Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, December 30, 2009

Pengerusi SPR perlu timbang semula syor bagi penamaan calon tiga hari

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw minta Pengerusi Suruhanjya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof supaya mempertimbangkan semula kewajaran syornya bagi tempoh bertenang selama 24 jam dan proses penamaan calon selama tiga hari untuk pencalonan.

Menurut Tan Sri Abdul Aziz syor-syor untuk meminda Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 adalah bagi mengelakkan kekecohan dan keganasan dari penyokong-penyokong parti bertanding.

Pada 30 Disember, 2009 Dr Tan membuat ulasan terhadap cadangan tersebut oleh Pengerusi SPR yang akan membentangkan pindaan itu di Parlimen pada tahun depan.

Mengikut laporan media, tempoh bertenang akan bermula sehari sebelum hari pembuangan undi berbanding bermula pada pukul 12 tengah malam sebelum hari pengundian sekarang ini.

Jika cadangan itu diluluskan, maka mereka yang melanggarnya boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak lebih setahun.

Walaupun Tan Sri Abdul Aziz menumpukan perhatian kepada kelakuan para penyokong parti bertanding, beliau patut mengkaji suasana politik pada keseluruhannya termasuk peranan semua pihak seperti polis untuk mengawal keadaannya.

Demokrasi berparlimen bererti semua pihak menggunakan cara aman dan mematuhi kepada undang-undang. Pihak polis mestilah menunjukkan bahawa ia benar-benar tidak memihak kepada sesiapapun. Dengan keadaan politik yang semakin hari semakin berubah dan pendidikan yang sesuai, maka lama kelamaan suasana baik untuk pencalonan dan pembuangkan undi akan wujud.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home