Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Thursday, April 05, 2007

Cepatkan kerja memindakan skim perkhidmatan polis, 5.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw berpendapat bahawa Kerajaan haruslah mempercepatkan kerja meminda skim perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk penstrukturan semula pangkat, penggredan perjawatan, gaji dan cadangan emolumen baru PDRM.

Pindaan yang disyorkan itu adalah berkaitan dengan laporan tahun lepas Suruhanjaya Diraja untuk Menambahbaikkan Perjalanan dan Pengurusan Pasukan Diraja Malaysia (PDRM). Misalnya, cadangan-cadangan nombor 89 hingga 93 dari 125 cadangan laporan itu adalah untuk menyesuaikan skim perkhidmatan PDRM. Kita mahu polis bersih, cekap dan beramanah. Kita hendaklah memberi gaji yang berpatutan.

Dr Tan membandingkan perkembangan pelaksanaan 125 cadangan Suruhanjaya Diraja tersebut di antara Ogos 2006 dan April, 2007.

Pada 30 Ogos, 2006, Kementerian Keselamatan Dalam Negara mengatakan bahawa 101 atau 81% dari 125 cadangan laporan itu telah dan sedang dilaksanakan, 18 atau 14% sedang dikaji dan 6 atau 5% tidak akan dilaksanakan. Pada 29 Mac, 2007, kementerian itu mengesahkan 102 atau 82% telah dan akan diimplementasikan walhal 23 atau 18% sedang dikajikan. Dalam tempoh lebih enam bulan, pelaksanaannya hanya bertambah 1% sahaja. Kita berharap kementerian dapat mempertingkatkan kapasiti pelaksanaannya.

Hari ini, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negara YB Dato' Mohd Johari menekankan bahawa Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menyemakkan gaji PDRM dan cadangan Suruhanjaya Bebas untuk Aduan dan Salah Laku terhadap Polis (IPCMC) akan dibentangkan tidak lama lagi.

PDRM menentang penubuhan IPCMC. Salah satu sebab penentangan ini ialah ia dianggap khasnya menyasarkan PDRM, tetapi jabatan-jabatan yang lain dibiarkan begitu sahaja. Negara-negara lain seumpama Australia dan England mempunyai suruhanjaya seperti ini selain daripada Ombudsman untuk semua jabatan kerajaan.

Jenayah semacam ragut, perompakan dan pembunuhan adalah berleluasa di segala lapisan masyarakat. Orang pelbagai latar belakang, termasuk ahli parlimen dan menteri, berasa sangat tidak puas hati. Kita terpaksa memperbaiki perkhidmatan dan gaji polis. Kita mahu mempertingkatkan kerjasama antara rakyat dengan polis.

Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Keselamatan Dalam Negara mestilah mempercepatkan kerja meminda skim perkhidmatan, penstrukturan semula pangkat, penggredan perjawatan, gaji dan cadangan emolumen baru PDRM.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home