Lihat isu dengan Tan Seng Giaw

Thursday, March 25, 2010

Teks ucapan spontan Dr Tan Seng Giaw di Dewan pada 23.3.2010.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Kepong.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tuan Yang di-Pertua, saya bangun untuk mengambil bahagian di dalam perbahasan ini dengan hati yang berat. Memang ada setengah-setengah Ahli di sini pun beri cadangan yang bernas seperti Yang Berhormat Ledang tadi. Walaupun masalah tropika dengan negara-negara sejuk ada berbeza, mungkin dia ada jawapan kelak. Walau bagaimana pun, cadangan untuk mengadakan undang-undang bagi mengawal penggunaan air bawah tanah adalah satu cadangan yang baik.

Angin berputar, ombak bersabung dan di sini saya hendak bangkitkan beberapa perkara untuk memberi cadangan yang bernas supaya negara kita menjadi lebih stabil, bermakna, makmur dan sebagainya.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Saya setuju. Kalau Yang Berhormat Kepong punya cadangan memang bernas. Saya sokong. [Ketawa]

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tuan Yang di-Pertua, di sini saya akan bangkitkan satu perkara iaitu mengenai istilah bumiputera. Memang ini timbulkan kontroversi. Satu isu yang akan wujud dari semasa ke semasa kerana dasar-dasar kerajaan termasuk dasar sebelum ini Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan istilah bumiputera sudah ditonjolkan. Sehingga sekarang 40 tahun kemudian kita nampak ada New Economic Model (NEM) atau Model Ekonomi Baru. Di situ pun ada segelintir orang yang masih mempertikaikan. Dia mahu kekalkan DEB dan saya nampak jawapan daripada Yang Berhormat Padang Rengas mengenai istilah bumiputera.

Memang dalam beberapa perkara Perlembagaan Persekutuan, ini termasuk Perkara 44, 160 dan 161 ada sebutkan status orang Melayu dan anak negeri tetapi tidak ada istilah bumiputera. Bumiputera istilahnya diwujudkan oleh pihak kerajaan terutamanya selepas tahun 1970 apabila Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan.

Di sini saya mencadangkan supaya kerajaan mengkaji dengan menyeluruh bagaimana di dalam keadaan sedemikian semua rakyat Malaysia boleh memainkan peranan yang bermakna. Ia tidak tersekat kepada istilah seumpama ini.

Ada nenek moyang penduduk Malaysia, 28 juta orang ini, yang datang ke negara ini beribu-ribu tahun lepas. Ada yang tiba beratus-ratus tahun dan ada juga berpuluh-puluh tahun tetapi digelar bumiputera juga. Seperti Orang Asli, anak Negeri di Sarawak, di Sabah. Maka beribu-ribu tahun.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ras-ras asli.

Dr. Tan Seng Giaw Kepong]: Ha... Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ras-ras asli.Dr.

Tan Seng Giaw Kepong]: Pra asli ya, pra asli.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ras-ras asli.

Dr. Tan Seng Giaw Kepong]: Lebih asli.

Ada kaum lain seperti orang Cina pun datang ke Gua Musang; ada bukti, relic (kesan sejarah lama) 500 (tahun) yg lampau, ya. Ini memang ada dan di sini saya percaya ada orang-orang yang datang ke sini sebelum penjajahan British.

Saya rujuk kepada satu buku penyelidikan dari Universiti Malaya. Di sini dicatatkan nenek moyang saya, menjadi kapitan di Kota Bharu 1823 sampai ke 1880. Jika kita kira tahun 1823 sebagai ukuran, kita dapati ada setengah-setengah yang digelar bumiputera termasuk ahli-ahli di dalam Dewan yang mulia ini, yang nenek moyangnya datang selepas tahun 1823.

