Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Thursday, June 25, 2009

Suruhanjaya integriti mestilah benar-benar bebas

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan SengGiaw mengesyorkan supaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan haruslah benar-benar bebas, tidak dipengaruhi oleh sesiapapun.

Pada 25.6.2009 Dr Tan mengambil bahagian di dalam perbahasan Rang Undang-Undang Surhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 yang dibentangkan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Nasri Aziz.

Ketika Suruhanjaya Polis Diraja diumumkan lebih lima tahun yang lalu, IPCMC (Independent Police Complaints and Misconduct Commission) dicadangkan. Saya membangkitkan darihal ini di dalam Dewan berulang kali. Tetapi, pihak polis tidak bersedia menerima sebuah suruhanjaya hanya bagi polis untuk menerima aduan salah laku daripada orang ramai kerana salah laku boleh timbul bukan sahaja di kalangan polis bahkan di kalangan agensi yang lain seperti kastam. Tumpuan hanya kepada polis adalah tidak munasabah.

YB Menteri mengatakan rang undang-undang ini mengambil ikhtibar dari undang-undang yang serupa di New South Wales (NSW) dan United Kingdom(UK). Beliau menganggap undang-undang di NSW adalah berkesan.

Suruhanjaya untuk polis semata-mata

Suruhanjaya Polis Diraja mencadangkan ditubuhnya IPCMC hanya bagi polis. Ini adalah ombudsman. Sekarang, Dewan ini mendebatkan Suruhanjaya Integriti untuk 21 agensi selain pasukan polis.Walaupun ia adalah ke arah yang betul, saya berpendapat bahawa ia tidak akan dikuatkuasakan dengan berkesan. Sekiranya Kerajaan mendapati bahawa Suruhanjaya Integriti tidak efektif pada masa hadapan kelak, ia perlu mengadakan Suruhanjaya seperti IPCMC.

Kini, terdapat 100,000 anggota polis dan kita berharap bilangannya akan meningkat kepada 150.000 tidak lama lagi seumpama yang diputuskan oleh Kabinet. Kita hendak Suruhanjaya semata-mata untuk menangani aduan salah laku terhadap polis.

Di Australia dan UK, mereka pernah menubuhkan ombudsman bagi pelbagai jabatan kerajaan. Tetapi, ia tidak berkesan. Maka, mereka mengadakan ombudsman hanya untuk polis.
Suruhanjaya bebas

Saya mengesyorkan supaya Suruhanjaya tidak diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negara atau Jabatan Perdana Menteri. Imejnya tidak baik. Misalnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri. Banyak orang menganggap ia dipengaruhi oleh Kerajaan. Setakat ini, ramai yang mempunyai persepsi bahawa SPRM adalah berat sebelah.

Keanggotaan yang benar-benar layak

Perlantikan Ketua Pengarah mestilah benar-benar berdasarkan kelayakan dan bebas dari pengaruh politik. Bilangan kakitangan selain dari pesuruhjaya haruslah mencukupi. SPRM memerlukan lebih 2,000 kakitangan semua peringkat. Ia cuma mengisikan 80% sahaja. YB Menteri mestilah mengumumkan bilangan kakitangan yang diperlukan oleh Suruhanjaya Integriti serta tempatnya.

Pertindihan peruntukan SPRM dan Suruhanjaya Integriti mestilah dielakkan.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home