Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, April 23, 2007

Bersihkan parit & siapkan Projek Tebatan Banjir Jinjang. 23.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesakkan supaya Kerajaan cepat menyiapkan Projek Kolam-Kolam Banjir di Jinjang tanpa menjejaskan kualiti kerja serta membersihkan parit-parit di sekitarnya, untuk menyelesaikan banjir kilat dan kesesakan lalulintas.

Dr Tan membuat desakan ini pada 22 April, 2007, mengenai kesesakan trafik di Jalan Kepong bahagian Jinjang dan banjir kilat di Taman Jinjang Baru.

Kuala Lumpur mempunyai projek tebatan banjir dua pakej, Projek Terowong Bistari dan Projek Kolam-Kolam Banjir Batu dan Jinjang. Projek Terowong Bistari menelan belanja RM 2.167 bilion dan tarikh siap ditunda kepada 30 Jun, 2007. Projek Kolam-Kolam Banjir Batu dan Jinjang memerlukan belanja RM 805 juta dan kerjanya lewat 7 bulan. Ia dijangkakan siap pada 27 Disember, 2007.

Kita tidak mengetahui sama ada kedua pakej itu dapat mengatasi banjir di KL. Jabatan Parit dan Saliran (JPS) berpendapat bahawa ia boleh mengelakkan banjir seperti banjir besar 1971. Banjir luar biasa ini dikatakan berlaku seratus tahun sekali. Ada yang tidak percaya bahawa projek tersebut boleh mencegah banjir besar.

Jalan Kepong bahagian Jinjang adalah terlibat dengan Projek Kolam-Kolam
Banjir. Terdapat kelencongan jalan yang mengakibatkan kesesakan lalulintas dan masalah parit-parit di sekitarnya yang menyebabkan banjir kilat di Taman Jinjang Baru.

JPS haruslah menyiapkan Projek Kolam-Kolam Banjir dengan lebih cepat tanpa mengorbankan kualitinya, dan menyelesaikan masalah di antara kontraktor dengan subkontraktor. Sementara itu, Dewan Bandaraya KL patutlah menyiasat keadaan parit di sekitar projek tersebut untuk mendapat tahu punca banjir kilat, lalu menyelesaikannya.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home