Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Sunday, April 15, 2007

Kaji bilangan hari cuti dan daya saingan,15.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengesyorkan supaya Kerajaan mengkaji secara menyeluruh bilangan hari cuti yang dinikmati oleh 1.2 juta kakitangan kerajaan, lalu menetapkan bilangan hari cuti yang dapat membolehkan para pekerja awam bersaing dengan dunia, selaras dengan matlamat kebersihan dan keberkesanan dalam pentadbiran.

Dr Tan sering mengambil perhatian terhadap kecutian kakitangan awam. Pada 15 April, 2007, beliau menekankan bahawa para pekerja awam mestilah bersih dan cekap.

Selama ini, anggapan kita ialah Malaysia mempunyai bilangan hari cuti yang banyak. Setiap tahun, para pekerja awam boleh menikmati 126 hari cuti, yakni 97 hari cuti mingguan, 14 hari kelepasan am dan 15 hari cuti tahunan. Adakah hari cuti yang merupakan hak keistimewaan?

Laporan akhbar mencatatkan Profesor Madja Abdul Rahim sebagai mengatakan bahawa Singapura dengan 11 hari kelepasan am memperolehi pendapatan perkapita US$28,000, manakala Malaysia dengan 14 hari kelepasan am mempunyai pendapatan perkapita US$5,000. Adakah perbandingan ini adil?

Negara-negara lain di dunia menetapkan hari kelepasan am sebanyak 7 hingga 22 hari setahun: Vietnam 7, U.K. 9, Amerika Syarikat 10, Jepun 19 dan Taiwan 22.

Setiausaha Agung Cuepacs Ahmad Shah berpendapat bahawa kakitangan awam menikmati hari cuti yang terlalu banyak; cuti mereka bukan hak keistimewaan.

Kerajaan haruslah mengkaji secara mendalam bilangan hari cuti kakitangan awam daripada pelbagai segi, misalnya pendapatan perkapita, kecekapan dan daya saingan. Kemudian, ia patut mengadakan bilangan hari cuti yang selari dengan zaman moden.

Rehat dan cuti adalah perlu bagi setiap orang. Tetapi, kita hendak mengetahui kapasiti kerja orang biasa di Malaysia dan bilangan hari cuti yang cocok dengan permintaan sekarang. Kita akan mengemukakan darihal bilangan hari cuti, kecekapan dan daya saingan di Dewan Rakyat.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home