Jadi, saya berharaplah pihak kerajaan dapat mengkaji termasuk peranakan di Melaka, di Pulau Pinang dan di negeri-negeri lain, Kedah pun ada yang lebih (lama) sebelum penjajahan British. Negeri yang terakhir yang dijajah oleh British itu, (adalah) Kuala Terengganu, pada 1873, yang terakhir sekali. Sebelum ini, sebelum (penjajah) datang ke Melaka ada pelbagai kaum yang datangnya lebih awal. Oleh sebab itulah kita tidak boleh sentiasa hendak mempertikaikan mengenai status, asal usul dan sebagainya. Cuma, satu perkara yang penting: kalau ada jurang sama ada jurang ekonomi, jurang di antara daerah, kita mesti merapatkan jurang, mengurangkan jurang ini tanpa mengira daerah, tanpa mengira kaum. Gender begitu juga. Jurang di antara gender juga mesti dirapatkan. Itu mesti dibuat tanpa mengira sesiapa.

Saya nampak itu dengan Dasar Ekonomi Baru, istilah ini (bumiputera) lebih menonjol kerana mereka diberikan keistimewaan di beberapa aspek termasuk ekuiti 30%, dasar kuota. Manakala 40 tahun kemudian, kita boleh menyaksikan banyak perubahan: bilangan misalnya Melayu dan anak negeri jadi kelas pertengahan bertambah. Juga bilangan yang berpendidikan yang masuk ke sekolah, yang masuk ke universiti, yang pergi ke seberang laut untuk universiti di Eropah, Amerika Syarikat dan sebagainya sudah bertambah dengan banyak. Ini memang perkara yang baik. Akan tetapi saya nampak kebanyakan hak-hak istimewa ini, layanan istimewa ini, kerana tamak haloba setengah-setengah pemimpin diberi kepada segelintir orang, diberi kepada konco-konco, kroni-kroni sahaja di dalam 40 tahun. Ini memang melanggar dasar untuk membantu orang-orang yang miskin termasuk di Bera pun ada, saya nampak.

Orang-orang, pemimpin-pemimpin (yang) tamak haloba salah guna dasar keistimewaan ini.

(Pasir Salak bagun)– ya Yang Berhormat Pasir Salak. Jangan ambil masa yang banyak...

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Sedikit sahaja.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: kerana saya tidak ada masa.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Sedikit. Terima kasih Yang Berhormat dan Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya ringkas sahaja: adakah Yang Berhormat bermaksud bahawa istilah bumiputera yang diberi kepada orang Melayu dan anak negeri itu Yang Berhormat tidak terima dan seharusnya dihapuskan. Begitu juga apa-apa juga keistimewaan ataupun kita tidak panggil keistimewaan, kita panggillah hak-hak mereka juga patut dihapuskan. Saya hendak supaya rakyat di luar tahu pendirian Yang Berhormat.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, Yang Berhormat Kepong mike.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Kalau dasar, langkah, tindakan apa sahaja langkah yang diambil untuk mengurangkan jurang untuk...

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Jawab soalan! Saya tanya.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tidak, tidak, tidak.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Khusus. Yang Berhormat tidak setuju perkataan bumiputera digunakan kepada orang Melayu dan anak negeri. Dan tidak bersetuju hak-hak mereka juga diberi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Tolong jawab soalan itu sahaja. Jangan belit-belit.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Perlembagaan tidak sebutkan bumiputera. Tidak langsung. Ini yang dirujuk oleh pihak kerajaan sahaja.

Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Kita ikut Perlembagaan.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Ya, baik.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Ikut Perlembagaan...

