Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Monday, June 01, 2009

Memperbaiki sistem pengambilan pelajar di universiti serta memastikan keadilannya.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin memperelokkan sistem pengambilan pelajar-pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk saluran Internet serta memastikan keadilan dan kesaksamaan di semua peringkat.

Kerja ini perlu kerjasama semua pihak, kurang tambah-menambah, senteng bilai-membilai.

Saya menekankan bahawa bilangan pemohon adalah ramai, tetapi tempat di universiti terhad. Misalnya di Universiti Sains Malaysia (USM), terdapat 3,599 tempat walhal ada 22,000 pemohon. Malangnya, di dalam Internet, USM menyenaraikan nama semua pelajar yang layak iaitu 8,173 calon sedangkan jumlah yang dapat tempat adalah 3,599 sahaja. Kesilapan ini menyinggungkan 4,574 pelajar yang memenuhi kriteria universiti, tetapi tidak berjaya.

Semalam Khaled berjanji bahawa 4,574 pelajar ini akan dimasukkan ke IPTA yang lain.
Beliau menyifatkan bahawa sebagai satu-satunya univerisiti Apex (unggul), USM malakukan kesilapan ini. Beliau meminta maaf kepada para pelajar yang terjejas dan ibubapa mereka.

Kita berharap menteri itu boleh menyiasat hal ini dengan secepat mungkin. Khabarnya pada 1.6.2009, satu jawatankuasa siasatan bebas telah ditubuhkan untuk berbuat demikian.

IPTA yang lain seperti Univeristi Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai kaedah pengambilan pelajar tersendiri. Kadangkala, ada pemohon yang tidak berjaya merungut bahawa sistem pengambilan itu tidak adil, terutamanya dalam khusus yang diminati seumpama perubatan, kejuruteraan dan pengurusan. Setakat ini, mereka belum membuat kesilapan seperti USM.

Saya akan membangkitkan perkara sistem pengambilan pelajar di IPTA di Dewan Rakyat. Saya berharap semua IPTA bukan sahaja memperolehi sistem yang sempurna bahkan juga menunjukkan kaedah adil dan saksama. Walaupun para pemohon adalah ramai untuk tempat di IPTA yang terhad, sekurang-kurangnya IPTA memaparkan sifat yang adil.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home