abdi.



Naib Canselor tidak sepatutnya mempunyai mindset satu fikiran yang begitu sebagai fikiran bawahan sahaja: kemudi di haluan, herhilir ke buritan. Berkemudi di haluan, bergilir ke buritan. Itulah fikirannya dan pindaan ini tak mengambil kira hal seumpama ini dan Yang Berhormat Menteri pun seolah-olah walaupun sebelah kanan diberi sedikit sebelah kiri itu ambil balik. Ini bukan cara hendak pinda. Bukan cara hendak memberi kebebasan dan autonomi universiti. Universiti tanpa autonomi memang bukan satu universiti bahkan sebagai kolej kerajaan sahaja dan Yang Berhormat Rembau pun tahu apakah maksud autonomi tapi nampaknya dia belum bersedia untuk beri autonomi kepada unversiti, 20 buah IPTA, di negara ini. Belum sedia lagi bagi (autonomi kepada universiti). Mungkin hendak tanding Pemuda UMNO dia bersikap sedemikian.



Saya berharap Yang Berhormat dapat mempertimbangkan macam mana kita dapat ubah pola fikiran ini: kementerian sebagai master dan Naib Canselor sebagai orang bawahan suruhan sahaja. Saya ulang: berkemudi di haluan, bergilir di buritan.



Mengenai perlantkan Naib Canselor: Naib Canselor di 20 buah IPTA tidak mempunyai rasa senang--tidak ada security of tenure. Selagi Naib Canselor tidak mempunyai fikiran bahawa jawatan itu selamat, tidak ada security of tenure, maka mereka tidak boleh menjalankan tugas dengan berkesan, sebab dia sentiasa berjaga-jaga mungkin Yang Berhormat Menteri akan datang dan melakukan sesuatu. Bayang di bawahnya bayang Yang Berhormat Menteri itu. Itu masalah kita dan saya berharap security of tenure dan kita mesti ada peruntukan di dalam (AUKU) untuknya, kecualilah mereka melakukan jenayah ataupun perkara-perkara yang tidak sepatutnya diterima oleh masyarakat. Kalau tidak (melakukan perkara yang tidak boleh diterima), kita mestilah menjamin jawatan itu dengan security of tenure. Berapa minit lagi Tuan Yang di-Pertua?

Tuan Yang di-Pertua: Dua minit.

Dr Tan Seng Giaw [Kepong]: Dua minit lagi?

Tuan Yang di-Pertua: Dua minit lagi. Yang Berhormat tidak sedar pasal Yang Berhormat selalu menghadap ke sana apabila berhujah.

Dr Tan Seng Giaw [Kepong]: Ya

Tuan Yang di-Pertua: Kalau Yang Berhormat Kepong menghadap saya, mesti tau.

Dr Tan Seng Giaw [Kepong]: Bukan tidak sedar, itu satu contoh.

Tuan Yang di-Pertua: Ya, sila teruskan.

Dr Tan Seng Giaw [Kepong}: Satu contoh.

Tuan Yang di-Pertua: Sila.

Dr Tan Seng Giaw [Kepong]: Memang sedar. Kemudian, mengenai jawatankuasa pencarian (Naib Canseloar) dan di dalam pindaan jawatankuasa pencarian itu ialah datang daripada kementerian. Ini memanglah boleh disifatkan satu perkara yang tak betul. Kalau kita hendak memberi autonomi kepada unversiti yang baik kita bagi pihak universiti untuk menubuhkan jawatankuasa pencarian. Universitilah yang menentukan, yang memilih dan selepas jawatankuasa pencarian itu mendapatkan keputusan maka (ia) diserahkan kepada Menteri. Itu caranya. Saya berharaplah.

Peruntukan untuk menubuhkan jawatankuasa pencarian oleh pihak kementerian memang melanggar dengan semangat kita untuk memberi kebebasan kepada universiti. Memang tak bebas. Saya berharap dapat mempertimbangkan perkara ini dan saya bersetuju dengan Yang Berhormat Rembau kerana kita mesti mengadakan pencarian seluruh dunia untuk mendapat cerdik pandai daripada mana-mana pun asalkan mereka boleh memberi sumbangan kepada IPTA kita. Itu cara(nya).

Dan satu lagi mengenai cara ada sedikit sebanyak di sini memberi kelonggaran kepada para pelajar kalau ada melakukan masalah dan telah ditahan di Universiti Kamunting kita (Pusat Tahanan Kamunting, Taiping). Maka, ada banyak jenis universiti. Kamunting University (adalah) salah satu universiti di negara kita. Kalau masuk ke Universiti Kamunting, dia masih boleh ambil peperiksaan dan sebagainya dan lulus sebagai graduan daripada universiti. Memang ada kelonggaran sedikit, tapi yang penting sekali itu kecuali seseorang pelajar itu melakukan jenayah yang jijik dan sebagainya, biasanya tidak boleh menjenayahkan para pelajar. Masa sudah cukup sekarang ya? Jadi saya berharaplah (para pelajar tidak dijenayahkan).

Dewan Bahasa, Dewan Rakyat,
Orang bincang lantang dan telus;
Kawan berkuasa, kawan riwayat,
Bagai pancang digoncang arus.

Sekan, terima kasih.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home