Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Thursday, April 05, 2007

Projek lencongan Sg Gombak menjadi iktibar,6.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyarankan agar Projek Lencongan Sungai Gombak dijadikan satu iktibar untuk mengelakkan lanjutan masa dan pertambahan kos bagi sesuatu projek.

Dr Tan mengulas permasalahan projek tersebut setelah menyertai lawatan kerja Jawatankuasa Kira-Kira Wang Parlimen ke tapak projek itu di Kampung Cangkat Gombak, Selangor, sempadan Kuala Lumpur (KL) pada pagi 5 April, 2007.

Sungai Klang, Sungai Batu dan Sungai Gombak dari Selangor merupakan sungai-sungai yang utama di KL. Ia menimbulkan banjir yang terbesar di sejarah KL pada 1971. Rancangan Tebatan Banjir KL (RTB KL) bermula pada tahun kemudian. Projek-projek Empangan Klang Gates dan Empangan Batu telah disiapkan pada 1980 dan 1987 masing-masing. Pada 1984, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) merancangkan Projek Empangan Gombak. Ia dibatalkan kerana sebab-musabab semacam bantahan para penduduk. Pada 1989 JPS merancangkan Projek Lencongan Sungai Gombak sebagai alternatif. Air hujan lebat dari Sg Gombak dilencongkan dari Kg Cangkat sepanjang 3.3 km kepada kolam Batu yang diperbesarkan.

Kontraktor yang pertama telah dilantikkan untuk projek lencongan tersebut pada 10 Mac, 1994 dan ditetapkan siap pada 31 Julai, 2003 dengan kos RM 17,216,000. JPS telah mengadakan banyak dialog dengan para penduduk kerana pelbagai faktor, contohnya pemindahan rumah, setinggan, jajaran lencongan, kilang-kilang, bayaran pampasan, kerja tambahan, dan kerosakan rumah-rumah ketika pembinaan.

Dari 10 Mac, 1996 hingga 31 Julai, 2003, lanjutan masa untuk projek tersebut adalah 7 kali. Kos projek ditambah kepada kira-kira RM20 juta. Projek ini dikaji semula akibat banjir teruk di KL pada 21 April, 2001, 29 Oktober, 2001 dan 2003.

Laporan ADB 2001 mengenai kajian semula RTB KL mewujudkan Projek Hujan Lebat dan Terowong Jalan (SMART) untuk Sungai Klang dan Projek Kolam-Kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang termasuk memperlebarkan lencongan Sg Gombak untuk Sg Gombak, Sg Batu, Sg Jinjang dan Sg Keroh..

Kontraktor kedua, Peremba ECD Constrution Sdn Bhd telah dilantik untuk Lencongan Sg Gombak. Kontraktor ini juga memperluaskan kolam-kolam di Jinjang dan membina parit dan saluran bawah tanah untuk membawa air dari Sg Keroh, Sg Jinjang dan Sg Batu kepada kolam-kolam tersebut. Ia dipanggil Projek Kolam-Kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang. Kosnya adalah lebih RM 800 juta. Tempoh kontrak adalah dari 25 Ogos, 2003 hingga 24 Mei 2007 dan setakat ini dilanjutkan kepada 27 Disember, 2007.

Permasalahannya meliputi pengambilan tanah RM 88 juta, kerja memindahkan kabel telekom dan elektrik serta paip bekalan air, sesetengah penduduk mengambil kesempatan, subkontraktor tidak dibayar oleh kontraktor dan lebih satu km Sg Gombak ditutupkan dengan konkrit untuk jalan.

Lencongan Sg Gombak merupakan satu iktibar bagi mengelakkan kelewatan dan kos yang lebih. Selain daripada kebimbangan tentang penyalahgunaan wang rakyat untuk tebatan banjir di sungai, kita menumpukan perhatian kepada Dewan Bandaraya KL untuk menyenggara semua longkang dan parit. Rakyat mestilah menjaga longkang, parit dan sungai.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home