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Itu kerajaan. Tuan Yang di- Pertua walaupun itu istilah yang diguna pakai oleh kerajaan ataupun rakyat oleh orang Melayu dan sebagainya. Saya cuma ingin tahu, saya ingin tahu pendirian Yang Berhormat! Yang Berhormat adakah menentang atau tidak setuju istilah bumiputera ini diguna pakai kepada orang Melayu dan juga anak negeri? dan tidak bersetuju segala hak yang diberikan kepada mereka sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.Itu jawab soalan yang paling jelas sekali.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Saya bermula ucapan saya dengan menyeru supaya pihak kerajaan mengkaji bagaimana semua rakyat dapat memainkan peranan yang bererti. Itu yang cakapkan saya. Manakala yang soalan itu adalah daripada Yang Berhormat Pasir Salak sahaja. Soal tidak timbul. Saya tidak sebutkan langsung! Saya tidak sebutkan langsung sehingga hal sekarang tidak sebutkan langsung. Cuma saya (bangkitkan) untuk kebaikan negara ini kerana isu ini memang menimbulkan kontroversi. Sememang kalau saya di sini pun kalau kita sentiasa timbulkan isu ini pun tidak guna juga. Tidak akan membawa manfaat kepada masyarakat kita.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Kenapa boleh Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Kenapa boleh timbul soal kontroversi. Perkara ini sudah termaktub...

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Timbul kontroversi...

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Begitu lama tidak ada kontroversi.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tidak banyak atau tidak...

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Timbul kontroversi pada masa sekarang apabila Yang Berhormat dan juga beberapa pemimpin Pakatan membangkitkan perkara ini dan mempersoalkan. Kalau tidak dipersoalkan ia tidak menjadi kontroversi! Itu sahaja.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Yang disoalkan Yang Berhormat Pasir Salak tadi.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Ya, saya...

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Saya cuma – itu saya ulangi saya berharap pihak kerajaan dapat mengkaji, mengkaji bagaimana semua rakyat dapat memainkan peranan yang lebih bererti.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tidak menjawab soalan.

Dr. Tan Seng Giaw Kepong]: Macam mana...

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Ini kalau periksa tidak lulus!

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Soalan yang di timbul oleh Yang Berhormat Pasir Salak...

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tidak lulus kalau periksa ini [Ketawa]

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Soalan ditimbul oleh Yang Berhormat Pasir Salak [Ketawa] kerana tidak mahu kontroversi seumpamanya kerana ia tidak membawa manfaat kepada negara. Itu jawapan saya. Di sini saya berharap sering kali saya bangkitkan bahawa hak-hak keistimewaan tidak boleh disalahgunakan. Tidak langsung termasuk Yang Berhormat Pasir Salak. Jangan menyalahgunakan. Kita hendak membantu orang yang miskin, kita kena benar-benar bantu orang miskin. Jangan kita salah gunakan. Kita mesti teruskan ada dasar seumpamanya supaya jurang dapat dirapatkan.

Dasar Merit & Need

Walau bagaimanapun pada 30 Mac ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan mengumumkan Model Ekonomi Baru, New Economic Model, dan saya berharap pihak Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dapat mengadakan satu dasar seperti saya sering kali ulang sejak tahun 70-an lagi iaitu menggunakan dasar merit dan keperluan, merit and need. Itulah perlu dilaksanakan mengikut keadaan yang istimewa bagi Malaysia kerana kepelbagaian kaum di Malaysia. Kita mesti mengambil kira bagaimana kita boleh melaksanakan dasar merit dan keperluan untuk semua kaum.

Atasi Kegiatan Pemerdagangan Orang

Tuan Yang di-Pertua, di sini saya hendak timbulkan masalah human trafficking - pengabdian manusia. Baru-baru ini saya diminta untuk menolong tiga orang gadis dari Negara China yang datang ke negara ini yang diabdikan di kawasan Kepong. Mereka bayar hampir RM12,000 untuk datang ke negara ini dan dijanjikan akan mendapat bekerja dengan gaji yang lumayan. Akan tetapi contoh ini ialah untuk, apa yang dipanggil refleksologi. Dia kerja daripada jam 11.00 pagi sehingga jam 3.00 pagi. Jam 3.00 pagi, saya tidak tahulah macam mana hendak refleks lagi? [Ketawa] Dalam satu bulan diberi satu hari untuk rehat.

