Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, December 02, 2008

Hanya sistem pendidikan yang diterima oleh rakyat semua kaum dapat dijayakan

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menegaskan bahawa hanya dengan diterima oleh semua kaum barulah satu sistem pendidikan boleh dilaksanakan di Malaysia.

Bila satu sistem pendidikan dengan Bahasa Malaysia (BM) sebagai bahasa perantaraan disyorkan oleh Jawatankuasa Barnes 1951 dan Penyata Razak 1956, ia tidak dapat diterima oleh semua kaum. Maka, sistem sekarang beransur timbul.


Dr Tan berada di dalam Dewan Rakyat pada 1 Disember, 2008 semasa Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir membangkit semula cadangan supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

Ini bermakna semua sekolah pelbagai jenis diserapkan di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan kecuali bagi subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

“Sudah tentunya murid-murid diwajibkan belajar bahasa ibunda mereka iaitu Mandarin bagi kaum Cina dan Tamil bagi kaum India.

“Malah di bawah sistem ini, pelajar Melayu diberi pilihan untuk mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil,” ujarnya.

Katanya, sistem pendidikan kebangsaan diamalkan di 99 peratus negara di seluruh dunia, dan pola sedunia itu seharusnya turut menjadi amalan di Malaysia.

Muhkriz bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno. Menjelang pemilihan Pemuda Umno pada Mac 2009, beliau membangkitkan perkara ini.

Kita mestilah melihat sejarah Malaysia dan perasaan semua kaum. Jika syor tersebut tidak dapat diterima oleh bukan Melayu, maka ia tidak dapat dijayakan.

Di dalam sistem sekarang, semua sekolah ikut syllabus, sukatan pelajaran, kebangsaan, dan peperiksaan kebangsaan. Bilangan orang Malaysia yang fasih dan mahir dalam BM telah bertambah. Ini dibanyangkan di Dewan Rakyat. Sekiranya terdapat guru-guru bahasa yang yang pandai di semua sekolah, lebih ramai lagi pelajar akan menguasai BM.

Banyak faktor yang memyebabkan perpaduan negara dan integrasi kaum, termasuk dasar persamaan. Siapa yang menekankan perpaduan melalui satu bahasa dan satu sistem, cuba menengok keadaan di sekolah kebangsaan yang juga mempunyai pelajar bukan Melayu. Bila seorang pelajar bukan Melayu memperolehi 7 A dalam peperiksaan tidak dapat biasiswa walhal seorang pelajar Melayu dengan 2A boleh mendapat biasiswa dan dilayan dengan lebih baik, bagaimana perpaduan diwujudkan?

Jurang di antara kaum harus sentiasa dikurangkan, tetapi ia tidak bererti kita sanggup mewujudkan perasaan tersinggung yang menjadi satu faktor yang menjejaskan perpaduan.

Muhkriz menyebutkan banyak negara mempunyai satu sistem pendidikan. Ini tidak semestinya membawa perpaduan. Indonesia, Thailand dan Myanma mempunyai satu sistem pendidikan, apakah terjadi dengan perpaduan di negara-negara ini?


Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home