Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, September 21, 2010

Kepimpinan melalui teladan sebahagian Rukun Negara

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan Pusat menunjukkan kepimpinan melalui teladan sebagai sebahagian daripada kempen untuk mengajar prinsip-prinsip Rukun Negara.

Pada 21.9.2010 Dr Tan tertarik dengan pengumuman Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim pada hari sebelumnya mengenai kempen untuk menyebarkan nilai-nilai Rukun Negara: Kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan.

Adalah perlu untuk menyemaikan nilai-nilai sejagat mulai dari rumah dan sekolah. Datuk Seri Rais mempercayai bahawa orang Malaysia di antara umur 20 hingga 40 tahun kurang faham tentang prinsip-prinsip Rukun Negara. Maka beliau hendak melancarkan kempen besar-besaran untuk menyebarkan prinsip-prinsip itu. Kami berharap beliau akan menggunakan wang awam dengan baik di dalam kempennya.

Satu faktor yang penting ialah kepimpinan melalui teladan di semua bidang. Misalnya, di dalam ekonomi, berita-berita seumpama skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang, pengurusan dengan perbelanjaan besar Sime Darby, Khazanah dan Pos Malaysia menarikkan perhatian orang ramai yang mengesyaki kekurangan nilai-nilainya.

Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengulangi keperluan untuk perpaduan nasional dan penegakan integriti. Beliau mestilah memimpin melalui teladan dengan menonjolkan kesediaannya untuk membuat keputusan yang penting dan bertindak untuk kepentingan integriti dan perpaduan tanpa mengira agama, kaum dan parti.

Kami berharap YB Rais boleh memasukkan kepimpinan melalui teladan di dalam kempen Rukun Negaranya. Ini akan menunjukkan beliau adalah serius.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home