Kemudiannya, pasport dirampas kerana visa untuk satu bulan sahaja. Mereka tidak ada permit kerja dan dua, tiga minggu yang lepas, seorang gadis dibunuh. Mungkin ada faktor-faktor yang tertentu dia dibunuh. Walau bagaimanapun saya dapati daripada senarai yang didapati daripada ketiga-tiga garis ini, ada beratus-ratus yang masuk ke negara ini. Tidak tahulah, entahlah di seluruh negara berapa ribu orang yang masuk dan bekerja seperti abdi dalam bidang-bidang yang tidak diingini. Saya berharaplah pihak kerajaan dapat mengambil langkah yang lebih ketat daripada Jabatan Imigresen, pihak polis, dan kerajaan-kerajaan tempatan. Kita mesti mempertingkatkan usaha untuk mencegah human trafficking ini kerana kita tidak mahu...

Datuk Wilfred Mojilip Bumburing [Tuaran]: [Bangun]

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tidak ada masa ini.

Datuk Wilfred Mojilip Bumburing [Tuaran]: Satu minit Yang Berhormat. Terima kasih Yang Berhormat, pendek sahaja.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Kalau soalan tidak perlu satu minit, Yang Berhormat.

Datuk Wilfred Mojilip Bumburing [Tuaran]: Ini Yang Berhormat, point Yang Berhormat telah sentuh tadi adalah satu perkara yang penting dan kita turut bersimpati. Akan tetapi kadang-kala Yang Berhormat, ada laporan yang telah kita baca bahawa gadis-gadis di kalangan mereka ini ada juga yang sengaja datang dan mengikatkan perkahwinan olok-olok dengan orang Malaysia dengan bayaran RM5,000 satu bulan. Jadi ini voluntary action to come to Malaysia. Jadi minta Yang Berhormat berkongsi sebab ini two part of pictures. Terima kasih.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Saya pun ada dengar hal seperti ini, kahwin olok-olok dan sebagainya. Bukan sahaja berlaku di Malaysia, di banyak negara di dunia. Inilah pihak kerajaan mesti mengambil perhatian supaya hal-hal serupa ini tidak berlaku di negara ini. Yang penting sekali jangan kita jadikan Malaysia sebagai satu pusat, satu hab untuk human trafficking. Ini memang penting.

Menarik Balik Diaspora Malaysia

Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, mengenai penarikan pakar-pakar dan profesional rakyat Malaysia dan warga asing untuk bekerja di Malaysia. Di sini saya dapat jawapan daripada Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia dan di sini kita tidak ada angka yang tepat. Cuma yang kita tahu daripada Unit Perancang Ekonomi Malaysia, dianggarkan seramai 314,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura. 314,000 dianggarkan oleh EPU. Di lain-lain negara kita tidak tahu angka yang sebenar. Boleh dikatakan beratus-ratus ribu bekerja di Amerika Syarikat – semua kaum, semua kaum. Di Amerika Syarikat, United Kingdom, di Australia, di Kanada, di Eropah memang ada beberapa ramai.

Di sini mesti kita kaji walaupun kita ada dasar-dasar dan langkah-langkah untuk menarik mereka seperti Program Brain Gain Malaysia yang dikendalikan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan juga program menggalakkan warga Malaysia berkepakaran yang bekerja di luar negara pulang ke Malaysia -Returning Expert Program (REP), yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia. Walaupun (dengan) kedua-dua program ini sehingga 18 Mac 2010 ada seramai 622 pemohon telah pulang dan bekerja di Malaysia, angka ini sangat kecil, negligible, sangat kecil. Ini bermakna, program-program kita tidak berjaya. Ini bukan sahaja di Malaysia lagi, negara-negara yang lain pun serupa juga. Negara yang lebih maju dapat menarik mereka bekerja kerana pelbagai faktor termasuk gaji.

