Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, April 03, 2007

Siapkan Projek Kolam2 Takungan Banjir Batu dan Jinjang (Pakej II), 3.4.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesak Kerajaan supaya menyiapkan Projek Tebatan Banjir Kuala Lumpur dalam masa yang ditetapkan dengan seboleh-bolehnya, serta memastikan keselamatan orang ramai ketika projek dilaksanakan.

Projek Tebatan Banjir KL Pakej II--Projek Kolam-Kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang--bukan sahaja lewat, bahkan juga menyebabkan jalan runtuh.

Setelah melawat dan memperhatikan keruntuhan jalan di Jalan Kepong bahagian Jinjang di mana kerja Pakej II sedang dilaksanakan, Dr Tan mengeluarkan kenyataan ini.

Banjir berlaku kerana pelbagai faktor, termasuk yang buatan manusia, yakni, pembangunan tanpa kawalan. Pada 1971, banjir besar melanda KL. Banjir masih timbul dari semasa ke semasa di Wilayah Persekutuan ini. Pada 2006, bah besar menimpakan Johor. Oleh itu, projek-projek tebatan banjir adalah perlu. Yang terpenting sekali, ianya dijalankan dengan berkesan.

Projek Tebatan Banjir KL adalah terdiri daripada dua pakej, iaitu, Projek Stormwater Management and Road Tunnel (SMART) dan Pakej II, yakni, Projek Kolam-Kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang. Ini melibatkan empat kolam besar atau tasik-tasik di Sri Segambut, Sri Delima, Taman Wahyu dan Taman Nanyang di Jinjang. Air hujan yang lebih akan disalurkan melalui parit dan paip bawah tanah kepada kolam-kolam tersebut.

Sebahagian Projek Pakej II mengenakan Jalan Kepong bahagian Jinjang. Lencongan jalan telah diadakan. Pada tempoh hari, bahagian ini telah dilanda masalah subkontraktor dan jalan runtuh. Sambil menghadapi kelewatan projek dan ketidakselesaan, para pengguna jalan bimbang dengan bahagian yang lebih rendah dari paras permukaan.

Projek Pakej II telah ditetapkan siap pada awal tahun ini, tetapi ditunda kepada akhir tahun ini. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mestilah mengawal projek dengan efektif, serta menentukan jalan yang terjatuh dari paras permukaan tidak berbahaya bagi kenderaan.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home