Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Friday, June 08, 2007

Perlindung tebing semua sungai di Kuala Lumpur termasuk Sungai Keroh, Kepong, 8.6.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengukuhkan tebing Sungai Keroh dan lain-lain sungai di Kuala Lumpur (KL).

Sepatutnya, tebing semua sungai di negara terutamanya yang melalui bandar haruslah diperkukuhkan.

Jika pengalaman JPS Pulau Pinang mengenai cerucuk polyvinyl chloride (PVC) dapat dipercayai, maka cerucuk yang selaras dengan alam sekitar itu boleh digunakan untuk seluruh negara.

Dr Tan membuat syor ini ketika melawat tebing Sungai Keroh pada 8 Jun, 2007.

Pada 5 Jun, 2007, tebing sungai telah runtuh di jambatan kecil Taman Emas, belakang Jaya Jusco dan Metro Prima. Saya memberitahu kejadian ini Jabatan Pengairan dan Pengurusan Sungai (JPPS) serta JPS Wilayah Persekutuan. JPPS mula memperbaiki tebing itu dengan segera; ia menggunakan gabion--batu granit dalam sangkar besi baja--untuk menutupkan tempat runtuh secara sementara. Ini boleh mengelakkan tebing itu menjadi lebih teruk. JPPS menyelenggarakan sungai, walhal JPS merancang dan melaksanakan projek sungai.

Sg Keroh mengalir ke Sg Batu yang menghubung dengan Sg Klang. JPS telah menggunakan pengalas konkrit untuk sebahagian Sg Keroh, tetapi ada bahagian yang belum diperlindungkan. Bila hujan lebat, tebing boleh runtuh.

Penggunaan pengalas konkrit adalah tidak cocok dengan konsep pemeliharaan alam sekitar. JPS cuba menggunakan cerucuk PVC di Pulau Pianang. Universiti Malaya sedang mengkaji cerucuk ini. Difahamkan inovasi ini telah memenangi pingat emas antarabangsa.

Setelah JPPS siap memperbaiki keruntuhan tebing Sg Keroh dengan cerucuk besi baja dan gabion, JPS mestilah mempertimbangkan cerucuk PVC bukan sahaja untuk Sg Keroh dan lain-lain sungai di KL, bahkan juga sungai di seluruh negara.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home