Di sini saya mengesyorkan supaya kita mengubah sedikit. Misalnya, yang saya tahu pakar muda daripada United Kingdom yang memohon untuk bekerja sebagai konsultan di Universiti Malaya misalnya, kadangkala proses itu mengambil masa enam bulan baru dapat jawapan. Enam bulan! Macam mana kalau kita hendak uruskan? Inipun melalui orang-orang yang kenal, yang ada di sini, yang boleh mengemukakan permohonan. Kalau dia tidak ada orang yang lebih mahir yang dapat mengemukakan permohonan, saya tidak tahulah berapa bulan yang diperlukan. Mungkin beberapa tahun. Ini tidak boleh dibuat sebab saya ada banyak contoh. Misalnya kalau konsultan di England dia hendak kembali ke sini, dia pohon untuk... Dia bukan pohon satu negara sahaja, dia pohon untuk pergi ke Australia ataupun negara-negara yang lain juga. Dia kemukakan permohonan di Malaysia, berbulan-bulan tidak dapat (jawapan), tetapi kemukakan permohonan kepada Australia, dia nampak dia orang pakar, dalam beberapa minggu dia diberi jawapan. Bukan dia beri jawapan, dia menjadi penduduk tetap dengan begitu sahaja dengan harapan untuk menjadi warganegara. Ini memang cepat. Kalau di negara kita, kita begitu lewat, lambat, macam mana kita bersaing untuk menarik pakar-pakar balik ke negara ini? Susah!

Yang Berhormat Pasir Salak pun tahu macam mana kita tarik balik mereka. Itulah masalah kita. Saya berharaplah kita dapat mempertingkatkan usaha bagi melatih mereka dengan cara-cara yang lebih berkesan termasuk kita pendekkan permohonan. Dalam satu atau dua minggu, kita jawab. Tidak payah berbulan-bulan. Itu caranya.

Braodband (Jalur Lebar)

Seterusnya, saya ingin membangkitkan sedikit mengenai broadband kita. Walaupun ada perubahan sedikit, dengan menggunakan opera dan sebagainya di dalam broadband di Dewan ini, tetapi kelajuannya tidak ada. Masih lambat dan kita mesti mempercepatkan, bagi di dalam Dewan ini kerana pada tahun inilah kita hendak meningkatkan peratusan broadband isi rumah kepada 50%. Akan tetapi kita (mengambil) sebagai contoh teladan di dalam Dewan ini, broadband itu bukan main yang terbaik. Tetapi sekarang bukan begini (Broadband Dewan adalah terlalu lambat).

Saya berharap Yang berhormat, kita dapat memperbaiki keadaan ini untuk menjadi satu contoh teladan.

Di sini saya nampak beberapa cadangan terutamanya daripada satu National ICT Conference 2009 pada 11 Jun 2009, tahun lepas.

Beberapa bulan yang lepas itu, ada satu conference dengan banyak cadangan dan kita tidak dapat (mengemukakan di Dewan) kerana tidak ada masa untuk mendalami semua. Saya berharaplah semua cadangan ini dapat dipertimbangkan dan juga dilaksanakan kalau boleh. Misalnya yang terakhir sekali itu [Merujuk pada sebuah buku: catatan konferensi ICT 2009] conclusion itu, “The demands for citizen centric government ‘Rakyat Didahulukan’ and the needs for reliable online self service processes and the over reaching requirements for increase efficiency are importantissues that the ICT can help address”.Ini memang, saya berharap pihak kerajaan dapat mengambil perhatian mengenai cadangan dan syor-syor daripada conference ini. Saya nampak banyak yang baik dan supaya kita boleh meningkatkan penggunaan broadband di sini kerana kalau kita bandingkan dengan Korea Selatan, itu lebih 95% broadband.

