Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Wednesday, March 31, 2010

Tubuhkan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak

Timbalan Pengerusi Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mendesakkan supaya Kerajaan Pusat dan semua Kerajaan Negeri mempertingkatkan usaha seperti penubuhan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Program-Program Pendidikan untuk menangani permasalahan penderaan, pembunuhan dan pembuangan kanak-kanak.

Pada 29 Mac, 2010, saya mengemukakan soalan mengenai penganiayaan bayi di negara kita dalam tempoh 10 tahun ini. Daripada 73 soalan untuk dijawab lisan, soalan saya terletak di nombor 60. Ini menunjukkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai keutamaan yang berlainan. Mungkin, lain kali kementerian akan meminta agar soalan seumpama ini dijawab sebagai pertanyaan yang pertama.

Menurut angka Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kanak-kanak termasuk bayi yang telah didera bagi tempoh 10 tahun bermula 2000 hingga 2009 adalah 15,968 orang. Dalam tempoh yang sama, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mencatatkan kes buang bayi sebanyak 815 kes, 382 orang bayi masih hidup dan 433 pula telah mati.

Minggu lepas, media melaporkan seorang bayi di Petaling Jaya Selatan dijumpa mati dan digonggong oleh anjing.

Masyarakat kita perlu mencari jalan untuk menangani kemelut ini dengan berkesan termasuk menyedari sebab-musabab ianya berlaku. JKM menyebut pelbagai faktor berlakunya penderaan terhadap kanak-kanak dan bayi meliputi tekanan di tempat kerja, tabiat kanak-kanak dan bayi kecil yang suka merengek, kanak-kanak dan bayi yang terlalu aktif, masalah kewangan, krisis rumah tangga dan kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa.

Faktor-faktor pembunuhan dan pembuangan bayi adalah termasuk wanita hamil luar nikah dan kekurangan sokongan keluarga serta kekurangan pendidikan nilai-nilai hidup.

Selain dari penggubalan undang-undang seperti Dasar Kanak-Kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak, langkah-langkah berkesan termasuk penubuhan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan pendidikan nilai-nilai hidup mestilah dipertingkatkan.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home