Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Tuesday, March 23, 2010

Isi kandungan sekolah berprestasi tinggi adalah penting

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw menyeru supaya Menteri Pelajaran Tan Seri Muhyiddin Yassin menerangkan isi kandungan atau prestasi yang menyeluruh sekolah-sekolah berprestasi tinggi.

Kita mestilah berusaha untuk mengelakkan prestasi hanya pada peringkat zahir sahaja untuk publisiti. Tetapi, kita hendak menyaksikan prestasi keseluruhan yang sebenarnya.

Pada 23.3.2010, Dr Tan mengulas jawapan Tan Sri Muhyiddin yang merangkap Timbalan Perdana Menteri ketika sesi soal-jawab di dalam Dewan. Beliau menjawab soalan YB Parit Sulong Dato' Noraini bt Ahmad tentang langkah-langkah dan strategi untuk mencapai sasaran mewujudkan 100 buah sekolah berprestasi tinggi menjelang tahun 2012.

Menurut Menteri Pelajaran dengan tafsiran berdasarkan pelbagai kriteria, 20 buah sekolah telah dipilih sebagai sekolah berprestasi tinggi pada 2010. Sasarannya ialah pada 2011, 30 buah dan 2012, 50 buah.

Sementara itu 'tool kit' (kaedah) telah disediakan untuk memperbaiki standard di sekolah-sekolah yang lain termasuk di luar bandar dan pedalaman. Infrastruktur akan diperbaiki. Tan Sri Muhyiddin mestilah memberitahu rakyat bagaimana kaedah ini dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk mempertingkatkan sekolah-sekolah yang kurang prestasi.

Sekarang, terdapat 7,643 sekolah rendah dan 2,165 sekolah menengah di negara ini. Hanya 20 buah berprestasi tinggi. Perebutan untuk memasuki sekolah ternama ini memang hangat.

Pada zahirnya, sekolah berpretasi tinggi mendapat publisiti dan hadiah. Yang pentingnya ialah isi kandungannya seperti prestasi keseluruhannya di dalam sesebuah sekolah termasuk aspek-aspek yang tidak mewujudkan publisiti.

Terdapat juga program-program PERMATA untuk para pelajar yang cerdik pandai. Bagaimanakah PERMATA memainkan peranan di sekolah-sekolah berprestasi tinggi?

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home