Sukan & Darah Mongol

Tahun ini kita hendak 50% isirumah ada broadband sahaja. Ini bermakna kita sangat mundurlah berbanding dengan Korea Selatan.Patutlah di dalam hal ini bukan sahaja di dalam hal broadband sahaja, di dalam bola sepak pun. Dia mendahului dengan banyaknya seperti dengan Manchester United, Park Ji Sung itu begitu hebat. Kita mesti ada ramai Park Ji Sung di Malaysia juga termasuk daripada Bera pun ada yang pandai di dalam bola sepak.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Laluan. Timbalan Yang di-Pertua

[Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Satu minit lagi Yang Berhormat.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Kita tidak ada masa lagi Yang Berhormat Ledang.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Sedikit sahaja Yang Berhormat Kepong. Cadangan daripada Yang Berhormat Kepong tentang bola sepak, tentang internet tadi boleh capai sama dengan Korea.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: [Bangun]

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Cadangan daripada Yang Berhormat Kepong untuk kita sama tahap dengan Korea. Bola sepak atau tindakan.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat. [Memberi isyarat kepada Yang Berhormat Kepong supaya mengaktifkan pembesar suara]

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Di dalam tahun 50-an dan 60-an, kita mendahului Korea Selatan. Kita lebih maju di pelbagai peringkat. Bola sepak pun kita menewaskan mereka. Sekarang kalau main dengan Korea Selatan, tidak boleh harap.

Beberapa Ahli: Cadangan. Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Cadangan? Itu kita punya cadanganlah. [Ketawa]

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Yang Berhormat Kepong.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Cadangan untuk meningkatkan... [Disampuk]

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Yang Berhormat Kepong, sedikit pencelahan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Kepong, tidak ada masa Yang Berhormat.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tidak ada masa.

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Satu minit. Terima kasih Yang Berhormat Kepong. Tentang Korea ini, saya baru balik daripada satu rombongan Ahli Parlimen ke Korea. Dalam pertanyaan kita kepada Ahli Parlimen Korea, bagaimana Korea boleh hebat dalam bidang sukan ini walaupun pada satu ketika Malaysia boleh pukul bola hoki semua. Setelah beberapa tahun, kita telah terkebelakang. Maka jawab Ahli Parlimen Korea ini, kami menyediakan skim latihan, insentif,seperti biasa. Kita pun hampir hendak berpuas hati tiba-tiba dicelah oleh duta kita yang ada di Korea yang ada di dalam meeting itu, duta besar kita, dia berkata sebenarnya bukan begitu. Sebenarnya Korea ini, orang-orangnya daripada keturunan Mongul yang memang ada kelebihan daripada kita orang Malaysia. Bagaimana itu? [Ketawa]

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: [Bangun]

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Dia bergurau itu.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Yang Berhormat.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tuan Yang di-Pertua, kita di Malaysia sama hebatlah kalau kita ada kerajaan yang berkesan, yang benar-benar mendahului rakyat, kita memang lebih hebat. Kita ada Mokhtar Dahari, apa salah? Dia hebat, memang hebat. Dia pun boleh dikira Mongul jugalah itu. [Ketawa] Ini kerana keturunan Melayu pun beribu-ribu tahun yang lampau itu turun dari Yunan.

Seorang Ahli: [Menyampuk]

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Daripada Yunan juga Yang Berhormat Pasir Salak itu. [Ketawa]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, sudah habis masa Yang Berhormat.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Habis sudah?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Dua minit lebih Yang Berhormat.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Dua minit lebih? Ya, saya fahamlah. Ada beberapa perkara lagi dan memang kita berharaplah Yang Berhormat di dalam perkara perkara seumpama sukan dan broadband di dalam perdagangan, perindustrian, kita mestilah - kita ada orang yang hebat, cuma bagaimana kita dapat menggunakan mereka dengan baik, dengan berkesan, itu sahaja. Kalau hendak cari darah Mongul, kita semua berdarah Mongul termasuk Bera pun berdarah Mongul juga. [Ketawa]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik Yang Berhormat.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Jadi, kita semua berdarah Mongul.

Tuan Yang di-Pertua pun berdarah Mongul juga. [Ketawa]

Apa masalahnya, tidak jadi masalah. Tuan Yang di-Pertua,DR.

Salah langkah cepat terjatuh
Malah sungguh diperhatikan
Patah kepala bertongkat paruh
Patah paruh bertelekan

Itulah sahaja untuk negara ini.

Sekian, terima kasih.

Dr Tan Seng Giaw

0 Comments:

Post a Comment

<< Home