Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Sunday, January 14, 2007

Siapkan Pakej I & II Projek Tebatan Banjir KL, 14.1.2007.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Kerajaan cepat menyiapkan Pakej I dan II Projek Tebatan Banjir Kuala Lumpur serta memastikan kedua-dua pakej ini dapat mengatasi banjir di KL.

Dr Tan menyahut aduan orang ramai mengenai kelewatan dua pakej tebatan banjir di KL pada 14 Januari, 2007. Pakej I ialah mengalihkan air dari Sungai Klang melalui Terowong Bistari. Pakej II adalah menyimpan air dari Sungai-Sungai Gombak, Batu, Jinjang dan Keroh, Kepong, di tiga tasik besar di Jinjang Utara menerusi parit bawah tanah.

Semalam Menteri Wilayah Persekutuan (WP) Datuk Zulhasnan Rafique menyatakan bahawa bilik gerakan adalah bersiap sedia untuk menghadapi banjir di KL dan Labuan. Kami berharap tidak ada banjir di WP. Jika berlaku, bilik ini mestilah benar-benar berkesan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia sedang melaksanakan dua pakej projek tebatan banjir di KL. Pakej I bermula pada 2003 dan dijangkakan siap pada Disember, 2006, tetapi ditunda kepada Jun, 2007. Sementara, Pakej II lewat dimulakan pada Ogos, 2005 dan dijangka siap pada awal 2007; kini dijangka siap mungkin pada hujung 2007.

Kerja untuk projek tersebut menyebabkan kesesakan lalulintas dan menjejaskan perniagaan. Kelewatannya menambah kesengsaraan. Misalnya, kerja Pakej II di Jalan Kepong Bahagian Jinjang menjejaskan para penduduk, para pemandu dan para peniaga.

Ada orang termasuk Ketua Pengarah JPS Datuk Keizrul berpendapat bahawa terowong bistara tidak akan menyelesaikan masalah banjir di KL. Faktor-faktor seperti rangkaian parit dan longkang haruslah diselenggara dengan baik. Kerajaan dan rakyat patut berusaha memastikan sampah tidak dibuangkan di dalam parit dan sungai.

Kos kedua pakej tersebut menarik perhatian. Media memaparkan perbelanjaan RM2.1 bilion untuk Pakej I dan RM500 juta atau RM800 juta bagi Pakej II dengan jumlah RM2.6 bilion atau RM2.9 bilion.

Kerajaan patutlah telus dan akauntabel. Ia hendaklah mengumumkan kos yang sebenarnya untuk kedua pakej tersebut yang dinilaikan oleh pertubuhan profesional antarabangsa. Satu penilaian menetapkan kos terowong bistari tidak lebih dari RM1 bilion. Jika pemegang konsesi mendapat RM1.3 bilion, ia beruntung lebih dari RM200 juta. Kalau ia memperolehi R M2.1 bilion, keuntungannya adalah kira-kira RM1 bilion, hampir 100%.

Kami faham bahawa perbelanjaan untuk projek tebatan banjir adalah mahal. Bila siap, projek itu tidak semestinya berjaya bagi mengatasi banjir. Bagaimanapun, ini tidak bererti kita boleh membazirkan wang rakyat.

Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home