Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Sunday, June 17, 2007

Kaji mekanisme lantik kontraktor & pantau projek termasuk DBKL

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menganjurkan supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula mekanisme melantik kontraktor dan memantaukan projek, agar kualiti semua projek boleh mencapai tahap tinggi.

Sebenarnya, 143 pihak berkuasa tempatan (PBT) lain mestilah berbuat demikian untuk memastikan tidak ada pembaziran wang rakyat. Budaya sengaja membazir tidak sepatutnya wujud.

Sementara itu, DBKL haruslah memperbaiki segala projek yang tidak bermutu, seperti laluan pejalan kaki dengan jubin yang terurai di tepi jejambat Taman Kepong. Laluan berjubin yang cantik ini telah siap dibina pada April, 2006. Kini, dengan jubin berselerak, ia telah mejejaskan pejalan kaki, khasnya orang yang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi beroda.

Dr Tan melawat laluan rosak itu pada 17 Jun, 2007. Ada projek kerajaan yang boleh diterima. Tetapi ada juga yang tidak bermutu.

Setiap tahun, Kerajaan membelanjakan berpuluh bilion ringgit untuk pelbagai projek. Misalnya, sejak banjir besar di KL 1971, Kerajaan sudah memperuntukkan lebih RM6.2 bilion bagi kerja tebatan banjir. Namun, banjir kilat berlaku. Contohnya, pada 2003 dan 10 Jun, 2007, banjir teruk melanda KL termasuk tempat letak kereta di Dataran Merdeka dan Masjid Jamek yang terdekat dengan ibu pejabat DBKL.

Sesetengah projek kerajaan menimbulkan masalah kerana pelbagai faktor. Kebocoran Jabatan Imigresen dan Kementerian Usahawan dan Koperasi di Putrajaya, serta bangunan Parlimen dan Kompleks Mahkamah di KL membingungkan. Banjir berlaku di atas beberapa sebab seumpama tabiat membuang sampah dan kerja tebatan yang kurang sempurna. Jabatan Pengairan dan Pengurusan Sungai (JPPS) menyelenggarakan sungai di KL dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merancang dan melaksanakan projek sungai. Kalau ada keruntuhan tebing sungai seumpama di jambatan kecil Taman Emas, belakang Pekan Kepong, JPPS menggunakan gabion (batu granit di dalam sangkar besi) untuk mempertahankan tebing secara sementara sahaja.

DBKL mempersediakan beratus juta ringgit bagi projek-projek. Tetapi, terdapat kelemahan dalam cara untuk melantik kontraktor dan mengawal projek, sehingga mendatangkan masalah.

Empat belas bulan yang lepas, DBKL menyiapkan laluan berjubin indah untuk pejalan kaki di beberapa tempat di Kepong Baru dan Taman Kepong. Usaha ini adalah baik. Di beberapa tempat semacam laluan pejalan kaki di tepi jejambat Taman Kepong, jubin telah terurai di sebilangan bahagian. Ini telah menyusahkan pejalan kaki terutamanya OKU dalam kerusi beroda.

Jejambat tersebut yang menelan belanja lebih RM10 juta itu mempunyai laluan pejalan kaki juga. Tetapi, laluan ini bukan untuk OKU. Kita berpendapat bahawa Kerajaan bukan sahaja terpaksa mengemukan kepada Dewan Rakyat laporan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji kecacatan bangunan kerajaan seperti di Putrajaya dan KL, malahan ia mestilah mengkaji semula mekanisme perlantikan kontraktor and pemantauan projek di 144 PBT, termasuk DBKL. Kerja untuk memperbaiki laluan rosak tersebut dan menyesuaikan kemudahan untuk OKU haruslah dilaksanakan cocok dengan matlamat Pelan Induk KL (KL20).

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home