Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, July 04, 2007

Umumkan isi kandungan perjanjian di antara kerajaan dengan Alam Flora

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan mengumumkan isi kandungan perjanjian di antara Kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi Alam Flora, Southern Waste dan E-Idaman.

Kini, setelah sembilan tahun, syarikat-syarikat konsesi gagal untuk menguruskan sisa pepejal. Kerajaan Persekutuan mengambil alih dengan gran pelancaran RM 1 bilion termasuk pertolongan kepada pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dr Tan mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007. Masa telah dihadkan kepada lima minit kerana YB Menteri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mahu menggulung perbahasan ini.

Setelah memeterai perjanjian dengan Kerajaan, Alam Flora bermula operasi pada Januari, 1997. Southern Waste juga berbuat demikian sebelum memulakan kerja pemungutan sisa pepejal. Selepas sembilan tahun, kononnya PBT hutang kepada syarikat-syarikat konsesi sebanyak RM 120 juta. Syarikat-syarikat konsesi sukar untuk mendapat pinjaman dari bank bagi pengurusannya.

Pada 27 Jun, 2007, YB Menteri telah memberi taklimat kepada segolongan ahli parlimen mengenai rang undang-undang tersebut. Ini adalah baik. Kita mengadakan sediki penyelidikan mengenai masalah sisa pepejal.

Lebih satu dekad dahulu, rakyat mengalami kepahitan dengan syarikat konsesi pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) yang ketika itu kurang mempertimbangkan perasaan rakyat. Mereka mempunyai kebimbangan terhadap pemgambilalihan Kerajaan Persekutuan hak pengurusan sisa pepejal dan syarikat-syarikat tersebut kekal memainkan peranannya.

Pada Ogos, 2005, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggubalkan Pelan Strategik Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan. Pakar Jepun membuat kajian. Setelah pelan strategik dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-9, 2006--2010, Kerajaan Persekutuan hendak mengambil alih kuasa pengurusan sisa pepejal.

Kalau Kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi mengambil masa yang begitu panjang untuk mencari cara penyelesaian, ahli-ahli parlimen juga memerlukan masa untuk membincang isu ini. Oleh itu, kita mencadangkan supaya rang undang-undang ini dirujukkan kepada Jawatankuasa Pilihan untuk pertimbangan lanjutan.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home